Jumlah pelawat :  

Pengenalan

AKTA 452

AKTA KUMPULAN WANG SIMPANAN PEKERJA 1991

Suatu Akta untuk mengadakan peruntukan undang-undang yang berhubungan dengan suatu skim simpanan untuk persaraan pekerja dan pengurusan simpanan itu bagi maksud persaraan dan bagi perkara-perkara yang bersampingan dengannya.

[1 Jun 1991; P.U. (B) 264/91, Pin. Akta A1300.]

MAKA INILAH DIPERBUAT UNDANG-UNDANG oleh Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dengan nasihat dan persetujuan Dewan Negara dan Dewan Rakyat yang bersidang dalam Parlimen,dan dengan kuasa daripadanya, seperti berikut:

Seksyen 1

Tajuk ringkas dan mula berkuatkuasa

BAHAGIAN I

PERMULAAN


1. (1) Akta ini bolehlah dinamakan Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja 1991.

(2) Akta ini hendaklah mula berkuatkuasa pada tarikh yang ditetapkan oleh Menteri melalui pemberitahuan dalam Warta.

Seksyen 2

Tafsiran

2. Dalam akta ini, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain

"ahli Kumpulan Wang" ertinya seseorang yang mempunyai akaun dan kredit dengan Kumpulan Wang; [ Pin. Akta A1300.]
"amaun tambahan" ertinya amaun yang boleh dibayar di bawah seksyen 58 [ Pin. Akta A1300.]
"amaun upah bagi bulan itu" ertinya>

(a) berkenaan dengan pekerja yang dibayar secara bulanan atau pada lat-lat tempoh yang lebih lama daripada satu bulan, amaun upah yang kena dibayar kepadanya berkenaan dengan bulan tersebut; atau

(b) berkenaan dengan mana-mana pekerja lain, amaun agregat upah yang kena dibayar kepadanya pada hari-hari pembayaran upah yang jatuh dalam bulan tersebut:

Dengan syarat bahawa jika tunggakan upah adalah dibayar kepada pekerja atas apa-apa kajian semula upah, tunggakan upah itu hendaklah bagi maksud-maksud Akta ini disifatkan bagi maksud-maksud Akta ini disifatkan sebagai sebahagian daripada amaun upah bagi bulan yang di dalamnya tunggakan upah itu adalah dibayar sebagai tambahan kepada amaun upah yang kena dibayar kepadanya sebagai tambahan kepada amaun upah yang kena dibayar kepadanya berkenaan dengan bulan itu yang disebut dalam perenggan (a) atau (b);

"bayaran lebih masa" ertinya apa-apa bayaran yang kena dibayar oleh majikan kepada pekerja bagi kerja yang dijalankan melebihi masa bekerja biasa pekerja itu dan termasuklah apa-apa bayaran yang dibayar kepada pekerja bagi kerja yang dijalankan pada hari kelepasan dan hari rehat;

"bulan" ertinya suatu bulan kalendar atau sebahagian daripadanya;

"caj perkhidmatan" ertinya apa-apa wang atau bayaran, sama ada dalam bentuk caj perkhidmatan, fee perkhidmatan, tip, atau selainnya walau bagaimana jua pun diperihalkan, yang telah dibayar oleh, dicajkan kepada, dikutip daripada, atau diberi secara sukarela oleh, pelanggan atau mana-mana orang lain (yang bukannya majikan) berhubungan dengan perniagaan majikan itu dan yang kena dibayar kepada seseorang pekerja sama ada pada keseluruhannya atau sebahagiannya secara langsung atau tak langsung, dan sama ada di bawah kontrak perkhidmatan antara majikan dan pekerja, atau selainnya;
"ditetapkan oleh Lembaga" ertinya ditetapkan melalui kaedah-kaedah yang dibuat di bawah Akta ini;
[Mas. Akta A1300.]
"ditetapkan oleh Menteri" ertinya ditetapkan melalui peraturan-peraturan yang dibuat di bawah Akta ini;
[Mas. Akta A1300.]
"faedah persaraan" ertinya apa-apa bayaran yang dibayar kepada pekerja kerana bersara sama ada secara wajib atau pilihan atau atas sebab-sebab kesihatan seperti yang dinyatakan di bawah kontrak perkhidmatan pekerja itu;
"ganjaran" ertinya apa-apa bayaran yang dibayar oleh majikan kepada pekerja atas sebab tamat tempoh perkhidmatan atau pemberhentian secara sukarela sebagai mengiktiraf perkhidmatan pekerja itu; "hari ditetapkan" ertinya hari yang ditetapkan oleh Menteri di bawah subseksyen 1(2);
"ketua pegawai eksekutif" ertinya seseorang yang dilantik sebagai ketua pegawai eksekutif di bawah seksyen 30 Akta;
"kredit" ertinya caruman yang berada dalam akaun ahli KumpulanWang bersama-sama dengan apa-apa dividen ke atasnya;
"Kumpulan Wang" ertinya kumpulan wang yang ditubuhkan di bawah seksyen 24;

"kumpulan wang diluluskan" ertinya

(a) suatu kumpulan wang simpanan atau lain-lain skim untuk faedah pekerja-pekerja yang ditubuhkan oleh majikan atau kumpulan majikan dan diisytiharkan oleh Lembaga di bawah seksyen 52 sebagai suatu kumpulan wang diluluskan, dan termasuklah

(i) mana-mana skim berkenaan dengan orang-orang yang bekerja dengan Kerajaan Malaysia, mana-mana Kerajaan Negeri atau mana-mana pihak berkuasa berkanun atau tempatan dan diletakkan dalam perjawatan berpencen;

(ii) apa-apa perkiraan berkenaan dengan orang-orang yang bekerja dengan mana-mana organisasi jika pelantikan ke organisasi itu dibuat oleh atau dengan kelulusan Kerajaan Malaysia akan seseorang yang sebelum pelantikan tersebut, telah bekerja dengan Kerajaan Malaysia, mana-mana Kerajaan Negeri atau mana-mana pihak berkuasa berkanun atau tempatan dan jika tempoh perkhidmatan dengan organisasi itu boleh dihitung bagi maksud-maksud pemberian apa-apa pencen, ganjaran atau lain-lain faedah oleh Kerajaan Malaysia di bawah mana-mana undang-undang bertulis yang berhubungan dengan pencen,

dan jika timbul apa-apa keraguan tentang sama ada mana-mana orang itu berada dalam pekerjaan tersebut atau tidak, keputusan Menteri hendaklah muktamad; atau

(b) mana-mana skim yang ditubuhkan secara nyata oleh mana-mana undang-undang bertulis sebelum sahaja 6 Ogos 1970, untuk faedah pekerja-pekerja dalam mana-mana tred, perniagaan, industri atau pekerjaan:

Dengan syarat bahawa skim sedemikian hendaklah terhenti daripada menjadi kumpulan wang diluluskan apabila
Menteri mengisytiharkan bahawa ia terhenti menjadi kumpulan wang diluluskan;

"Lembaga" ertinya Lembaga Kumpulan Wang Simpanan Pekerja yang ditubuhkan di bawah seksyen 3;

"majikan" ertinya orang yang dengannya seseorang pekerja telah membuat kontrak perkhidmatan atau perantisan dan termasuklah

(a) pengurus, ejen atau orang yang bertanggungjawab bagi pembayaran gaji atau upah kepada seseorang "pekerja";

(b) mana-mana kumpulan orang sama ada atau tidak berkanun atau diperbadankan; dan

(c) mana-mana Kerajaan, jabatan Kerajaan, badan-badan berkanun, pihak-pihak berkuasa tempatan atau badanbadan lain yang dinyatakan dalam Jadual Kedua dan, jika seseorang pekerja bekerja dengan mana-mana Kerajaan, jabatan, pihak berkuasa atau badan atau dengan mana-mana pegawai bagi pihak mana-mana Kerajaan, jabatan, pihak berkuasa atau badan itu, pegawai yang di bawahnya pekerja itu bekerja hendaklah disifatkan sebagai seorang majikan:

Dengan syarat bahawa tiada seorang pun pegawai sedemikian adalah bertanggungan sendiri di bawah Akta ini untuk apa-apa jua yang dilakukan atau ditinggalkan daripada dilakukan dengan suci hati olehnya sebagai seorang pegawai bagi majikan tersebut;

"Menteri" ertinya Menteri yang dipertanggungkan dengan tanggungjawab dalam hal-hal yang berhubungan dengan Lembaga Kumpulan Wang Simpanan Pekerja;

"orang" termasuklah mana-mana ejen, syarikat, persatuan atau kumpulan orang sama ada diperbadankan atau tak diperbadankan;
"orang yang bekerja sendiri" ertinya mana-mana orang yang melakukan sesuatu pekerjaan yang mendatangkan hasil dan bukannya seorang pekerja;
"pekerja" ertinya mana-mana orang, yang bukannya orang yang perihalan-perihalannya dinyatakan dalam Jadual Pertama, yang diambil bekerja di bawah suatu kontrak perkhidmatan atau perantisan, sama ada secara bertulis atau lisan dan sama ada nyata atau tersirat, untuk bekerja bagi sesuatu majikan;
"pekerja berpencen" ertinya pekerja yang telah diletakkan dalam perjawatan berpencen yang berkenaan atau disifatkan telah diletakkan sedemikian di bawah mana-mana undang-undang bertulis yang menyentuh perletakan pekerja dalam perjawatan berpencen yang berkenaan oleh Kerajaan Malaysia atau Kerajaan mana-mana Negeri atau

oleh mana-mana pihak berkuasa berkanun atau tempatan;

"Pemeriksa" ertinya seseorang Pemeriksa yang dilantik di bawah seksyen 34;

"pinjaman perumahan khas" ertinya apa-apa pinjaman kepada syarikat yang diluluskan semata-mata bagi maksud pinjaman semula kepada peminjam bagi pembelian rumah kos rendah;

"Pengerusi" berhubungan dengan Lembaga termasuklah Timbalan Pengerusi;
"rumah" ertinya mana-mana rumah kediaman yang dibina atau sedang dibina dan termasuklah rumah pangsa, kondominium atau rumahkedai yang dibina atau sedang dibina bagi maksud kediaman atau sebahagiannya untuk kediaman dan sebahagiannya untuk menjalankan perniagaan, tred atau profesion di dalamnya;

"skim baru" ertinya gaji-gaji dan terma-terma dan syarat-syarat perkhidmatan yang dikaji semula bagi pekerja-pekerja dalam perkhidmatan Kerajaan Malaysia atau Kerajaan mana-mana Negeri atau pihak berkuasa berkanun atau tempatan yang timbul daripada kajian semula gaji-gaji dan terma-terma dan syarat-syarat perkhidmatan pekerja-pekerja itu yang dibuat oleh Kerajaan Malaysia atau Kerajaan mana-mana Negeri;


"syarikat diluluskan" ertinya suatu syarikat yang

(a) diperbadankan di Malaysia dan mempunyai suatu tempat perniagaan di Malaysia;

(b) (i) Tujuan tunggal atau utamanya adalah untuk menggalakkan pemunyaan rumah secara membuat pendahuluan jumlah- jumlah wang bagi pembelian tanah dan bangunan, yang mana wang pokok dan faedahnya kena dibayar balik secara ansuran dalam tempoh beberapa tahun yang tetap, yang tidak melebihi pada bila-bila masa nilai tanah dan bangunan tersebut yang dibuat oleh juruukur tanah berlesen atau pentaksir berlesen; atau

(ii) Dalam mana Kerajaan Malaysia mempunyai penyertaan dan tujuan tunggal atau utamanya adalah untuk membiayai industri; dan

(c) Diluluskan oleh Menteri melalui pemberitahuan dalam Warta bagi maksud menerima pinjaman-pinjaman daripada Lembaga mengikut seksyen 26A.

"upah" ertinya semua saraan dalam bentuk wang, yang kena dibayar kepada pekerja di bawah kontrak perkhidmatan atau perantisannya sama ada dipersetujui untuk dibayar secara bulanan, mingguan, harian atau selainnya dan termasuklah
apa-apa bonus, komisen atau elaun yang kena dibayar oleh majikan kepada pekerja sama ada bonus, komisen atau elaun itu kena dibayar di bawah kontrak perkhidmatan atau perantisannya atau selainnya, tetapi tidak termasuk-

(a) caj perkhidmatan;

(b) bayaran lebih masa;

(c) ganjaran;

(d) faedah persaraan;

(e) faedah pengurangan pekerja, pemberhentian sementara atau penamatan;

(f) mana-mana elaun perjalanan atau nilai mana-mana konsensi perjalanan; atau

(g) mana-mana saraan atau bayaran lain sebagaimana yang dikecualikan oleh Menteri.

