Sasaran Simpanan Asas Mengikut Umur (Pilihan Pelaburan Ahli)

Apakah penambahbaikan yang diperkenalkan ke atas Pilihan Pelaburan Ahli? Bilakah ia berkuat kuasa?

Penambahbaikan yang dilaksanakan adalah memperkenalkan kuantum baru simpanan asas dan peningkatan kelayakan pelaburan yang melebihi simpanan asas berkuat kuasa pada 1 Januari 2017.

Apakah yang dimaksudkan dengan Simpanan Asas?

Simpanan Asas adalah satu jumlah simpanan dalam Akaun 1 yang ditetapkan mengikut umur bagi membolehkan ahli mempunyai simpanan sekurang-kurangnya sebanyak RM228,000.00 ketika berumur 55 tahun bagi membiayai keperluan asas persaraan.

Apakah tujuan simpanan asas diperkenalkan?

Tujuannya adalah supaya ahli mempunyai jumlah minimum bagi membiayai keperluan asas persaraan apabila berumur 55 tahun selama 20 tahun selaras dengan jangka hayat penduduk Malaysia.

Apakah implikasi pelaksanaan kuantum baharu Simpanan Asas ke atas Pilihan Pelaburan Ahli?

Ahli perlu mempunyai simpanan lebih tinggi dalam akaun KWSP untuk mencapai amaun yang ditetapkan mengikut umur bagi melayakkan ahli membuat pindahan pelaburan.

Adakah terdapat perubahan pada syarat dan prosedur Pilihan Pelaburan Ahli selepas pelaksanaan kuantum baharu Simpanan Asas?

Tiada perubahan ke atas syarat dan prosedur Pilihan Pelaburan Ahli.

Berapakah amaun yang layak dipindahkan oleh ahli di bawah Pilihan Pelaburan Ahli?

Jumlah yang layak dipindahkan kepada Institusi Pengurusan Dana (IPD) adalah 30% daripada jumlah simpanan yang melebihi Simpanan Asas dalam Akaun 1 mengikut umur seperti mana syarat dan prosedur semasa.

Formula pengiraan seperti berikut : (Baki Akaun 1 – Simpanan Asas Baru) x 30%

Selaras dengan kenaikan umur persaraan minimum kepada 60 tahun, adakah kelayakan Pilihan Pelaburan Ahli dilanjutkan sehingga umur 60 tahun?

Tiada perubahan ke atas syarat dan prosedur semasa. Kelayakan Pilihan Pelaburan Ahli dikekalkan sehingga ahli berumur 55 Tahun.

Adakah dana yang telah dilaburkan secara konvensional sebelum ini perlu ditukar kepada dana patuh Syariah setelah pilihan ke Skim Simpanan Shariah berkuat kuasa pada 1 Jan 2017?

Ahli tidak perlu menukar dana konvensional yang telah dilaburkan sebelum ini. Namun demikian, jika ahli telah membuat pilihan ke Simpanan Shariah, berkuat kuasa pada 1 Januari 2017, ahli hanya dibenarkan untuk membuat pelaburan baharu ke dalam dana patuh Syariah yang diluluskan oleh KWSP.