Penambahbaikan Pentadbiran Polisi

Lucut Hak Perlindungan Simpanan

Apakah yang dimaksudkan dengan pelucuthakan amaun/simpanan terhasil dari aktiviti wang haram?

Berdasarkan keadaan semasa, simpanan ahli yang terhasil dari aktiviti wang haram tidak boleh diserah hak, dipindahkan dan ditahan. Berkuat kuasa 1 April 2016, sekiranya terdapat perintah pelucuthakan oleh mahkamah di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613], simpanan ahli boleh diserah hak dan dipindahkan kepada pihak Kerajaan.

Pemindahan simpanan ahli kepada Pendaftar Wang Tak Dituntut

Bilakah pemindahan simpanan ahli kepada Pendaftar Wang Tak Dituntut boleh dilakukan?

Berdasarkan peruntukan semasa Akta KWSP 1991, pemindahan simpanan ahli kepada Pendaftar Wang Tak Dituntut boleh dilakukan apabila ahli mencapai umur 80 tahun. Berkuat kuasa 1 Januari 2017, pemindahan simpanan ahli kepada Pendaftar Wang Tak Dituntut dilanjutkan kepada umur 100 tahun atau apa-apa had umur yang ditetapkan oleh Lembaga, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Mengapakah had umur pemindahan simpanan ahli kepada Pendaftar Wang Tak Dituntut dilanjutkan?

Ia dilanjutkan bagi membolehkan simpanan ahli yang berada dengan KWSP terus mendapat dividen sehingga ahli membuat pengeluaran penuh dan memberikan tempoh yang lebih panjang untuk ahli/waris membuat tuntutan ke atas simpanan ahli mencukupi.