[Pin. Akta A914, A958, A1080, A1123.]

Seksyen 3

Penubuhan Lembaga

BAHAGIAN II

LEMBAGA DAN PANEL PELABURAN

3. Bagi maksud-maksud menguruskan Kumpulan Wang dan bagi melaksanakan maksud-maksud Akta ini, suatu pertubuhan perbadanan dengan nama "Lembaga Wang Simpanan Pekerja" ditubuhkan yang kekal turun-temurun dan mempunyai suatu meterai biasa, dan yang boleh mendakwa dan didakwa atas nama perbadanannya dan, tertakluk kepada dan bagi maksud-maksud Akta ini, boleh membuat kontrak dan boleh memperolehi, membeli, mengambil, memegang dan menikmati harta alih dan tak alih daripada tiap-tiap perihalan dan boleh memindahhak, menyerahhak, menyerahkan, memulangkan, menggadai, menggadai-janji, mendemis, menyerahhak semula, memindahmilik atau selainnya melupuskan, atau memperlakukan mana-mana harta alih atau tak alih atau apa-apa kepentingan mengenainya yang terletakhak pada Lembaga atas apa-apa terma sebagaimana yang difikirkannya patut.
                                                                                                                                [Pin. Akta A1300.]

Seksyen 4

Keahlian Lembaga

4. (1) Lembaga hendaklah terdiri daripada

(a) Pengerusi;

(b) Timbalan Pengerusi yang hendaklah dilantik dari kalangan orang-orang yang disebut dalam perenggan (d)(i);

(c) Ketua Pegawai Eksekutif yang hendaklah menjadi seorang ahli ex-officio; dan

(d) tidak lebih daripada lapan belas orang ahli lain yang mana-

(i) Lima orang hendaklah merupakan orang-orang yang memegang jawatan beremolumen di bawah Kerajaan Malaysia atau Kerajaan sesuatu Negeri;

(ii) Lima orang hendaklah merupakan majikan-majikan yang mencarum kepada Kumpulan Wang dan yang bukannya orang-orang yang memegang jawatan beremolumen di bawah Kerajaan Malaysia atau Kerajaan sesuatu Negeri atau diambil bekerja oleh mana-mana pihak berkuasa berkanun atau tempatan;

(iii) Lima orang hendaklah merupakan pekerja-pekerja yang mencarum kepada Kumpulan Wang; dan

(iv) Tiga orang hendaklah merupakan orang-orang yang mempunyai pengalaman dalam kewangan, perniagaan atau pengalaman lain yang relevan.

(2) Jika Pengerusi itu bukanlah seorang wakil dari kementerian Kewangan,Menteri hendaklah melantik seorang wakil dari Kementerian Kewangan untuk menjadi seorang ahli Lembaga di bawah subseksyen 1(d)(i) yang hendaklah juga dilantik menjadi Timbalan Pengerusi.

(3) Ahli-ahli Lembaga, selain daripada Ketua Pegawai Eksekutif, hendaklah dilantik oleh Menteri dan, tertakluk kepada seksyen 6 dan 7 hendaklah, melainkan jika mereka meletakkan jawatan terlebih dahulu atau pelantikan mereka dibatalkan terlebih dahulu, memegang jawatan bagi sesuatu tempoh yang ditentukan oleh Menteri.  
(4) Ahli-ahli Lembaga tidaklah berhak kepada apa-apa saraan tetapi bolehlah dibayar apa-apa honorarium dan elaun perjalanan dan elaun sara hidup sebagaimana yang ditentukan oleh Menteri.

                                                                                                                    [Pin. Akta A914, A958.]

Seksyen 5

Ahli-ahli silih ganti

5. (1) Menteri bolehlah berkenaan dengan setiap orang ahli yang dilantik di bawah seksyen 4(1)(d)(i) melantik, dengan menamakannya, seseorang untuk menjadi seorang ahli silih ganti untuk menghadiri mesyuarat-mesyuarat Lembaga bagi menggantikan ahli itu apabila ahli itu tidak dapat hadir oleh kerana apa-apa sebab.

(2) Apabila menghadiri mesyuarat-mesyuarat Lembaga bagi menggantikan seseorang ahli, seseorang ahli silih ganti hendaklah bagi segala maksud disifatkan sebagai seorang ahli Lembaga.
 
(3) Seseorang ahli silih ganti hendaklah terhenti menjadi ahli silih ganti apabila ahli yang berkenaan dengannya dia adalah ahli silih ganti terhenti menjadi ahli Lembaga.

Seksyen 6

Tempoh jawatan

6. Tertakluk kepada seksyen 7(2), 8 dan 22, seseorang ahli Lembaga selain daripada ketua pegawai eksekutif, hendaklah memegang jawatan bagi suatu tempoh yang tidak melebihi tiga tahun dan adalah layak untuk dilantik semula.

[Pin. Akta A958.]

Seksyen 7

Perletakan jawatan dan pembatalan

7. (1) Seseorang ahli Lembaga, termasuklah Timbalan Pengerusi, boleh pada bila-bila masa meletakkan jawatannya melalui suatu notis bertulis yang ditujukan kepada Pengerusi, dan dalam hal Pengerusi, melalui suatu notis bertulis yang ditujukan kepada Menteri.

(2) Menteri boleh pada bila-bila masa membatalkan pelantikan seseorang ahli Lembaga jika difikirkannya suaimanfaat untuk berbuat demikian tanpa memberikan apa-apa sebab mengenainya.

Seksyen 8

Pengosongan jawatan

8. Seseorang ahli Lembaga hendaklah disifatkan telah mengosongkan jawatannya    

(a) atas kematiannya; atau

(b) atas kegagalannya untuk menghadiri tiga mesyuarat Lembaga secara berturut-turut tanpa kebenaran  Pengerusi.

Seksyen 9

Pengerusi dan enam orang ahli lain membentuk kuorum Lembaga

9. (1) Pengerusi atau Timbalan Pengerusi dan enam orang ahli lain adalah membentuk kuorum pada semua mesyuarat Lembaga.

(2) Dalam masa ketakhadiran Pengerusi, Timbalan Pengerusi hendaklah mempengerusikan semua mesyuarat Lembaga dan bolehlah menjalankan semua kuasa Pengerusi berkenaan dengan mesyuarat itu. 

(3) Lembaga hendaklah mempunyai kuasa untuk menentukan penjalanan prosidingnya.

Seksyen 10

Pengerusi mempunyai undi pemutus

10. (1) Jika atas apa-apa soal yang hendak ditentukan terdapat kesamarataan undi, Pengerusi hendaklah mempunyai undi pemutus sebagai tambahan kepada undi asalnya.

(2) Jika Pengerusi adalah juga ketua pegawai eksekutif, dia tidaklah mempunyai undi atas sifatnya sebagai ketua pegawai eksekutif.

[Pin. Akta A958.]

Seksyen 11

Kuasa Menteri untuk memberi arahan

11.
Menteri bolehlah memberi kepada Lembaga arahan-arahan yang bersifat am yang tidak tak konsisten dengan peruntukan-peruntukan Akta ini tentang penjalanan fungsi-fungsi dan kuasa-kuasa Lembaga dan Lembaga hendaklah melaksanakan arahan-arahan itu.

Seksyen 12

Tugas untuk mengemukakan maklumat kepada Menteri

12. Lembaga hendaklah mengemukakan kepada Menteri apa-apa maklumat berhubungan dengan kegiatan-kegiatannya sebagaimana yang dikehendaki oleh Menteri dari semasa ke semasa.

Seksyen 13

Pengesahan meterai

13. Segala suratikatan, dokumen dan suratcara lain yang menghendaki meterai Lembaga hendaklah dimeteraikan dengan meterai biasa Lembaga di hadapan Pengerusi dan ketua pegawai eksekutif, atau sama ada Pengerusi atau ketua pegawai eksekutif dan seorang ahli lain Lembaga, atau mana-mana dua orang ahli lain Lembaga dan mana-mana suratikatan, dokumen atau suratcara yang berupa sebagai dimeteraikan dengan meterai biasa Lembaga dan disahkan sedemikian hendaklah sehingga dibuktikan sebaliknya, disifatkan sebagai telah disempurnakan dengan sah:

Dengan syarat bahawa jika Pengerusi adalah juga ketua pegawai eksekutif, meterai biasa Lembaga hendaklah dimeteraikan di hadapan Pengerusi dan seorang ahli lain Lembaga.

[Pin. Akta A914, A958.]

 

Seksyen 14

Kuasa-kuasa dan tugas-tugas Lembaga

14. (1) Lembaga hendaklah mempunyai kuasa-kuasa dan hendaklah melaksanakan tugas-tugas sebagaimana yang diberikan atau dikenakan oleh Akta ini.

(2) Lembaga boleh melalui suratcara di bawah meterainya melantik mana-mana orang dan mewakilkan kepada orang tersebut sama ada di dalam Malaysia atau di mana-mana tempat di luar Malaysia semua atau mana-mana kuasa dan tugas Lembaga dan orang yang dilantik sedemikian itu boleh, tertakluk kepada suratcara tersebut, melakukan apa-apa tindakan atau menjalankan apa-apa kuasa atau melaksanakan apa-apa tugas yang dia diberikuasa oleh suratcara itu untuk melakukan atau melaksanakan.

(3) Lembaga boleh mengambil kerja dan membayar ejen, peguambela dan peguamcara, jurubank, broker saham atau mana-mana orang lain, untuk menjalankan apa-apa urusan atau melakukan apa-apa tindakan yang dikehendaki supaya dijalankan atau dilakukan dalam menjalankan kuasa-kuasanya atau dalam melaksanakan tugas-tugasnya atau bagi melaksanakan dengan lebih baik lagi maksud-maksud Akta ini.

Seksyen 15

Rizab am dan lain-lain akaun rizab

15. (1)  Lembaga bolehlah menubuhkan dan menguruskan suatu rizab am dan lain-lain akaun rizab.     
           
(2)  Pembayaran ke dalam dan keluar daripada akaun-akaun rizab hendaklah ditentukan oleh Lembaga.

Seksyen 16

Lembaga boleh menubuhkan apa-apa jawatankuasa

16. Walau apa pun apa-apa peruntukan lain dalam Akta ini, Lembaga bolehlah melantik mana-mana orang atau menubuhkan apa-apa jawatankuasa berkenaan dengan apa-apa perkara yang berhubungan dengan pengurusan dan pentadbiran Kumpulan Wang.

Seksyen 17

Kuasa untuk memberi pinjaman dan membuat pendahuluan kepada pegawai dan pekhidmatnya

17. Lembaga bolehlah memberi pinjaman dan membuat pendahuluan kepada pegawai dan pekhidmatnya atas apa-apa terma dan syarat yang ditentukan oleh Lembaga. 

Seksyen 18

Penubuhan dan keahlian Panel

18. (1) Suatu Panel Pelaburan yang bertanggungjawab bagi perkara-perkara yang berkenaan dengan pelaburan Kumpulan Wang dan yang hendaklah terdiri daripada ahli yang berikut ditubuhkan:

(a) Pengerusi, atau mana-mana orang lain yang dilantik oleh Menteri, yang hendaklah menjadi Pengerusi Panel Pelaburan;

(b) Timbalan Pengerusi yang hendaklah merupakan wakil Kementerian Kewangan;

(c) Gabenor Bank Negara Malaysia atau wakilnya;

(d) ketua pegawai eksekutif, yang hendaklah menjadi seorang ahli ex-officio; dan

(e) tiga orang lain yang hendaklah mempunyai pengalaman dalam kewangan, perniagaan atau pengalaman 
     lain yang relevan, yang hendaklah dilantik oleh Menteri.

(2) Panel Pelaburan hendaklah tertakluk kepada apa-apa arahan yang dikeluarkan oleh Lembaga dan diluluskan oleh Menteri, dari semasa ke semasa.

