Kemaskini terakhir : 15 Jul 2019    

KWSP sentiasa berusaha meningkatkan simpanan persaraan ahlinya, di samping pelaksanaan pelbagai jenis produk dan perkhidmatan ke arah persaraan yang selesa.

Siapa Yang Boleh Mencarum

Siapa Yang Boleh Mencarum

Individu yang bekerja, pemilik perniagaan dan individu bekerja sendiri boleh memilih untuk mencarum berdasarkan keperluan mereka. Dalam halaman berikutnya, kami memperincikan butiran mengenai caruman yang wajib dan caruman secara sukarela. Sebagai ahli, anda bukan sahaja layak menikmati dividen tahunan bagi simpanan persaraan anda, tetapi terdapat banyak kemudahan dan pilihan pengeluaran serta faedah yang diperolehi apabila menjadi ahli KWSP.

  • Individu Yang Wajib Mencarum

    Adalah orang yang diambil bekerja oleh majikan di bawah suatu kontrak perkhidmatan atau perantisan yang perihalnya tidak dimasukkan di dalam Jadual Pertama, Seksyen 2, Akta KWSP 1991.

  • Individu Yang Tidak Diwajibkan Mencarum
    1. Orang Asli Nomad melainkan jika dalam mana-mana hal tertentu Ketua Pengarah Jabatan Orang Asli mengesyorkan selainnya.
    2. Orang gaji domestik sebagaimana yang ditakrifkan dalam seksyen 3 Akta Pampasan Pekerja 1952 [Akta 273], KECUALI apabila diambil bekerja:
      1. oleh mana-mana majikan yang dinyatakan dalam Jadual Kedua kepada Akta ini
      2. oleh mana-mana pertubuhan yang didaftarkan atau dikehendaki didaftarkan di bawah mana-mana undang-undang bertulis yang pada masa itu berkuat kuasa berhubungan dengan pendaftaran pertubuhan-pertubuhan atau pertubuhan-pertubuhan koperasi
      3. dalam mana-mana perniagaan yang didaftarkan atau dilesenkan atau dikehendaki didaftarkan atau dilesenkan di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 [Akta 197], Ordinan Pelesenan Tred bagi Negeri Sabah [Sabah Bab 144], Ordinan Pelesenan Perniagaan, Profesion dan Tred bagi Negeri Sarawak [Sarawak Bab 33], atau Ordinan Nama-Nama Perniagaan bagi Negeri Sarawak [Sarawak Bab 64], mengikut mana yang berkenaan; atau
      4. oleh mana-mana perbadanan yang diperbadankan di bawah mana-mana undang-undang bertulis
    3. Pekerja luar (sebagaimana yang ditakrifkan dalam Seksyen 3 Akta Pampasan Pekerja 1952 [Akta 273]).
    4. Individu yang ditahan di mana-mana penjara, Sekolah Henry Gurney, tempat tahanan, hospital mental dan Pusat Pemulihan yang mempunyai erti yang sama dalam Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 atau penempatan penyakit kusta.
    5. Anggota Pentadbiran Kerajaan (Rujuk Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan).
    6. Individu yang diambil bekerja dan negara domisilnya adalah di luar Malaysia (warganegara asing) yang tidak memilih untuk mencarum.
    7. Pekerja yang telah mencapai umur 75 tahun.
 
line

Ahli Kami

SIAPAKAH MEREKA
Jumlah

14.09
juta ahli

September 2018

Aktif

7.20
juta ahli

September 2018

Majikan

504,090
Majikan

September 2018

 
  • Pekerja Sektor Swasta
  • Pekerja Tidak Berpencen Sektor Awam
  • Pencarum Sukarela
 


APAKAH CARUMAN MEREKA
PEKERJA

11%
Caruman Wajib

   

MAJIKAN

13%
Caruman Wajib

bagi pendapatan bulanan RM5000 dan ke bawah

MAJIKAN

12%
Caruman Wajib

bagi pendapatan bulanan melebihi RM5000

Manfaat Ahli

Sebagai ahli KWSP, anda boleh memilih salah satu atau lebih daripada manfaat ini.

  • Simpanan Tambahan Akaun 1

    Melalui kemudahan ini, keluarga ahli boleh sama-sama membantu menambah simpanan persaraan bagi pihak ahli secara sukarela dengan cara membuat bayaran caruman tambahan kepada Penerima (ahli).

    Siapa Yang Mendapat Manfaat

    • Suami kepada isteri
    • Isteri kepada suami
    • Anak-anak kepada ibu bapa
    • Ibu bapa kepada anak-anak
  • Pendaftaran Haji

    Ahli KWSP layak untuk membuat pendaftaran Haji KWSP dengan mengemukakan Penyata Ahli KWSP. Ahli KWSP yang telah mendaftar haji di bawah prosedur Lembaga Tabung Haji (LTH) sebelum ini boleh menukarkannya kepada kemudahan Pendaftaran Haji Ahli KWSP tanpa melibatkan pertukaran tarikh giliran haji yang telah diberi.


