EPF :: Savings for Old Age EPF :: Savings for Old Age
EPF :: Savings for Old Age
Back to Home
Member Employer i-Akaun About EPF EPF Ventures FAQ enquiry
     Home » News » Terbaru di KWSP Email to Friend | Print
 
i-Akaun

  First Time Login
  Login Into i-Akaun
  New Registration
  Lost ID/Password?
Search:
News
Announcement
Latest in EPF
EPF Highlights
EPF Calendar
KWSP: Pengeluaran Fleksibel Umur 55 Tahun Catat Peningkatan

Bukti ahli semakin sedar kepentingan urus simpanan persaraan dengan lebih baik

Pengeluaran Fleksibel Umur 55 Tahun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatatkan peningkatan ketara pada suku tahun pertama 2009 (S1 2009) apabila lebih ramai ahli memilih pengeluaran yang lebih fleksibel ini bagi menguruskan simpanan persaraan mereka dengan lebih baik.

Pada S1 2009, sejumlah 9,731 permohonan (S4 2008: 7,538) telah diluluskan di bawah Pengeluaran Fleksibel Umur 55 Tahun, meningkat 85.46 peratus berbanding hanya 5,247 permohonan pada suku tahun yang sama tahun lepas (S1 2008). Jumlah keseluruhan yang dikeluarkan di bawah pengeluaran ini mencecah RM505.94 juta (S4 2008: RM442.71 juta) berbanding RM341.85 juta pada S1 2008.

“Pengeluaran Fleksibel Umur 55 Tahun yang semakin popular memberikan gambaran meningkatnya kesedaran di kalangan ahli bahawa sekiranya mereka membuat pengeluaran penuh, simpanan tersebut berkemungkinan akan habis digunakan dalam masa yang singkat.   Di sebalik krisis ekonomi semasa, sikap ahli yang menitik beratkan soal keselesaan persaraan mereka adalah sesuatu yang amat menggalakkan,” kata Datuk Azlan Zainol, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP.

Pengeluaran Fleksibel Umur 55 Tahun telah diperkenalkan pada November 2007 di bawah inisiatif strategik ‘Bukan Hanya Simpanan’ bagi meningkatkan jaminan kewangan ahli semasa bersara. Pengeluaran ini memberikan ahli pilihan untuk mengeluarkan simpanan KWSP secara berperingkat dan mengikut keperluan yang dapat membantu ahli memanjangkan simpanan persaraan mereka bagi jangkamasa yang lebih lama. 

Bagaimanapun, Pengeluaran Penuh Umur 55 Tahun kekal sebagai pilihan yang lebih popular di kalangan ahli yang telah mencapai umur 55 tahun. Pada S1 2009, sebanyak 35,640 permohonan Pengeluaran Penuh Umur 55 Tahun (S4 2008: 26,658) diluluskan dengan jumlah keseluruhan pengeluaran sebanyak RM1.62 bilion (S4 2008: RM1.15 bilion),  berbanding dengan 29,744 permohonan diluluskan pada S1 2008 dengan jumlah pengeluaran mencecah RM1.43 bilion.

Ahli KWSP terus mengambil peluang daripada Pengeluaran Pendidikan yang membenarkan ahli mengeluarkan simpanan mereka dalam Akaun 2 bagi membiayai yuran pengajian ahli atau anak ahli, sama ada untuk program di dalam atau luar negara. Pada S1 2009, Pengeluaran Pendidikan mencatatkan sejumlah 13,527    permohonan yang diluluskan (S4 2008: 8,999) dengan nilai berjumlah RM63.25 juta (S4 2008: RM48.61 juta) berbanding 11,530 permohonan diluluskan pada S1 2008 dengan jumlah pengeluaran sebanyak RM56.87 juta.

Sementara itu, kesan kelembapan ekonomi dapat dilihat melalui jumlah permohonan Pengeluaran Perumahan yang menurun pada suku tahun yang dinilai. Pengeluaran Perumahan mencatatkan sejumlah 92,315 permohonan yang diluluskan (S4 2008: 78,861) pada S1 2009 berbanding 112,624 permohonan pada S1 2008. Sejumlah RM1.12 bilion (S4 2008: RM1.07 bilion) telah dikeluarkan di bawah pengeluaran ini pada S1 2009, merosot 34.90 peratus daripada RM1.72 bilion pada S1 2008.

Pada S1 2009, jumlah ahli KWSP meningkat 5.72 peratus kepada 12,466,384 ahli  (S4 2008: 12,073,055)  daripada 11,791,577 ahli setahun yang lalu. Jumlah majikan yang mendaftar dengan KWSP juga turut meningkat daripada 432,002 pada S1 2008 kepada 445,040 (S4 2008: 441,820).

KWSP terus mengekalkan tahap perkhidmatannya seperti yang dijanjikan dalam Piagam Perkhidmatan Pelanggan dengan 87.0 peratus Pengeluaran Umur 50 dan 55 Tahun diproses dalam tempoh 3 hari manakala 98.64 peratus permohonan Pengeluaran Perumahan diproses dalam tempoh 21 hari.
 
“Sebagai dana pencen terulung di Malaysia, kami sentiasa mengutamakan keperluan lebih 12 juta ahli KWSP dan komited dalam memenuhi harapan mereka. Kami sedar bahawa pelaksanaan perkhidmatan yang cemerlang adalah satu proses yang memerlukan usaha dan penilaian yang berterusan, dan KWSP akan berusaha gigih untuk terus meningkatkan tahap perkhidmatan di KWSP,” kata Datuk Azlan.

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah dana pencen terulung di Malaysia yang menyediakan jaminan  asas kewangan bagi persaraan. KWSP sentiasa komited dalam menjamin dan meningkatkan simpanan ahlinya melalui amalan terbaik pelaburan dan tadbir urus korporat. Langkah berhemah sentiasa menjadi panduan dalam setiap keputusan pelaburannya.

Sebagai sebuah organisasi yang berfokuskan pelanggan, KWSP memberikan perkhidmatan yang cekap dan berkesan untuk keselesaan ahli dan majikan berdaftar.

KWSP akan terus memainkan peranannya sebagai pemangkin kepada pembangunan ekonomi negara, selaras dengan kedudukannya sebagai institusi simpanan terkemuka di Malaysia.

Tarikh: 1 Jun 2009

 
Terms and Conditions Copyright Reserved. © 2010  |  www.kwsp.gov.my  | 
Best viewed with Internet Explorer 6 and above