(3) Ahli-ahli Panel Pelaburan tidaklah berhak kepada apa-apa saraan tetapi bolehlah dibayar apa-apa honorarium dan elaun perjalanan dan elaun sara hidup sebagaimana yang ditentukan oleh Lembaga, dengan kelulusan Menteri.

 

                                                                                                               [Pin. Akta A958, Akta A1300.]

Seksyen 19

Pengosongan Jawatan

19. Seseorang ahli  Panel Pelaburan  hendaklah  disifatkan telah mengosongkan jawatannya         

(a) atas kematiannya; atau

(b) atas kegagalannya untuk menghadiri tiga mesyuarat Panel Pelaburan secara berturut-turut tanpa kebenaran Pengerusi Panel Pelaburan.

Seksyen 20

Kuorum dan Penjalanan Prosiding

20. (1) Pengerusi atau Timbalan Pengerusi Panel Pelaburan dan dua orang ahli lain Panel Pelaburan adalah membentuk kuorom pada semua mesyuarat Panel Pelaburan.

(1A) Dalam masa ketidakhadiran Pengerusi, Tmbalan Pengerusi hendaklah mempengerusikan semua mesyuarat Panel Pelaburan dan, hendaklah menjalankan semua kuasa Pengerusi berkenaan dengan mesyuarat itu.      

(2) Tertakluk kepada seksyen 18(2), Panel Pelaburan hendaklah mempunyai kuasa untuk menentukan penjalanan prosidingnya.

                                                                                                                               [Pin. Akta. A1300.]

Seksyen 21

Pengerusi Panel Pelaburan mempunyai undi pemutus

21. (1) Jika atas apa-apa soal yang hendak ditentukan terdapatkesamarataan undi, Pengerusi Panel Pelaburan hendaklah mempunyai undi pemutus sebagai tambahan kepada undi asalnya.      

(2) Jika Pengerusi adalah juga ketua pegawai eksekutif dan dia dilantik sebagai Pengerusi Panel Pelaburan, dia tidaklah mempunyai undi atas sifatnya sebagai ketua pegawai eksekutif.

[Pin. Akta A958.]

Seksyen 22

Ketaklayakan daripada keahlian Lembaga dan Panel Pelaburan

22. Orang-orang yang berikut tidak layak dilantik sebagai ahli Lembaga atau Panel Pelaburan atau jika dia adalah seorang ahli Lembaga atau Panel Pelaburan dia hendaklah terhenti daripada menjadi ahli:
  1. seseorang yang tak sempurna akal atau selainnya tak upaya melaksanakan tugas-tugasnya;
  2. seseorang yang telah disabitkan atas suatu kesalahan dan dihukum dengan pemenjaraan bagi suatu tempoh yang tidak kurang daripada satu tahun;
  3. seseorang yang telah disabitkan atas suatu kesalahan yang melibatkan fraud, ketakjujuran, atau keburukan akhlak; atau
  4. seseorang bankrap.

Seksyen 23

Pendedahan kepentingan

23. (1) Tiap-tiap ahli Lembaga atau Panel Pelaburan, yang mempunyai secara langsung atau tak langsung melalui dirinya sendiri, suami isteri atau anak-anaknya, apa-apa kepentingan dalam apa-apa perkara yang sedang dibincangkan oleh Lembaga, Panel Pelaburan atau mana-mana jawatan- kuasa yang baginya dia adalah seorang ahli, hendaklah mendedahkan kepada Lembaga, Penel Pelaburan atau jawatankuasa, mengikut mana yang berkenaan, fakta mengenai kepentingan- nya dan jenis kepentingannya dengan seberapa segera yang praktik selepas fakta relevan itu telah sampai kepada pengetahuannya.

(2) Mana-mana ahli Lembaga, Panel Pelaburan atau jawatankuasa yang gagal mendedahkan kepentingannya sepertimana yang diperuntukkan di bawah subseksyen (1) adalah melakukan suatu kesalahan dan, apabila disabitkan, boleh dipenjarakan selama suatu tempoh yang tidak melebihi tiga tahun atau didenda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit atau kedua-duanya.
(3) Tiap-tiap perisytiharan di bawah seksyen ini hendaklah direkodkan dalam minit Lembaga, Panel Pelaburan atau jawatankuasa, dan selepas apa-apa perisytiharan dibuat di bawah subseksyen (1), ahli Lembaga, Panel Pelaburan atau jawatankuasa itu, mengikut mana yang berkenaan, hendaklah

(a)   tidak mengambil bahagian dan juga tidak hadir dalam apa-apa pertimbangtelitian atau keputusan Lembaga, Panel Pelaburan atau jawatankuasa atau jawatankuasa berhubungan dengan perkara tersebut; dan

(b)   tidak diambil kira bagi maksud membentuk kuorum Lembaga, Panel Pelaburan atau jawatankuasa untuk pertimbangtelitian atau keputusan tersebut.

(4) Tiada tindakan atau prosiding Lembaga, Panel Pelaburan atau jawatankuasa boleh menjadi tak sah atas alasan bahawa mana-mana ahli Lembaga, Panel Pelaburan atau jawatankuasa telah melanggar peruntukan-peruntukan seksyen ini.

 

Seksyen 24

Penubuhan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja

BAHAGIAN III

KUMPULAN WANG

24. (1) Bagi maksud-maksud Akta ini maka hendaklah ditubuhkan suatu kumpulan wang yang dipanggil "Kumpulan Wang Simpanan Pekerja", yang ke dalamnya hendaklah dibayar-

(a) segala caruman yang dikehendaki supaya dibuat di bawah Akta ini;

(b) wang yang diperolehi dengan menjalankan apa-apa projek, skim atau perusahaan yang dibiayai daripada Kumpulan Wang;

(c) wang yang diperolehi atau berbangkit daripada apa-apa harta, pelaburan, gadai-janji, gadaian atau debentur yang diperolehi oleh atau terletakhak pada Lembaga; dan

(d) segala jumlah wang atau harta lain yang mengikut apa-apa cara menjadi kena dibayar kepada atau terletakhak pada Lembaga berkenaan dengan apaapa perkara yang bersampingan dengan kuasa-kuasa dan tugas-tugasnya.

(2) Kumpulan Wang hendaklah dibelanjakan bagi maksud-

(a) menjelaskan segala pembayaran yang dikehendaki supaya dibuat di bawah Akta ini;

(b) pelaburan di bawah Akta ini;

(c) memberi pinjaman dan membuat pendahuluan kepada pegawai dan pekhidmat Lembaga;

(d) membayar, apa-apa belanja yang dilakukan dengan sahnya oleh Lembaga termasuklah apa-apa fee ukur atau fee guaman dan kos atau apa-apa fee lain dan kos di bawah seksyen 14, dan saraan pegawai dan pekhidmat yang dilantik dan diambil bekerja oleh Lembaga termasuklah elaun persaraan, pencen atau ganjaran;

(e) membayar apa-apa belanja lain, kos atau perbelanjaan yang dilakukan dengan sepatutnya atau diterima oleh Lembaga dalam melaksanakan kuasa-kuasanya dan melaksanakan tugas-tugasnya;

(f) membayar balik apa-apa wang yang dipinjamkan di bawah Akta ini jika ada, dan faedah yang kena dibayar ke atasnya; dan

(g) pada amnya membayar apa-apa belanja bagi melaksanakan peruntukan-peruntukan Akta ini dan berkaitan dengan pentadbiran Kumpulan Wang.

                                                                                                                                     [Pin. Akta A914.]

Seksyen 25

Lembaga hendaklah menjadi pemegang amanah Kumpulan Wang

25. Lembaga hendaklah menjadi pemegang amanah Kumpulan Wang.

Seksyen 26

Kuasa Lembaga untuk melabur

26. (1) Lembaga boleh tertakluk kepada subseksyen 18(2), melabur wang kepunyaan Kumpulan Wang mengikut cara yang berikut:

(a) didepositkan dalam-

(i) Bank Negara Malaysia; atau 

(ii) bank yang dilesenkan sewajarnya di bawah Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 [Akta 372]; atau 

(iii) mana-mana institusi kewangan lain yang dilesenkan sewajarnya di bawah Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 dan diluluskan oleh Menteri;

(b) dilaburkan dalam-

(i) saham mana-mana syarikat awam yang tersenarai dalam bursa saham yang ditubuhkan di Malaysia dan pembelian saham baru, terbitan atau jualan yang baginya telah diluluskan di bawah Akta Perindustrian Sekuriti 1983 [Akta 280], dalam mana-mana syarikat awam berhad yang diperbadankan di Malaysia yang tersenarai dalam suatu bursa saham di Malaysia atau yang penyenaraiannya dalam suatu bursa saham di Malaysia telah diluluskan di bawah Akta Perindustrian Sekuriti 1983; atau 

(ii) debentur mana-mana syarikat awam;

(c) dalam bon-bon atau pembelian kertas-kertas gadai-janji, nota-nota perdagangan, persetujuan-persetujuan jurubank, kertas-kertas pasaran wang, sijil-sijil deposit, sekuriti hutang persendirian, nota-nota janji hutang dan bil-bil pertukaran mengikut pengertian Akta Bil-Bil Pertukaran 1949 [Akta 204] dan instrumen bolehniaga lain jenis yang seumpamanya;

(d) mengikut peruntukan-peruntukan Akta Pemegang Amanah 1949 [Akta 208]: 
Dengan syarat bagaimanapun, jika Lembaga melaburkan dalam atau atas hakmilik-hakmilik kepada harta tak alih di Malaysia mengikut seksyen 4(1)(c) Akta Pemegang Amanah 1949, harta tak alih itu mungkin atau mungkin tidak menghasilkan apa-apa pendapatan pada masa pelaburan itu;

(e) memberi pinjaman kepada Kerajaan Persekutuan atau Negeri; dan

(f) memberi pinjaman kepada ahli Kumpulan Wang tertakluk kepada apa-apa terma dan syarat sebagaimana yang boleh ditentukan oleh Lembaga bagi maksud pembelian atau pembinaan sebuah rumah.


(2) Lembaga boleh dengan kebenaran bertulis Menteri, melabur wang kepunyaan Kumpulan Wang dengan cara yang berikut:

(a) didepositkan dalam mana-mana bank atau institusi kewangan yang ditubuhkan oleh atau di bawah mana-mana undang-undang bertulis;

(b) dilaburkan dalam apa-apa usahasama;

(c) menyertai dalam apa-apa program penswastaan;

(d) memberi pinjaman kepada mana-mana syarikat yang diperbadankan di bawah Akta Syarikat 1965 [Akta 125] atau mana-mana perbadanan yang ditubuhkan oleh atau di bawah mana-mana undang-undang bertulis;

(e) dengan melabur dalam apa-apa pelaburan di luar Malaysia; 

(ea) dengan menyertai atau menjalankan urus niaga dalam apa-apa instrumen derivatif; atau

(f) dilaburkan dalam apa-apa bentuk pelaburan yang lain.


(3) Bagi maksud seksyen ini

"debentur" termasuklah stok debentur, bon-bon, nota-nota dan mana-mana sekuriti lain sesebuah perbadanan sama ada membentuk suatu gadaian ke atas aset perbadanan atau tidak; 

"instrumen derivatif" ertinya suatu kontrak kewangan termasuk kontrak hadapan, kontrak niagaan ke depan dan kontrak opsyen; dan

"saham" ertinya saham-saham berbayar (sama ada dibayar secara penuh atau tidak) dalam modal saham syarikat dan termasuklah stok-stok dan hak-hak untuk melanggan bagi mana-mana stok dan saham. 

(4) Lembaga boleh, jika suatu mata wang asing dikehendaki sebagai suatu instrumen pelaburan, dalam menjalankan pelaburan yang telah diluluskan dibawah seksyen ini, membuat pinjaman mata wang asing bagi maksud pelaburan itu.

[Gan. Akta A914, Pin. Akta A1300.]

Seksyen 26A

Kuasa Lembaga untuk melabur dalam syarikat yang diluluskan

26A. (1) Sebagai tambahan kepada kuasa Lembaga untuk melabur mengikut seksyen 26, Lembaga boleh melabur

(a) secara pinjaman kepada sesuatu syarikat diluluskan atau pembelian syer dalam sesuatu syarikat diluluskan; atau

(b) secara pinjaman perumahan khas kepada sesuatu syarikat diluluskan.