    Siapakah Yang Boleh Memohon

    • Warganegara Malaysia & Pemastautin Tetap
    • Beragama Islam
    • Mempunyai sekurang-kurangnya RM1,300.00 dalam Akaun 1
    • Belum mencapai umur 55 tahun
    • Mempunyai akaun simpanan Tabung Haji

    Apakah Yang Anda Perlukan

    Untuk mendaftar, sila bawa bersama dokumen-dokumen berikut ke cawangan LTH berhampiran anda.

    • MyKad
    • Penyata Ahli KWSP
  • Persaraan

    Simpanan KWSP adalah simpanan untuk persaraan anda. Simpanan ini terdiri daripada caruman bahagian pekerja dan majikan dan ditambah oleh dividen tahunan setiap tahun.

    Apabila anda mencarum 11% daripada gaji anda dengan KWSP, majikan anda akan menambah 12% atau 13% lagi caruman daripada gaji anda (kadar caruman ini tertakluk kepada perubahan yang ditetapkan oleh kerajaan).

    Bagaimanapun, anda atau majikan atau kedua-duanya boleh mencarum melebihi kadar berkanun yang ditetapkan.

  • Hilang Upaya

    Bantuan sebanyak RM5,000 dibayar kepada ahli yang layak dan telah membuat Pengeluaran Hilang Upaya.


    Syarat-syarat Kelayakan

    • Warganegara Malaysia
    • Belum mencapai umur 55 tahun
    • Telah memohon Pengeluaran Hilang Upaya (dalam tempoh 12 bulan daripada tarikh tamat perkhidmatan atau hilang pekerjaan)
    • Tempoh perkhidmatan akhir hendaklah sekurang-kurangnya 6 bulan berterusan
    • Ditamatkan perkhidmatan disebabkan tidak berupaya untuk bekerja dan bukan atas sebab tindakan disiplin atau sukarela
  • Kematian

    Bantuan sebanyak RM2,500 dibayar kepada orang tanggungan atau waris terdekat ahli (mengikut budi bicara KWSP), apabila Pengeluaran Kematian dibuat.


    Syarat-syarat Kelayakan

    • Ahli adalah Warganegara, Penduduk Tetap (PR) dan Bukan Wargenegara (yang mendaftar sebelum 1 Ogos 1998) 
    • Ahli mati sebelum mencapai umur 60 tahun
    • Orang tanggungan ahli (balu/duda/anak/ibu bapa)

    *Tertakluk kepada status perkahwinan ahli

    • Permohonan mesti diterima dalam tempoh 6 bulan dari tarikh kematian ahli
    • Ahli masih mempunyai simpanan KWSP
  • Pelepasan Cukai Pendapatan

    Caruman KWSP mendapat pelepasan cukai sehingga jumlah maksimum RM4,000 tertakluk kepada perubahan yang ditetapkan oleh kerajaan dari semasa ke semasa (termasuk pelepasan untuk bayaran premium insurans nyawa).

    Anda tidak perlu membayar cukai pendapatan ke atas simpanan yang anda keluarkan di bawah pengeluaran simpanan KWSP. Selain itu, pulangan pelaburan KWSP juga terkecuali daripada dikenakan cukai.

Pilihan Simpanan Konvensional atau Shariah

Setiap ahli boleh memilih untuk:

  • Mengekalkan akaun mereka di bawah Simpanan Konvensional di mana simpanan mereka akan diuruskan dan dilaburkan secara konvensional; atau
  • Menukar akaun mereka ke Simpanan Shariah di mana simpanan mereka akan diuruskan dan dilaburkan mengikut prinsip-prinsip syariah.

Pelaburan & Dividen

Pelaburan

KWSP melabur di dalam pelbagai portfolio bagi memastikan ahli menerima pulangan dividen tahunan. Berikut merupakan aset pelaburan yang telah dilaburkan bagi menjana hasil keuntungan.

  • Sekuriti Kerajaan Malaysia
  • Pasaran Wang
  • Pinjaman, Debentur dan Bon-Bon
  • Ekuiti
  • Hartanah

Dividen

KWSP menjamin kadar dividen minimum sebanyak 2.5% melalui instrumen pelaburan yang diluluskan bagi memastikan simpanan ahli adalah selamat (Akaun Konvensional).

Pembayaran Dividen Tahunan akan dikreditkan ke dalam akaun ahli berdasarkan simpanan ahli pada 1 Januari setiap tahun. Dividen dikira berdasarkan agregat baki harian.

Manakala caruman bulanan anda akan menerima pulangan dividen berdasarkan:

  1. Satu hari di dalam bulan caruman tersebut
  2. Pada bulan caruman tersebut akan menerima pulangan dividen berdasarkan pengiraan harian yang bermula pada bulan caruman yang berikutnya sehingga akhir bulan Disember pada tahun tersebut