Akaun Emas (Pengeluaran 60 Tahun)

Apakah Akaun Emas?

Akaun Emas merupakan satu inisiatif penambahbaikan skim KWSP yang diperkenalkan kepada ahli yang telah mencapai umur 55 tahun. Apa-apa caruman yang dikreditkan selepas ahli mencapai umur 55 tahun bermula 1 Januari 2017 hanya boleh dikeluarkan apabila ahli mencapai umur 60 tahun. TIADA lagi sub akaun 1 dan sub akaun 2.

Apa yang dimaksudkan dengan Pengeluaran Umur 60 Tahun (Akaun Emas)?

Pengeluaran Umur 60 Tahun (Akaun Emas) adalah skim pengeluaran KWSP yang diperkenalkan bagi membolehkan ahli yang telah mencapai umur 60 tahun mengeluarkan kesemua atau sebahagian simpanan KWSP.

Mengapa Pengeluaran Umur 60 Tahun (Akaun Emas) diperkenalkan?

Pengeluaran ini diperkenalkan selaras dengan peningkatan umur persaraan wajib yang diumumkan oleh kerajaan daripada umur 55 tahun kepada umur 60 tahun.

Apakah syarat-syarat permohonan Pengeluaran Umur 60 Tahun (Akaun Emas)?

Syarat-syarat permohonan adalah seperti berikut:

  • Mencapai umur 60 tahun
  • Mempunyai simpanan KWSP

Apakah kaedah bayaran yang boleh dipilih di bawah Pengeluaran Umur 60 Tahun (Akaun Emas)?

Kaedah bayaran yang boleh dipilih adalah seperti berikut:

  • Bayaran kesemua simpanan
  • Bayaran sebahagian simpanan
    • Amaun minimum RM2,000.00
    • Setiap 30 hari dari tarikh permohonan pengeluaran terdahulu
  • Bayaran bulanan
    • Pengeluaran minimum RM3,000.00 iaitu RM 250.00 sebulan untuk sekurang kurangnya 12 bulan
    • Kombinasi Bayaran sebahagian simpanan dan Bayaran bulanan

Bagaimana untuk memohon Pengeluaran Umur 60 Tahun (Akaun Emas) dan apakah dokumen yang diperlukan?

Ahli perlu hadir di Pejabat KWSP Cawangan dengan membawa:

  • MyKad atau dokumen pengenalan diri lain (bagi tujuan pengesahan identiti pemohon); dan
  • Maklumat akaun bank (bagi tujuan pembayaran)

Permohonan melalui mel perlu mengemukakan dokumen tambahan iaitu:

  • Borang KWSP 9B; dan
  • Salinan dokumen pengenalan diri yang telah disahkan oleh Pegawai Pengesah (Sila rujuk Senarai Semak Dokumen); dan
  • Borang KWSP 3 (Pindaan)

Adakah Pengeluaran Umur 60 Tahun (Akaun Emas) akan membatalkan Pengeluaran Umur 55 Tahun (Akaun 55) sedia ada?

Pengeluaran Umur 60 Tahun (Akaun Emas) TIDAK MEMBATALKAN Pengeluaran Umur 55 Tahun (Akaun 55) sedia ada.

Ahli layak memohon Pengeluaran Umur 55 Tahun bagi simpanan terkumpul yang dipindahkan ke dalam Akaun 55 dengan syarat ahli belum mencapai umur 60 tahun.

Manakala caruman yang diterima selepas umur 55 tahun dalam Akaun Emas hanya boleh dikeluarkan setelah ahli mencapai umur 60 tahun di bawah Pengeluaran Umur 60 Tahun.