(2) Tiada wang kepunyaan Kumpulan Wang boleh dilaburkan mengikut subseksyen (1) melainkan jika

(a) modal syer biasa berbayar syarikat diluluskan itu adalah tidak kurang daripada lima juta ringgit Malaysia;

(b) syarikat diluluskan itu telah membayar dividen pada kadar yang tidak kurang daripada lima peratus ke atas modal syer biasa itu dalam setiap tiga tahun yang terakhir sebelum masa pelaburan itu dan jika syarikat diluluskan itu adalah suatu syarikat yang telah memperolehi aset-aset dan liabilitiliabiliti sesuatu syarikat diluluskan yang lain, pembayaran dividen oleh syarikat yang lain itu dalam setiap tiga tahun yang terakhir sebelum masa perolehan itu hendaklah dianggap sebagai pembayaran oleh syarikat diluluskan itu;

(c) dalam hal sesuatu syarikat diluluskan yang tujuan tunggal atau utamanya adalah untuk menggalakkan pemunyaan rumah dan, jumlah amaun peminjaman syarikat diluluskan itu daripada semua sumber, tidak termasuk amaun apaapa pinjaman perumahan khas, sama ada pemegang amanah atau tidak, yang telah diterima oleh syarikat diluluskan itu atas pinjaman dan deposit, dan termasuk faedah yang kena dibayar ke atasnya dan tidak dibayar balik oleh syarikat diluluskan itu, tidak pada bila-bila masa melebihi tiga perempat daripada amaun, tidak termasuk faedah akan datang, yang pada masa itu dicagarkan kepada syarikat diluluskan itu daripada peminjam-peminjamnya: 

Dengan syarat bahawa Menteri boleh mengubah apaapa had yang dikenakan ke atas jumlah amaun pinjaman syarikat diluluskan dalam perenggan ini;

(d) suatu perakuan bahawa peruntukan-peruntukan perenggan (a), (b) dan (c) subseksyen ini telah dipatuhi berkenaan dengan tahun kewangan yang terakhir bagi syarikat diluluskan itu, jika dimasukkan dalam laporan juruaudit yang dilampirkan kepada akaun tahunan syarikat diluluskan itu yang dikehendaki disediakan di bawah Akta Syarikat 1965 [Akta 125], yang kepadanya syarikat diluluskan itu tertakluk, hendaklah muktamad memihak kepada Lembaga yang membuat pelaburan itu; dan

(e) mana-mana perjanjian tentang pembayaran balik yang dibuat antara Lembaga dan syarikat diluluskan itu hendaklah ditamatkan dengan serta-merta jika-

(i) syarikat diluluskan itu terhenti daripada mematuhi mana-mana peruntukan perenggan (a), (b) dan (c) subseksyen ini; 

(ii) syarikat diluluskan itu tidak mendapatkan suatu perakuan dalam terma-terma dan mengikut cara yang dinyatakan dalam perenggan (d) subseksyen ini; atau 

(iii) Menteri boleh, pada bila-bila masa melalui pemberitahuan dalam Warta, mengarahkan bahawa syarikat itu hendaklah terhenti daripada menjadi suatu syarikat diluluskan akibat daripada pertimbangannya bahawa syarikat itu telah menyimpang daripada tujuan tunggal atau utamanya,

dan apa-apa wang kepunyaan Kumpulan Wang hendaklah sesudah itu kena dibayar balik dengan serta-merta.

[Mas. Akta A914; Pin. Akta A958.]

 

Seksyen 26B

Lembaga melabur dalam Sekuriti Kerajaan

26B. (1) Tertakluk kepada apa-apa perubahan yang boleh dibuat oleh Menteri di bawah subsekyen (2), Lembaga hendaklah melaburkan atau melaburkan semula sekurang-kurangnya lima puluh peratus, daripada wang yang dipunyai oleh Kumpulan Wang dan dilaburkan atau dilaburkan semula dalam mana-mana satu tahun, dalam sekuriti-sekuriti yang diterbitkan oleh Kerajaan Malaysia dengan syarat bahawa jumlah amaun wang dilaburkan sedemikian dalam sekuritisekuriti itu pada bila-bila masa tertentu tidaklah boleh kurang daripada tujuh puluh peratus daripada jumlah pelaburan Kumpulan Wang.

(2) Menteri boleh, atas permohonan Lembaga, mengubah peratusan yang dinyatakan dalam subseksyen (1).

(3) Bagi maksud seksyen ini, sekuriti-sekuriti yang diterbitkan oleh Kerajaan Malaysia hendaklah termasuk

(a)   pinjaman yang dijamin sepenuhnya oleh Kerajaan Malaysia; 

(b)   sekuriti atau surat cara boleh niaga yang dijamin sepenuhnya oleh Kerajaan Malaysia termasuk sekuriti atau surat cara boleh niaga yang diterbitkan oleh sesuatu perbadanan yang dipunyai sepenuhnya oleh Kerajaan Malaysia; 

(c)   kertas-kertas Bank Negara Malaysia; 

(d)   sekuriti atau surat cara boleh niaga yang dijamin sepenuhnya oleh Bank Negara Malaysia termasuk sekuriti atau surat cara boleh niaga yang diterbitkan oleh sesuatu perbadanan yang dipunyai sepenuhnya oleh Bank Negara Malaysia; 

(e)   apa-apa surat cara komersial (yang mempunyai sifat boleh niaga) yang diterbitkan oleh Kerajaan Negeri atau pihak berkuasa tempatan dengan tempoh matang sekurangkurangnya tiga tahun dari tarikh terbitan; dan 

(f)   apa-apa deposit dalam akaun sumbangan pendahuluan di 
Bank Negara Malaysia di bawah subperenggan 26(1)(a)(i).

[Mas. Akta A914; Pin. Akta A958, A1123.]

 

Seksyen 26C

Kuasa Lembaga untuk menubuhkan perbadanan atau syarikat

26C. (1) Lembaga boleh, dalam melaksanakan kuasa pelaburan di bawah Akta ini, dari semasa ke semasa, dengan kelulusan khas Menteri

(a) menubuhkan sesuatu perbadanan dengan apa-apa nama sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Lembaga; 

(b) menubuhkan sesuatu syarikat di bawah Akta Syarikat 1965 dengan apa-apa nama yang difikirkan sesuai oleh Lembaga; atau 

(c) mengambil alih apa-apa syarikat, untuk menjalankan, mentadbirkan, melakukan dan menguruskan apa-apa projek, usahasama, program penswastaan, skim, perusahaan atau apa-apa perkara lain yang telah dirancangkan atau diusahakan oleh Lembaga.

(2) Peruntukan Jadual Ketujuh hendaklah terpakai bagi sesuatu perbadanan yang ditubuhkan di bawah perenggan (1)(a) dan Akta Syarikat 1965 hendaklah terpakai bagi sesuatu syarikat yang ditubuhkan atau diambil alih di bawah perenggan (1)(b) atau (c), masing-masingnya.

[Mas. Akta A958.]



                                    

Seksyen 27

Perisytiharan dividen

27. Pada atau selepas berakhirnya tahun kewangan, iaitu pada 31hb Disember setiap tahun, Lembaga hendaklah dengan kelulusan Menteri, mengisytiharkan kadar dividen berkenaan dengan tahun itu, iaitu suatu kadar yang tidak kurang daripada dua setengah peratus setahun dan, tertakluk kepada seksyen 50, dividen hendaklah kena dibayar ke atas caruman-caruman kepada Kumpulan Wang pada kadar tersebut: 
Dengan syarat bahawa-

(a) tiada kadar dividen yang melebihi dua setengah peratus setahun boleh diisytiharkan sedemikian melainkan jika Lembaga berpuas hati bahawa pada pendapatnya keupayaan Kumpulan Wang untuk menjelaskan segala pembayaran yang dikehendaki supaya dibayar di bawah Akta ini tidak dibahayakan oleh perisytiharan kadar tersebut; dan

(b) tiada kadar dividen yang melebihi dua setengah peratus setahun boleh diisytiharkan sedemikian jika apa-apa jumlah wang yang didahulukan oleh Kerajaan Malaysia di bawah seksyen 28 telah tidak ketika itu dibayar balik.

[Pin. Akta A914.]

Seksyen 28

Peruntukan bagi pendahuluan daripada Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan

28. Jika Kumpulan Wang pada bila-bila masa tidak berupaya untuk membayar apa-apa jumlah wang yang Kumpulan Wang dikehendaki membayar di bawah Akta ini, jumlah wang yang dikehendaki dibayar sedemikian hendaklah dipertanggungkan ke atas dan didahulukan kepada Kumpulan Wang daripada Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan dan Kumpulan Wang hendaklah dengan seberapa segera yang praktik membayar balik kepada Kerajaan Malaysia jumlah wang yang telah didahulukan sedemikian.

Seksyen 29

Pengauditan akaun-akaun tahunan Kumpulan Wang

29. Akaun-akaun tahunan Kumpulan Wang hendaklah diaudit mengikut peruntukan-peruntukan Akta Badan Berkanun (Akaun dan Laporan Tahunan) 1980 [Akta 240].

Seksyen 29A

Pelaburan oleh ahli Kumpulan Wang

BAHAGIAN IIIA 

PELABURAN OLEH AHLI KUMPULAN WANG

29A. (1) Walau apa pun apa-apa peruntukan yang berlawanan dengan Akta ini, Lembaga boleh, tertakluk kepada apa-apa peraturan-peraturan dan kaedah-kaedah yang dibuat di bawah Akta ini

(a) membenarkan suatu permohonan yang dibuat oleh seseorang ahli Kumpulan Wang bagi pelaburan dalam institusi pengurusan dana atau institusi-institusi lain yang diluluskan oleh Menteri bagi maksud pelaburan dalam mana-mana pelaburan yang diluluskan oleh Menteri; dan 

(b) membenarkan pemindahan apa-apa amaun yang ada pada kredit ahli Kumpulan Wang itu ke dalam institusi pengurusan dana atau institusi-institusi lain yang diluluskan oleh Menteri tertakluk kepada apa-apa terma dan syarat yang difikirkannya patut.

(2) Jika Lembaga telah membenarkan pemindahan suatu jumlah wang yang ada pada kredit ahli itu di bawah subseksyen (1)

(a) amaun yang dibenarkan itu tidak boleh dibayar dividen sebagaimana yang diisytiharkan oleh Lembaga di bawah seksyen 27; dan

(b) amaun itu hendaklah disifatkan telah dikeluarkan daripada kredit ahli itu di Kumpulan Wang mulai dari tarikh ahli itu mencapai umur 55 tahun dan ahli itu boleh berurusan terus dengan institusi pengurusan dana atau institusi-institusi yang diluluskan oleh Menteri berhubung dengan kredit itu.

[Pin. Akta A958, A1300.]

Seksyen 30

Pelantikan ketua pegawai eksekutif, pegawai dan pekhidmat Lembaga

BAHAGIAN IV

PELANTIKAN PEGAWAI DAN PEKHIDMAT, KUASA-KUASA,
FUNGSI-FUNGSI DAN TUGAS-TUGAS MEREKA


30. (1) Menteri hendaklah melantik seseorang yang layak dan sesuai, atas apa-apa terma dan syarat sebagaimana yang ditentukannya, sebagai ketua pegawai eksekutif, yang boleh diberikan apa-apa nama jawatan sebagaimana yang ditentukan oleh Lembaga.

(2) Jika tiada pelantikan ketua pegawai eksekutif dibuat di bawah subseksyen (1), Pengerusi hendaklah menjalankan tugas-tugas ketua pegawai eksekutif dan hendaklah dikenali sebagai Pengerusi Eksekutif dan apa-apa saraan atau elaun yang dibayar hendaklah ditentukan oleh Menteri.

(3) Lembaga hendaklah melantik seberapa orang pegawai atau pekhidmat lain, sebagaimana yang difikirkan perlu bagi penjalanan cekap urusan Lembaga, atas apa-apa terma dan syarat sebagaimana yang ditentukan oleh Lembaga, yang boleh diberikan apa-apa jua nama jawatan sebagaimana yang ditentukannya.

(4) Ketua pegawai eksekutif hendaklah, tertakluk kepada arahan Lembaga ke atas perkara-perkara polisi, dipertanggungkan dengan pentadbiran dan pengurusan harian mengenai hal-ehwal Lembaga dan kawalan pentadbiran mengenai pegawai-pegawai dan pekhidmatpekhidmatnya.

