KWSP :: Simpanan Hari Tua Anda KWSP :: Simpanan Hari Tua Anda
KWSP :: Simpanan Hari Tua Anda
Kembali ke Laman Utama
Ahli Majikan i-Akaun Tentang KWSP Usahaniaga KWSP Soalan Lazim enquiry
     Laman Utama » Berita » Terbaru di KWSP Email to Friend | Print
 
i-Akaun

  Login Kali Pertama
  Login Ke i-Akaun
  Pendaftaran Baru
  Hilang ID/Kata Laluan?
Carian:
Berita
Pengumuman
Terbaru di KWSP
Sorotan KWSP
Kalendar KWSP
Prestasi KWSP Terus Kukuh Pada 2007

Catat Pendapatan Pelaburan Tertinggi Sejarah dan Bayaran Dividen Terbesar Dalam Tempoh Lima Tahun

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah membayar dividen terbesar dalam tempoh lima tahun setelah mencatatkan pendapatan pelaburan kasar tertinggi dalam sejarah iaitu sebanyak RM17.23 bilion pada 2007. Pencapaian ini membuktikan kejayaan strategi pelaburan KWSP yang berhemah dan berkesan dalam meningkatkan nilai simpanan ahli.
 
Laporan Tahunan KWSP 2007 yang dibentangkan di Parlimen hari ini menunjukkan prestasi KWSP bertambah baik berbanding tahun sebelumnya dengan pendapatan pelaburan kasar meningkat 29.9 peratus walaupun ekonomi Malaysia turut terjejas oleh krisis subprima di Amerika Syarikat. Pendapatan pelaburan yang meningkat telah membolehkan KWSP mengisytiharkan kadar dividen 5.80 peratus untuk 2007 berbanding 5.15 peratus pada 2006. 

KWSP juga berjaya meningkatkan jumlah pelaburan  pada 2007 sebanyak 9.5 peratus kepada RM313.01 bilion daripada RM285.92 bilion pada 2006. Peruntukan pelaburan kekal seperti tahun sebelumnya di mana 78 peratus dilaburkan dalam instrumen pendapatan tetap berisiko rendah yang terdiri daripada Sekuriti Kerajaan Malaysia (SKM), Instrumen Pasaran Wang dan Pinjaman dan Bon sementara selebihnya dilaburkan dalam Ekuiti dan Hartanah.

“Dalam menguruskan pelaburan, KWSP sentiasa berpegang kepada nilai utama dari segi  integriti, langkah berhemah dan tadbir urus korporat serta terus berpegang kepada strategi risiko yang berkesan dan pada masa yang sama memberikan nilai kepada stakeholder,” kata Tan Sri Samsudin Osman, Pengerusi KWSP.

Laporan Tahunan itu juga melaporkan peningkatan prestasi KWSP turut didorong oleh pelaksanaan berbagai pembaharuan kepada skim manfaatnya melalui inisiatif strategik ‘Bukan Hanya Simpanan’ dengan sasaran untuk meningkatkan prospek persaraan ahli. Inisiatif yang dilaksanakan secara berperingkat ini disokong oleh penggantian Sistem Teras IT yang baru bagi meningkatkan kecekapan dan keberkesanan perkhidmatan pelanggan KWSP.

“Lebih ramai ahli memilih cara lebih fleksibel yang diperkenalkan di bawah inisiatif ‘Bukan Hanya Simpanan’ bagi menguruskan simpanan persaraan mereka. Ini dapat dilihat menerusi peningkatan dalam jumlah pengeluaran apabila 762,946 permohonan pengeluaran diluluskan pada 2007, meningkat 10.7 peratus berbanding 689,104 permohonan pada tahun sebelumnya,” kata Tan Sri Samsudin.

Sementara itu, sebanyak RM28.93 bilion caruman dikutip pada 2007, meningkat 10.4 peratus berbanding RM26.19 bilion pada 2006. Jumlah pengeluaran pada 2007 turut meningkat 47.2 peratus kepada RM17.88 bilion daripada RM12.15 bilion pada tahun sebelumnya.

“KWSP sedar perlunya membantu ahli merancang untuk persaraan mereka. Ia sentiasa menjadi keutamaan KWSP untuk menyediakan pilihan kewangan terbaik kepada ahli dan inisiatif ‘Bukan Hanya Simpanan’ dilaksanakan berdasarkan matlamat tersebut,” kata Tan Sri Samsudin.

Dalam usaha KWSP untuk meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada ahlinya, Kios Pintar yang membolehkan ahli mendapatkan penyata akaun mereka menggunakan MyKad ternyata semakin popular dengan mencatatkan 3.2 juta pengguna pada 2007 atau meningkat 41 peratus berbanding tahun sebelumnya. Setakat penghujung 2007, KWSP telah menempatkan 147 Kios Pintar di seluruh negara.

“Sambutan menggalakkan daripada ahli terhadap Kios Pintar dan perkhidmatan online KWSP yang lain membuktikan kejayaan KWSP menyepadukan ICT ke dalam sistem penyampaian perkhidmatannya. Sebagai sebuah organisasi yang berfokuskan pelanggan, KWSP akan terus komited dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada lebih lima juta ahli aktifnya,” kata Tan Sri Samsudin.

Pada 2007, KWSP juga telah dianugerahkan pensijilan ISO/IEC 27001 untuk Sistem Pengurusan Keselamatan Maklumat kerana pematuhan KWSP terhadap piawaian antarabangsa yang ketat bagi pengurusan keselamatan maklumat. Pensijilan ini menunjukkan usaha berterusan KWSP untuk menjadi sebuah organisasi berfokuskan pelanggan dengan mengutamakan integriti maklumat, kerahsiaan dan keselamatan data ahlinya.

“Saya yakin KWSP telah cukup bersedia untuk menghadapi setiap cabaran yang bakal dihadapi kerana KWSP telah menetapkan sasaran dan objektif yang jelas menerusi pelan dan strategi perniagaannya yang mantap. Beberapa pembaharuan akan dilaksanakan pada 2008 untuk mengukuhkan lagi komitmen berterusan KWSP dalam menyediakan simpanan persaraan kepada ahlinya,” kata beliau.

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah dana persaraan terulung di Malaysia yang  menyediakan jaminan asas kewangan bagi persaraan. KWSP sentiasa komited dalam menjamin dan meningkatkan simpanan ahlinya melalui amalan terbaik pelaburan dan  tadbir urus korporat. Langkah berhemah sentiasa menjadi panduan dalam setiap keputusan pelaburannya.

Sebagai sebuah organisasi yang berfokuskan pelanggan, KWSP memberikan perkhidmatan yang cekap dan berkesan untuk keselesaan ahli dan majikan berdaftar.

KWSP akan terus memainkan peranannya sebagai pemangkin kepada pembangunan ekonomi negara, selaras dengan kedudukannya sebagai institusi simpanan terkemuka di Malaysia.

Tarikh: 16 Julai 2008

 
Terma dan Syarat Semua Hakcipta Terpelihara. © 2010  |  www.kwsp.gov.my  | 
Paparan terbaik menggunakan Internet Explorer 6 dan ke atas