(5) Tertakluk kepada seksyen 31 dan 33, adalah menjadi tugas Lembaga untuk melantik, mengesahkan, meletakkan dalam perjawatan tetap atau berpencen, menaikkan pangkat, menukarkan dan menjalankan kawalan tatatertib ke atas pegawai-pegawai dan pekhidmat-pekhidmatnya.

(6) Lembaga boleh mewakilkan mana-mana fungsinya di bawah subseksyen (5) kepada mana-mana ahli Lembaga, pegawai atau kepada mana-mana jawatankuasa, yang terdiri daripada beberapa orang ahli atau pegawai atau beberapa orang ahli dan pegawai kedua-duanya, yang dilantik olehnya, dan ahli, pegawai atau jawatankuasa itu hendaklah menjalankan fungsi-fungsi itu di bawah arahan dan kawalan Lembaga.

[Pin. Akta A914, A958, A1080.]

Seksyen 31

Penubuhan Jawatankuasa Tatatertib

31. (1) Suatu Jawatankuasa Tatatertib Lembaga yang bertanggungjawab bagi perkara-perkara yang berhubungan dengan tatatertib pegawai dan pekhidmat Lembaga ditubuhkan.

(2) Jawatankuasa Tatatertib hendaklah terdiri daripada lima orang ahli Lembaga yang hendaklah dilantik oleh Lembaga, yang salah seorang daripada mereka hendaklah dilantik sebagai pengerusi Jawatankuasa.

(3) Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib dan dua orang ahli Jawatankuasa hendaklah membentuk suatu kuorum dalam semua mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib.

(4) Jawatankuasa Tatatertib hendaklah mempunyai kuasa untuk menentukan prosidingnya.

(5) Dalam menjalankan fungsi tatatertibnya, Jawatankuasa Tatatertib hendaklah mempunyai kuasa untuk mengambil apa-apa tindakan tatatertib dan mengenakan apa-apa hukuman tatatertib sebagaimana yang diperuntukkan oleh mana-mana kaedah-kaedah tatatertib yang dibuat di bawah seksyen 73.

(6) Jawatankuasa Tatatertib boleh, tertakluk kepada subseksyen (7), mewakilkan mana-mana fungsi, kuasa atau tugas tatatertibnya selain hukuman tatatertib bagi pembuangan kerja atau penurunan pangkat kepada mana-mana pegawai atau pekhidmat Lembaga, atau kepada mana-mana jawatankuasa pegawai dan pekhidmat Lembaga, berkenaan dengan mana-mana pegawai atau pekhidmat tertentu Lembaga atau berkenaan dengan mana-mana kelas atau kategori pegawai atau pekhidmat Lembaga, dan pegawai dan pekhidmat atau jawatankuasa yang diwakilkan dengan fungsi, kuasa atau tugas itu hendaklah melaksanakan, menjalankan atau menunaikannnya di bawah arahan dan kawalan Jawatankuasa Tatatertib yang hendaklah mempunyai kuasa untuk mengkaji semula, membatalkan atau mengubah apa-apa keputusan atau dapatan pegawai atau pekhidmat atau jawatankuasa itu.

(7) Tiada pewakilan boleh dibuat di bawah subseksyen (6) bagi membolehkan seseorang pegawai atau pekhidmat Lembaga menjalankan apa-apa kuasa tatatertib atau menjadi seorang ahli suatu jawatankuasa yang boleh menjalankan apa-apa kuasa tatatertib ke atas seseorang pegawai atau pekhidmat yang lebih tinggi daripadanya dari segi pangkat.


[Pin. Akta A914, A958, A1080, A1300.]

Seksyen 31A

Penubuhan Jawatankuasa Rayuan Tatatertib

31A. (1) Suatu Jawatankuasa Rayuan Tatatertib Lembaga yang bertanggungjawab bagi perkara-perkara yang berhubungan dengan rayuan terhadap keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa Tatatertib di bawah seksyen 31 ditubuhkan.

(2) Jawatankuasa Rayuan Tatatertib hendaklah terdiri daripada tujuh orang ahli Lembaga yang hendaklah dilantik oleh Lembaga, yang salah seorang daripada mereka  hendaklah dilantik sebagai pengerusi Jawatankuasa itu.
(3) Pengerusi Jawatankuasa Rayuan Tatatertib dan empat orang ahli lain Jawatankuasa Rayuan Tatatertib hendaklah membentuk suatu kuorum dalam semua mesyuarat Jawatankuasa Rayuan Tatatertib.
(4) Jawatankuasa Rayuan Tatatertib hendaklah mempunyai kuasa untuk menentukan penjalanan prosidingnya.
(5) Mana-mana pegawai atau pekhidmat Lembaga yang terkilan dengan keputusan Lembaga Jawatankuasa Tatatertib atau mana-mana orang atau jawatankuasa yang diwakilkan dengan kuasa, fungsi atau tugas di bawah subseksyen 31(5) boleh merayu terhadap keputusan itu kepada Jawatankuasa Rayuan Tatatertib dalam masa tiga puluh hari dari tarikh penyampaian keputusan itu ke alamat terakhir yang diketahui pegawai atau pekhidmat itu.
(6)  Keputusan Jawatankuasa Rayuan Tatatertib itu adalah muktamad.
[Mas. Akta A1300.]

Seksyen 32

Pengenaan surcaj

32. 
(1) Jika Lembaga berpuas hati bahawa mana-mana orang yang sedang atau pernah berkhidmat dengan Lembaga:-

(a) Bertanggungjawab atau telah bertanggungjawab bagi apa-apa pembayaran wang dengan tak sepatutnya daripada Kumpulan Wang atau bagi apa-apa pembayaran wang itu yang tidak disokong dengan sewajarnya; 
(b) bertanggungjawab atau telah bertanggungjawab bagi apaapa kekurangan dalam, atau bagi kemusnahan pada, apaapa wang, setem-setem, sekuriti-sekuriti, stor-stor atau lain-lain harta Lembaga; 
(c) yang menjadi atau pernah menjadi pegawai perakaunan, gagal atau telah gagal untuk menyimpan akaun-akaun atau rekod-rekod yang sepatutnya; atau 
(d) telah gagal untuk membuat apa-apa pembayaran, atau bertanggungjawab atau telah bertanggungjawab bagi apaapa kelengahan dalam pembayaran, akan wang daripada Kumpulan Wang kepada mana-mana orang yang kepadanya pembayaran tersebut kena dibayar di bawah mana-mana kontrak, perjanjian atau perkiraan yang dibuat di antara orang tersebut dan Lembaga,

dan jika penjelasan yang memuaskan tidak dikemukakan kepada Lembaga dalam tempoh yang dinyatakan oleh Lembaga, berkenaan dengan kegagalan untuk memungut, pembayaran tak sepatutnya, pembayaran yang tidak disokong dengan sewajarnya, kekurangan atau kemusnahan, atau kegagalan untuk menyimpan akaun-akaun atau rekod-rekod yang sepatutnya, atau kegagalan untuk membuat pembayaran, atau kelengahan dalam membuat pembayaran, maka Lembaga boleh mengenakan surcaj terhadap orang tersebut sejumlah wang yang tidak melebihi amaun itu bagi mana-mana amaun yang tidak dipungut, mana-mana pembayaran, kekurangan, atau kerugian atau nilai harta yang dimusnahkan tersebut, mengikut mana yang berkenaan; dan berkenaan dengan kegagalan untuk menyimpan akaun-akaun atau rekod-rekod yang sepatutnya, atau kegagalan untuk membuat pembayaran, atau kelengahan dalam membuat pembayaran, Lembaga boleh mengenakan surcaj terhadap orang tersebut sesuatu jumlah wang sebagaimana yang difikirkan patut oleh Lembaga.

(2) Lembaga hendaklah menyebabkan ketua pegawai eksekutif diberitahu tentang apa-apa surcaj yang dibuat di bawah subseksyen (1) dan ketua pegawai eksekutif hendaklah sesudah itu memberitahu orang yang disurcaj itu.

(3) Lembaga boleh pada bila-bila masa menarik balik apa-apa surcaj yang berkenaan dengannya penjelasan yang memuaskan telah diterima atau jika selainnya ternyata bahawa tiada surcaj patut dibuat, dan Lembaga hendaklah dengan serta-merta menyebabkan ketua pegawai eksekutif diberitahu tentang penarikan balik tersebut.

(4) Amaun apa-apa surcaj yang dikenakan di bawah subseksyen (1) dan tidak ditarik balik di bawah subseksyen (3) hendaklah menjadi hutang yang kena dibayar kepada Lembaga oleh orang yang terhadapnya surcaj itu dikenakan dan boleh didakwa dan didapatkan kembali dalam mana-mana mahkamah secara guaman oleh Lembaga dan boleh juga didapatkan kembali melalui potongan-

(a) daripada gaji orang yang disurcaj tersebut jika Lembaga mengarahkan sedemikian; atau 
(b) daripada pencen orang yang disurcaj tersebut jika Lembaga mengarahkan sedemikian,

secara ansuran bulanan yang setara yang tidak melebihi satu-perempat daripada jumlah gaji atau pencen bulanan orang tersebut, mengikut mana yang berkenaan.

[Pin. Akta A958.]

Seksyen 33

Penubuhan Jawatankuasa Kenaikan Pangkat berkenaan dengan pegawai-pegawai dan pekhidmat-pekhidmat Lembaga

33. (1) Suatu Jawatankuasa Kenaikan Pangkat Lembaga berkenaan dengan pegawai dan pekhidmat Lembaga selain ketua pegawai eksekutif, yang hendaklah terdiri daripada lima orang ahli Lembaga yang hendaklah dilantik oleh Lembaga, yang salah seorang daripada mereka hendaklah dilantik sebagai pengerusi Jawatankuasa ditubuhkan.

(1A) Pengerusi Jawatankuasa Kenaikan Pangkat dan dua orang ahli lain Jawatankuasa Kenaikan Pangkat hendaklah membentuk suatu kuorum pada semua mesyuarat Jawatankuasa Kenaikan Pangkat.

(1B) Jika atas apa-apa soal yang hendaklah ditentukan terdapat kesamarataan undi, pengerusi Jawatankuasa Kenaikan Pangkat hendaklah mempunyai undi pemutus sebagai tambahan kepada undi asalnya.

(1C) Jawatankuasa Kenaikan Pangkat hendaklah mempunyai kuasa untuk menentukan penjalanan prosidingnya.

(2) Jawatankuasa Kenaikan Pangkat hendaklah mempunyai kuasakuasa, fungsi-fungsi dan tugas-tugas yang berhubungan dengan kenaikan pangkat pegawai-pegawai dan pekhidmat-pekhidmat Lembaga.

(3) Jawatankuasa Kenaikan Pangkat boleh mewakilkan mana-mana kuasa, fungsi atau tugasnya kepada mana-mana pegawai atau pekhidmat Lembaga, atau kepada mana-mana jawatankuasa pegawai atau pekhidmat Lembaga, berkenaan dengan mana-mana pegawai atau pekhidmat tertentu Lembaga atau berkenaan dengan mana-mana kelas atau kategori pegawai atau pekhidmat Lembaga, dan pegawai atau pekhidmat atau jawatankuasa yang diwakilkan dengan kuasa-kuasa, fungsi-fungsi atau tugas-tugas itu hendaklah melaksanakan, menjalankan atau menunaikannya di bawah arahan dan kawalan Jawatankuasa Kenaikan Pangkat yang hendaklah mempunyai kuasa untuk mengkaji semula, membatalkan atau mengubah apa-apa keputusan atau dapatan pegawai atau pekhidmat atau jawatankuasa tersebut.

[Pin. Akta A914, A958, A1300.]

Seksyen 33A

Penubuhan Jawatankuasa Rayuan Kenaikan Pangkat berkenaan dengan pegawai dan pekhidmat Lembaga

33A. (1) Suatu Jawatankuasa Rayuan Kenaikan Pangkat Lembaga berkenaan dengan pegawai dan pekhidmat Lembaga yang bertanggungjawab bagi perkara-perkara yang berhubungan dengan rayuan terhadap keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa Kenaikan Pangkat di bawah seksyen 33 ditubuhkan.

(2) Jawatankuasa Rayuan Kenaikan Pangkat hendaklah terdiri daripada tujuh orang ahli Lembaga yang hendaklah
dilantik oleh Lembaga, yang salah seorang daripada mereka hendaklah dilantik sebagai pengerusi Jawatankuasa.

(3) Pengerusi Jawatankuasa Rayuan Kenaikan Pangkat dan empat orang ahli lain Jawatankuasa Rayuan Kenaikan
Pangkat hendaklah membentuk suatu kuorum pada semua mesyuarat Jawatankuasa Rayuan Kenaikan Pangkat.

(4) Jawatankuasa Rayuan Kenaikan Pangkat hendaklah mempunyai kuasa untuk menentukan penjalanan prosidingnya.

(5) Mana-mana pegawai atau pekhidmat Lembaga yang terkilan dengan keputusan Jawatankuasa Kenaikan Pangkat
atau mana-mana orang atau jawatankuasa yang diwakilkan dengan kuasa, fungsi atau tugas di bawah subseksyen 33(3) boleh merayu terhadap keputusan itu kepada Jawatankuasa Rayuan Kenaikan Pangkat dalam masa tiga puluh hari dari tarikh penyampaian keputusan itu ke alamat terakhir yang diketahui pegawai atau pekhidmat itu.


(6) Keputusan Jawatankuasa Rayuan Kenaikan Pangkat adalah muktamad.

[Mas. Akta A1300.]

Seksyen 34

Pelantikan Pemeriksa-Pemeriksa, kuasa-kuasa, fungsi-fungsi dan tugas-tugas mereka

34. (1) Lembaga boleh melantik seberapa bilangan Pemeriksa sebagaimana yang difikirkannya perlu bagi maksud-maksud Akta ini daripada mana-mana pegawai dan pekhidmat yang dilantik di bawah subseksyen 30(3) dan pelantikan tersebut hendaklah disiarkan dalam Warta.

(2) Tertakluk kepada subseksyen (3), seseorang Pemeriksa yang dilantik di bawah subseksyen (1) hendaklah mempunyai segala kuasa, fungsi dan tugas yang diberikan di bawah Akta ini.

(3) Seseorang Pemeriksa hendaklah tertakluk kepada arahan dan kawalan ketua pegawai eksekutif, atau mana-mana pegawai atau pekhidmat lain Lembaga yang diberikuasa oleh ketua pegawai eksekutif untuk bertindak bagi pihaknya, dan mana-mana Pemeriksa lain yang lebih tinggi daripadanya dari segi pangkat, dan hendaklah menjalankan kuasa-kuasanya, melaksanakan fungsi-fungsinya, dan menunaikan tugas-tugasnya yang disebut dalam subseksyen (2) dengan mematuhi arahan, petunjuk, syarat, sekatan atau batasan sebagaimana yang ketua pegawai eksekutif, atau pegawai atau pekhidmat Lembaga yang diberikuasa untuk bertindak bagi pihaknya, atau Pemeriksa yang lebih tinggi dari segi pangkat, boleh menyatakan secara lisan atau bertulis, sama ada pada amnya, atau dalam mana-mana hal atau hal-keadaan tertentu.

(4) Ketua pegawai eksekutif hendaklah mempunyai segala kuasa Pemeriksa.

(5) Lembaga boleh, secara bertulis, meletakhakkan segala atau mana-mana kuasa, fungsi dan tugas Pemeriksa pada mana-mana pegawai Lembaga yang tidak dilantik sebagai Pemeriksa di bawah subseksyen (1).

[Pin. Akta A914, A958, A1080.]

Seksyen 35

Kuasa-kuasa untuk memasuki, memeriksa dan menggeledah

35. Tertakluk kepada apa-apa peraturan yang dibuat di bawah seksyen 71, seseorang Pemeriksa atau pegawai yang diletakhak dengan kuasa-kuasa Pemeriksa boleh pada bila-bila masa yang munasabah

(a) memasuki mana-mana premis atau tempat di mana orang-orang dipercayai telah diambil bekerja sebagai pekerja;

(b) membuat apa-apa pemeriksaan dan siasatan sebagaimana yang perlu bagi menentukan sama ada peruntukan-peruntukan Akta ini atau peraturan-peraturan atau kaedah-kaedah yang dibuat di bawahnya sedang dipatuhi atau telah dipatuhi dalam mana-mana premis atau tempat tersebut; 

(c) menyoal-periksa, sama ada secara bersendirian atau dengan kehadiran mana-mana orang lain, berkenaan dengan apaapa perkara di bawah Akta ini yang mengenainya dia semunasabahnya menghendaki maklumat, tiap-tiap orang yang dia mempunyai sebab untuk mempercayai boleh memberi maklumat mengenai hal-perkara siasatan itu, dan menghendaki tiap-tiap orang tersebut disoal-periksa dan bagi maksud-maksud soal-periksa tersebut boleh menyaman mana-mana orang tersebut untuk hadir pada masa dan tempat yang dinyatakan dalam saman itu; dan

(d) menjalankan mana-mana kuasa lain sebagaimana yang perlu bagi melaksanakan Akta ini.

[Pin. Akta A914.]

Seksyen 36

Menghalang penjalanan kuasa-kuasa Pemeriksa

36. (1) Tiada seorang pun boleh -

(a)    Enggan memberi mana-mana Pemeriksa yang menjalankan kuasa-kuasanya di bawah seksyen 35, akses kepada mana-mana premis atau bahagiannya; 

(b)  Menyerang, menghalang, menggalang atau melengahkan Pemeriksa itu dalam melakukan apa-apa kemasukan yang dia berhak untuk melakukan.

(c)  Gagal mematuhi apa-apa kehendak sah Pemeriksa dalam melaksanakan kuasa-kuasa, fungsi-fungsi dan tugas-tugasnya di bawah seksyen 35. 

(d)  Enggan memberi Pemeriksa apa-apa maklumat semunasabahnya yang dikehendaki daripadanya. 

(e)   Gagal mengemukakan kepada, atau menyembunyikan atau cuba menyembunyikan daripada Pemeriksa, mana-mana harta, buku, dokumen lain atau barang yang berhubungan dengannya Pemeriksa itu mempunyai alasan-alasan munasabah untuk mengesyaki bahawa suatu kesalahan telah atau sedang dilakukan di bawah Akta ini atau 

(f)  Mengemukakan kepada Pemeriksa sebagai benar, maklumat yang dia ketahui atau mempunyai sebab untuk mempercayai adalah palsu.

(1A) Bagi maksud seksyen ini, Pemeriksa hendaklah termasuk mana-mana pegawai yang diletakhak dengan kuasa Pemeriksa.

(2) Mana-mana orang yang melanggar peruntukan-peruntukan subseksyen (1) adalah melakukan suatu kesalahan.

[Pin. Akta A914.]

Seksyen 37

Kuasa untuk menyoal-periksa orang-orang

37. (1) Pemeriksa atau pegawai yang diletakhak dengan kuasa-kuasa Pemeriksa, yang membuat apa-apa penyiasatan di bawah seksyen 35 boleh menyoal-periksa secara lisan mana-mana orang yang dipercayainya mengetahui fakta-fakta dan hal-keadaan kes itu dan hendaklah menurunkan secara bertulis apa-apa pernyataan yang dibuat oleh orang yang disoal-periksa itu.

(2) Orang yang disoal-periksa itu hendaklah terikat di sisi undang-undang untuk menjawab semua soalan yang berhubungan dengan kes tersebut yang diajukan kepadanya oleh pegawai yang menyoalperiksa itu:

Dengan syarat bahawa orang tersebut boleh enggan untuk menjawab mana-mana soalan yang jawapannya mempunyai kecenderungan untuk mendedahkannya kepada sesuatu pertuduhan jenayah atau penalti atau perlucuthakan.

(3) Seseorang yang membuat pernyataan di bawah seksyen ini hendaklah terikat di sisi undang-undang untuk menyatakan kebenaran, sama ada atau tidak pernyataan tersebut dibuat pada keseluruhannya atau sebahagiannya dalam menjawab soalan-soalan.

(4) Seseorang pegawai yang menyoal-periksa seseorang di bawah subseksyen (1) hendaklah terlebih dahulu memberitahu orang tersebut akan peruntukan-peruntukan subseksyen (2) dan (3).

(5) Sesuatu pernyataan yang dibuat oleh mana-mana orang di bawah seksyen ini hendaklah, apabila jua mungkin, diambil secara bertulis dan ditandatangani oleh orang yang membuatnya atau diletakkan dengan cap ibujarinya mengikut mana yang berkenaan, selepas ia telah dibacakan kepadanya dalam bahasa yang dia telah membuatnya dan selepas dia telah diberi peluang untuk membuat apa-apa pembetulan yang diingininya.

(6) (Dimansuhkan oleh Akta A914).

[Pin. Akta A914.]

Seksyen 37A

Kuasa Lembaga menaksir caruman berdasarkan kepada maklumat yang ada

37A. (1) Seseorang Pemeriksa atau pegawai yang diletak hak dengan kuasa Pemeriksa boleh, menaksirkan apa-apa caruman yang kena dibayar oleh mana-mana majikan berdasarkan kepada maklumat yang ada jika majikan itu -

(a)  tidak menyimpan atau menyenggara apa-apa penyata, butirbutir, buku daftar atau apa-apa rekod berkenaan dengan setiap pekerja yang dikehendaki dilaksanakan olehnya di bawah Akta ini; atau 

(b) tidak atau enggan mengemukakan apa-apa penyata, butir-butir, buku daftar atau rekod berkenaan dengan setiap pekerja yang dikehendaki dikemukakan olehnya di bawah Akta ini.

(2) Taksiran yang dibuat di bawah subseksyen (1) hendaklah menjadi bukti mencukupi tuntutan Lembaga bagi mendapatkan kembali apa-apa caruman di bawah seksyen 65.

 [Mas. Akta A914.]

Seksyen 38

Kuasa ketua pegawai eksekutif untuk meminta maklumat atau butir-butir dan menggeledah

38. (1) Bagi maksud mendapatkan maklumat penuh bagi menentukan sama ada mana-mana orang adalah bertanggungan untuk membayar caruman di bawah Akta ini, ketua pegawai eksekutif boleh melalui notis secara bertulis menghendaki mana-mana orang untuk

(a) mengemukakan kepada ketua pegawai eksekutif dalam masa yang dinyatakan dalam notis itu yang tidak kurang daripada tiga puluh hari dari tarikh notis itu, apa-apa maklumat atau butir-butir yang dinyatakan dalam notis itu;

(b) hadir sendiri di hadapan ketua pegawai eksekutif atau mana-mana pegawai yang dilantik olehnya dan mengemukakan untuk pemeriksaan segala buku, akaun, rekod dan dokumen lain yang ketua pegawai eksekutif atau pegawai itu fikirkan perlu; atau

(c) mengemukakan maklumat atau butir-butir mengikut perenggan (a) dan juga hadir mengikut perenggan (b).

(2) Mana-mana orang yang gagal mematuhi peruntukan-peruntukan subseksyen (1) adalah melakukan suatu kesalahan.

(2A) Jika seseorang didapati bersalah di bawah subseksyen (2), Mahkamah yang di hadapannya orang itu didapati bersalah hendaklah memerintahkan orang itu untuk mematuhi kehendak notis ketua pegawai eksekutif di bawah subseksyen (1) dalam tempoh dua puluh satu hari dari tarikh perintah Mahkamah itu.

(3) Apabila jua adalah ternyata kepada mana-mana majistret, atas maklumat bertulis yang diangkat sumpah, dan selepas apa-apa siasatan yang difikirkannya perlu, bahawa terdapat alasan-alasan yang munasabah bagi mengesyaki bahawa di premis tertentu terdapat mana-mana buku, akaun, rekod atau dokumen lain yang pengemukaannya telah dikehendaki menurut subseksyen (1) dan telah tidak dikemukakan sebagai mematuhi kehendak itu, maka majistret itu boleh mengeluarkan suatu waran yang memberikuasa kepada ketua pegawai eksekutif atau mana-mana orang yang dinamakan di dalamnya dengan atau tanpa bantuan-

(a) untuk menggeledah premis dan untuk memecahbuka dan menggeledah mana-mana almari, laci, peti, koper, kotak, bungkusan atau bekas lain, sama ada suatu lekapan ataupun tidak, di dalam premis itu; dan

(b) untuk mengambil milikan, atau menjaminkan daripada gangguan, mana-mana buku, akaun, rekod atau dokumen lain yang nampaknya adalah buku, akaun, rekod atau dokumen lain yang pengemukaannya telah dikehendaki sedemikian.

[Pin. Akta A958, A1080.]

Seksyen 39

Ketua pegawai eksekutif boleh mengeluarkan perakuan kepada Ketua Polis Negara atau Ketua Pengarah Imigresen.

39. (1)  (a) Ketua pegawai eksekutif boleh membuat suatu permintaan kepada Ketua Polis Negara atau Ketua Pengarah Imigresen supaya mana-mana orang dilarang daripada meninggalkan Malaysia tanpa membayar apa-apa wang yang kena dibayar kepada Kumpulan Wang yang berkenaan dengannya suatu perintah mahkamah telah diperoleh, melainkan dan sehingga dia membayar semua amaun yang kena dibayar kepada Kumpulan Wang atau memberikan jaminan yang memuaskan hati ketua pegawai eksekutif bagi pembayarannya.

       (b) Tertakluk kepada apa-apa perintah yang dikeluarkan atau dibuat di bawah mana-mana undang-undang bertulis yang berhubungan dengan pembuangan negeri atau imigresen, Ketua Polis Negara atau Ketua Pengarah Imigresen apabila menerima sesuatu permintaan di bawah perenggan(a) berkenaan dengan mana-mana orang hendaklah mengambil atau menyebabkan diambil segala langkah (termasuklah menggunakan kekerasan yang munasabah dan penyitaan, pembatalan atau penahanan mana-mana surat pengenalan dan mana-mana pasport, permit keluar atau lain-lain dokumen perjalanan yang berhubungan dengan orang tersebut) sebagaimana yang perlu untuk melaksanakannya.

       (c) Ketua pegawai eksekutif hendaklah menyebabkan notis mengenai pengeluaran sesuatu perakuan di bawah perenggan(a) supaya disampaikan kediri atau melalui pos berdaftar (yang dialamatkan kepada alamatnya yang akhir sekali diketahui) kepada orang yang dimaksudkan oleh perakuan itu: 

Dengan syarat bahawa ketakterimaan notis itu oleh orang tersebut tidaklah mentaksahkan apa-apa jua yang dilakukan di bawah seksyen ini.

       (d) Jika seseorang yang berkenaan dengannya sesuatu perakuan telah dikeluarkan di bawah perenggan (a) mengemukakan suatu pernyataan bertulis yang ditandatangani pada atau selepas tarikh pengeluaran perakuan itu oleh ketua pegawai eksekutif atau seorang pegawai diberikuasa yang bermaksud bahawa wang yang kena dibayar kepada Kumpulan Wang yang dinyatakan dalam perakuan itu telah dibayar atau bahawa jaminan telah dikemukakan bagi pembayarannya, maka pernyataan atau pembayaran itu, mengikut mana yang berkenaan, hendaklah menjadi kuasa yang mencukupi bagi membenarkan orang tersebut meninggalkan Malaysia.

(2) Tiada prosiding undang-undang boleh dimulakan atau disenggarakan terhadap Lembaga, pegawai dan pekhidmatnya, Kerajaan Malaysia, pegawai polis atau mana-mana pegawai awam berkenaan dengan apa-apa jua yang dilakukan secara sah di bawah seksyen ini.

[Pin. Akta A958, Akta A1300.]

Seksyen 40

Tugas perbadanan untuk memberitahu Lembaga tentang pemerbadanan atau pendaftarannya

BAHAGIAN V 

CARUMAN KEPADA KUMPULAN WANG SIMPANAN PEKERJA


40. (Dimansuhkan oleh Akta).

Seksyen 41

Tugas majikan untuk mendaftar dengan Lembaga

41. (1) Tiap-tiap majikan hendaklah, melainkan jika dia sudahpun didaftarkan dengan Lembaga, sebelum berakhirnya minggu pertama di dalam bulan pertama yang di dalamnya dia membayar upah yang berkenaan dengannya dia adalah dikehendaki untuk membayar caruman di bawah Akta ini, mendaftar dengan Lembaga mengikut cara yang ditetapkan oleh Lembaga.

(2) Mana-mana majikan yang melanggar peruntukan-peruntukan subseksyen (1) adalah melakukan suatu kesalahan dan, apabila disabitkan, boleh dipenjarakan selama suatu tempoh yang tidak melebihi tiga tahun atau didenda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit atau kedua-duanya.

(3) Jika mana-mana orang terhenti daripada menjadi seorang majikan, mengikut pengertian Akta ini, dia hendaklah dalam tempoh sebagaimana yang ditetapkan oleh Lembaga, memberitahu Lembaga mengenainya mengikut cara yang ditetapkan oleh Lembaga.

(4) Mana-mana orang yang melanggar peruntukan-peruntukan subseksyen (3) adalah melakukan suatu kesalahan. 

[Pin. Akta A1300.]

Seksyen 42

Tugas majikan untuk menyediakan dan memberikan penyata upah

42. (1) Tiap-tiap majikan hendaklah menyediakan dan memberikan penyata upah kepada setiap dan tiap-tiap orang pekerja dan penyata upah tersebut hendaklah mengandungi apa-apa maklumat sebagaimana yang ditetapkan oleh kaedah-kaedah.

(2) Tiap-tiap majikan hendaklah menyediakan dan menyimpan satu atau lebih daftar yang mengandungi apa-apa maklumat sebagaimana yang ditetapkan oleh kaedah-kaedah dan daftar tersebut hendaklah disimpan bagi sesuatu tempoh supaya tiap-tiap butir yang direkodkan di dalamnya boleh didapati bagi pemeriksaan untuk tidak kurang daripada enam tahun selepas ia direkodkan.

Seksyen 43

Kadar caruman

43. (1) Tertakluk kepada peruntukan-peruntukan seksyen 52, tiap-tiap pekerja dan tiap-tiap majikan kepada seseorang yang merupakan seorang pekerja mengikut pengertian Akta ini hendaklah bertanggungan untuk membayar caruman bulanan berkenaan dengan amaun upah bagi bulan itu pada kadar yang masing-masingnya dinyatakan dalam Jadual Ketiga.

(2) Mana-mana orang yang menjadi seorang majikan yang gagal, dalam apa-apa tempoh sebagaimana yang ditetapkan oleh Menteri, untuk membayar kepada Kumpulan Wang apa-apa caruman yang dia bertanggungan di bawah Akta ini untuk membayar berkenaan dengan atau bagi pihak mana-mana pekerja berkenaan dengan mana-mana bulan adalah melakukan suatu kesalahan dan, apabila disabitkan, boleh dipenjarakan selama suatu tempoh yang tidak melebihi tiga tahun atau didenda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit atau kedua-duanya.

(3) Tanpa menjelaskan peruntukan-peruntukan subseksyen (1), majikan dan pekerja atau mana-mana satu daripada mereka boleh, pada bila-bila masa, memilih untuk membayar caruman bulanan pada kadar yang melebihi kadar yang masing-masingnya dinyatakan dalam Jadual Ketiga dengan satu ringgit ataupun sesuatu gandaan bagi satu ringgit tertakluk kepada apa-apa had maksimum caruman bulanan yang dinyatakan dalam Jadual Ketiga.

(4) Notis mengenai pemilihan sedemikian hendaklah diberikan kepada Lembaga mengikut apa-apa cara sebagaimana yang ditetapkan oleh Lembaga dan jika mana-mana notis sedemikian telah diberikan, Akta ini hendaklah, berkenaan dengan mana-mana majikan atau pekerja yang telah memilih seperti yang disebut terdahulu, terpakai seolah-olah kadar caruman yang majikan atau pekerja tersebut telah memilih untuk membayar, adalah kadar yang masing-masingnya dinyatakan dalam Jadual Ketiga:

Dengan syarat bahawa sesuatu pemilihan tidak boleh dibuat supaya berkuatkuasa kebelakangan.

(5) Majikan dan pekerja atau mana-mana satu daripada mereka boleh, pada bila-bila masa, membatalkan pemilihannya yang dibuat di bawah subseksyen (4).

(6) Notis mengenai pembatalan sedemikian hendaklah diberi kepada Lembaga mengikut apa-apa cara sebagaimana yang ditetapkan oleh Lembaga dan jika mana-mana notis sedemikian telah diberikan, Akta ini hendaklah, berkenaan dengan mana-mana majikan atau pekerja yang telah membatalkan seperti yang disebut terdahulu, terpakai seolah-olah majikan atau pekerja tersebut tidak memilih untuk membayar caruman lebihan: 
Dengan syarat bahawa sesuatu pembatalan tidak boleh dibuat supaya berkuatkuasa kebelakangan.

(7) Dalam keadaan berlakunya kematian pekerja, tiada caruman kena dibayar di bawah seksyen ini oleh atau bagi pihak pekerja itu berkenaan dengan bulan yang di dalamnya kematian tersebut berlaku:

Dengan syarat bahawa jika mana-mana caruman sedemikian telah diterima, ia hendaklah dibayar ke dalam Kumpulan Wang mengikut seksyen 50.

(8) Walau apa pun subseksyen (1)

(a) orang yang bekerja sendiri; 

(b) pekerja berpencen; 

(c) mana-mana orang yang bukan majikan atau bukan pekerja mengikut pengertian Akta ini; atau 

(d) mana-mana orang yang bukan majikan dan bukan pekerja mengikut pengertian Akta ini dan kedua-duanya telah memberi persetujuan untuk mencarum,

boleh, dengan memberi notis mengikut apa-apa cara sebagaimana yang ditetapkan oleh Lembaga, memilih untuk membayar caruman bulanan mengikut kadar yang ditetapkan oleh Lembaga. 

(9) Lembaga boleh, tertakluk kepada apa-apa terma dan syarat sebagaimana yang ditetapkan oleh Lembaga, mengembalikan—

(a) amaun caruman yang terlebih dibayar di bawah subseksyen (3) atau (8); atau 

(b) apa-apa caruman yang telah dibayar oleh mana-mana orang yang tidak bertanggungan untuk
mencarum.

[Pin. Akta A914, A1080, A1300.]

Seksyen 44

Peremitan wang berkaitan dengan persaraan

44. (1) Sebagai tambahan kepada seksyen 43, seseorang majikan atau mana-mana orang lain boleh pada bila-bila masa, dengan keizinan pekerja, meremitkan kepada Lembaga

(a) apa-apa wang yang merupakan faedah persaraan pekerja itu; atau 

(b) apa-apa wang daripada apa-apa skim atau rancangan persaraan lain yang berhubungan dengan pekerja itu,

mengikut apa-apa cara yang ditetapkan oleh Lembaga.

(2) Seseorang pekerja atau mana-mana orang lain boleh pada bila-bila masa meremitkan kepada Lembaga apa-apa wang daripada apa-apa skim atau rancangan persaraan yang berhubungan dengan pekerja atau orang itu mengikut apa-apa cara yang ditetapkan oleh Lembaga.

(3) Apabila Lembaga menerima apa-apa wang yang diremitkan di bawah subseksyen (1) atau (2), Lembaga hendaklah menyebabkan wang itu dibayar ke dalam Kumpulan Wang mengikut seksyen 50.

[Gan. Akta A1123.]

Seksyen 44A

Penambahan kredit ke dalam akaun ahli Kumpulan Wang

44A. Sebagai tambahan kepada seksyen 43 dan 44, mana-mana orang yang ditetapkan oleh Lembaga boleh menambah kredit ke dalam akaun ahli Kumpulan Wang dengan meremitkan suatu jumlah wang kepada Lembaga, tertakluk kepada apa-apa terma dan syarat sebagaimana yang ditetapkan oleh Lembaga, dan apa-apa had maksimum caruman bulanan sebagaimana yang dinyatakan dalam Jadual Ketiga.

[Mas. Akta A1300.]

Seksyen 45

Pembayaran Caruman

45. (1) Kecuali jika diperuntukkan selainnya dalam Akta ini, majikan hendaklah, pada mulanya, bertanggungan untuk membayar keduadua caruman yang kena dibayar oleh dirinya serta juga, bagi pihak dan dengan tidak termasuk pekerja, caruman yang kena dibayar oleh pekerja tersebut; dan bagi maksud-maksud Akta ini caruman yang dibayar oleh majikan bagi pihak pekerja hendaklah disifatkan caruman oleh pekerja.

(2) Caruman yang kena dibayar oleh majikan bagi dirinya dan bagi pihak pekerja di bawah subseksyen (1) hendaklah dibayar berkenaan dengan upah bulan pertama dan berikutnya.

(3) Walau apa pun seksyen 49, jika majikan gagal membayar apa-apa caruman yang kena dibayar dalam apa-apa tempoh sebagaimana yang ditetapkan oleh Menteri, majikan itu hendaklah sebagai tambahan kepada caruman itu
bertanggungan untuk membayar dividen yang terakru atas caruman itu jika caruman itu telah dibayar oleh majikan
itu dalam tempoh yang ditetapkan itu pada kadar yang diisytiharkan di bawah seksyen 27 mengikut apa-apa cara
dan pengiraan yang ditentukan oleh Lembaga:

Dengan syarat bahawa jika kadar dividen bagi sesuatu tahun tertentu belum lagi diisytiharkan oleh Lembaga, kadar
dividen terakhir yang diisytiharkan itu hendaklah terpakai bagi maksud pengiraan dividen bagi tahun itu.

(4) Mana-mana majikan yang melanggar peruntukan subseksyen (3) adalah melakukan suatu kesalahan dan, apabila disabitkan, boleh dipenjarakan selama suatu tempoh yang tidak melebihi tiga tahun atau didenda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit atau kedua-duanya.

[Pin. Akta A914, A958, A1300.]

Seksyen 46

Tanggungan bersama dan berasingan bagi pengarah-pengarah, dsb.

46. (1) Jika apa-apa caruman masih tak dibayar oleh sesuatu syarikat, sesuatu firma atau sesuatu persatuan orang-orang, maka, walau apa pun apa-apa jua yang berlawanan dalam Akta ini atau mana-mana undang-undang bertulis yang lain, pengarah-pengarah syarikat itu termasuklah mana-mana orang yang pernah menjadi pengarah syarikat itu dalam masa tempoh yang di dalamnya caruman itu bertanggungan dibayar, atau pekongsi-pekongsi firma itu, termasuklah mana-mana orang yang pernah menjadi pekongsi firma itu dalam masa tempoh yang di dalamnya caruman itu bertanggungan dibayar, atau pemegang-pemegang jawatan dalam persatuan orang-orang itu, termasuklah mana-mana orang yang pernah menjadi pemegang jawatan dalam persatuan itu dalam masa tempoh yang di dalamnya caruman itu bertanggungan dibayar, mengikut mana yang berkenaan, hendaklah bersama dengan syarikat, firma atau persatuan orang-orang yang bertanggungan untuk membayar caruman tersebut, bersama-sama dan berasingan bertanggungan bagi caruman yang genap masa untuk dibayar dan kena dibayar kepada Kumpulan Wang.

(2) Dalam seksyen ini perkataan "caruman" hendaklah disifatkan sebagai termasuk apa-apa dividen dan faedah yang kena dibayar ke atas mana-mana caruman.

[Pin. Akta A914.]

Seksyen 47

Caruman majikan tidak boleh didapatkan kembali daripada pekerja

47. (1) Walau apa pun apa-apa kontrak yang berlawanan, majikan tidaklah berhak memotong atau selainnya mendapatkan kembali daripada upah atau saraan pekerja, caruman majikan daripada pekerja.

(2) Jika majikan memotong atau cuba memotong daripada upah atau saraan mana-mana pekerja keseluruhan atau mana-mana bahagian daripada caruman majikan, dia adalah melakukan suatu kesalahan dan, apabila disabitkan, boleh dipenjarakan selama suatu tempoh yang tidak melebihi enam tahun atau didenda tidak melebihi dua puluh ribu ringgit atau kedua-duanya.

[Pin. Akta A914.]

Seksyen 48

Mendapatkan kembali caruman pekerja oleh majikan

48. (1) Tertakluk kepada peruntukan-peruntukan seksyen ini, majikan hendaklah berhak untuk mendapatkan kembali daripada pekerja, mengikut seksyen ini, amaun mana-mana caruman yang kena dibayar bagi pihak pekerja.

(2) Amaun mana-mana caruman yang kena dibayar oleh majikan bagi pihak pekerja hendaklah, walau apa pun peruntukan-peruntukan mana-mana undang-undang bertulis atau mana-mana kontrak yang berlawanan, boleh didapatkan kembali dengan cara potongan daripada upah pekerja yang kena dibayar oleh majikan kepada pekerja itu dan tidak selainnya.

(3) Mana-mana majikan yang memotong caruman pekerja daripada upah pekerja dan gagal membayar jumlah wang yang dipotong itu atau mana-mana bahagiannya kepada Kumpulan Wang adalah melakukan suatu kesalahan dan, apabila disabitkan, boleh dipenjarakan selama suatu tempoh yang tidak melebihi enam tahun atau didenda tidak melebihi dua puluh ribu ringgit atau keduaduanya.

(4) Tiada potongan bagi mana-mana caruman boleh dibuat sebagaimana diperuntukkan oleh subseksyen (2)-

(a) kecuali pada masa upah dibayar kepada pekerja itu; dan 

(b) selain daripada caruman berkenaan dengan upah yang ketika itu sedang dibayar:

Dengan syarat bahawa, tertakluk kepada apa-apa syarat sebagaimana yang ditetapkan oleh Lembaga, jika majikan telah, melalui kesilapan yang bukan disebabkan oleh kecuaian majikan tersebut, ketinggalan membuat potongan mana-mana caruman atau sebahagian daripada mana-mana caruman yang kena dibayar olehnya bagi pihak pekerja, maka, caruman atau bahagiannya itu bolehlah dipotong daripada upah yang kena dibayar oleh majikan tersebut kepada pekerja itu tidak lewat daripada enam bulan dari tarikh pembayaran upah yang berkenaan dengannya caruman atau sebahagian daripadanya itu tertinggal daripada dipotong.

(5) Mana-mana majikan yang melanggar peruntukan-peruntukan subseksyen (4) adalah melakukan suatu kesalahan.

(6) (Dimansuhkan oleh Akta A914).

[Pin. Akta A914.]

Seksyen 49

Faedah ke atas tunggakan caruman

49. (1) Jika amaun caruman bulanan atau sebahagian daripada mana-mana caruman bulanan yang seseorang majikan adalah bertanggungan untuk membayar di bawah seksyen 45 tidak dibayar dalam apa-apa tempoh sebagaimana yang ditetapkan oleh Menteri, majikan itu hendaklah bertanggungan, sebagai tambahan kepada dividen yang hendaklah dibayar di bawah subseksyen 45(3), untuk membayar faedah yang hendaklah dikreditkan kepada Kumpulan Wang ke atas amaun itu pada apa-apa kadar dan mengikut apa-apa cara dan pengiraan yang ditentukan oleh Lembaga.

 

(2) Lembaga boleh dalam mana-mana hal yang difikirkannya patut meremit pada keseluruhannya atau sebahagiannya bayaran mana-mana faedah yang kena dibayar di bawah seksyen ini. 

[Pin. Akta A1300.]

Seksyen 50

Caruman hendaklah dibayar ke dalam Kumpulan Wang

50. (1) Semua jumlah wang yang dipungut, didapatkan kembali atau dipindahkan di bawah Akta ini hendaklah dibayar ke dalam Kumpulan Wang mengikut apa-apa cara sebagaimana yang diarahkan oleh Lembaga.

(2) Lembaga hendaklah menyebabkan supaya dikreditkan kepada akaun setiap ahli

(a) amaun apa-apa caruman yang dibayar berkenaan dengannya oleh majikan bagi pihaknya sendiri dan bagi pihak ahli tersebut dalam Kumpulan Wang; 

(b) dividen apa-apa amaun yang ada pada kredit ahli itu pada kadar yang diisytiharkan di bawah seksyen 27 mengikut apa-apa cara sebagaimana yang ditetapkan oleh Lembaga; dan 

(c) apa-apa wang lain yang dibayar bagi pihak ahli tersebut di bawah Akta ini.

(2A) Bagi maksud mengkreditkan apa-apa jumlah wang ke dalam akaun seseorang ahli Kumpulan Wang di bawah subseksyen (2), Menteri boleh menetapkan apa-apa bilangan akaun berkenaan dengan seseorang ahli Kumpulan Wang dan menetapkan peratusan yang hendak dikreditkan ke dalam setiap akaun itu. 

(2B) Walau apa pun perenggan 2(a) dan 2(b)—

(a) tiada amaun caruman atau wang boleh dikreditkan ke dalam akaun ahli Kumpulan Wang selepas ahli itu mencapai umur tujuh puluh lima tahun; dan 

(b) tiada dividen boleh dikreditkan ke atas apa-apa amaun yang ada pada kredit ahli Kumpulan Wang selepas ahli itu mencapai umur tujuh puluh lima tahun. 

(2C) Walau apa pun subseksyen (2), jika Lembaga menerima sebahagian bayaran bagi mana-mana taksiran caruman yang tertunggak daripada majikan, Lembaga boleh menentukan cara yang pengkreditan jumlah bayaran caruman yang tertunggak oleh majikan itu yang hendaklah dikreditkan ke dalam akaun setiap ahli Kumpulan Wang itu.

(3) Jika mana-mana majikan gagal membayar mana-mana caruman yang telah dipotong olehnya daripada upah seseorang pekerja, Lembaga hendaklah, setelah berpuas hati bahawa potongan tersebut telah dibuat, mengkreditkan pekerja itu dengan amaun caruman tersebut bersama-sama dengan apa-apa dividen yang hendaklah dikreditkan berkenaan dengannya jika caruman tersebut telah dibayar oleh majikan itu dalam tempoh ditetapkan dan hendaklah mempertanggungkan amaun yang dikreditkan sedemikian kepada hasil am Kumpulan Wang: 

Dengan syarat bahawa tiada apa-apa jua dalam seksyen ini boleh menjejaskan hak Lembaga untuk mendapatkan kembali amaun caruman dan dividen tersebut daripada majikan itu.

(4) Mana-mana amaun yang didapatkan kembali di bawah subseksyen (3) hendaklah dibayar mengikut cara yang berikut:

(a) pertamanya hendaklah dikreditkan kepada hasil am Kumpulan Wang mana-mana jumlah wang yang telah dibayar keluar daripada hasil am Kumpulan Wang di bawah subseksyen (3); dan 

(b) bakinya hendaklah dikreditkan kepada akaun-akaun pekerja-pekerja itu masing-masing mengikut kadarnya.

(5) [Dimansuhkan oleh Akta A958].

(6) Peruntukan-peruntukan seksyen ini hendaklah terpakai bagi apa-apa amaun yang berada pada kredit seseorang pekerja dalam sesuatu kumpulan wang diluluskan setelah pemindahan amaun tersebut kepada Kumpulan Wang.

[Pin. Akta A914, A958, A1080, A1300.]

Seksyen 50A

Bayaran dividen tambahan

50A. Sebagai tambahan kepada bayaran dividen yang dibayar di bawah proviso kepada subseksyen 50(2), Lembaga bolehlah membayar kepada ahli Kumpulan Wang yang membuat pengeluaran di bawah subseksyen 54(1), suatu dividen tambahan yang ditentukan oleh Lembaga.

[Mas. Akta A914.]

Seksyen 51

Caruman dan deposit

51. Walau apa pun apa-apa jua yang berlawanan yang terkandung dalam mana-mana undang-undang bertulis yang lain

(a) tiada jumlah wang yang dipotong daripada upah seseorang ahli Kumpulan Wang di bawah seksyen 48; 

(b) tiada amaun yang kena dibayar oleh majikan sebagai carumannya; dan 

(c) tiada amaun yang berada pada kredit seseorang ahli Kumpulan Wang,

boleh diserahhakkan, dipindahkan, kena ditahan, disekuesterkan, dilevikan ke atasnya, bagi, atau berkenaan dengan, apa-apa hutang atau tuntutan apa jua pun, dan Pegawai Pemegang Harta tidaklah berhak kepada atau mempunyai apa-apa tuntutan ke atas apa-apa jumlah wang atau amaun tersebut.

[Pin. Akta A914.]

Seksyen 51A

Pemindahan kepada Pendaftrar Wang Tak Dituntut

51A. (1) Walau apa pun seksyen 51, Lembaga boleh memindahkan semua jumlah wang yang ada pada kredit seseorang ahli Kumpulan Wang kepada Pendaftar Wang Tak Dituntut apabila ahli itu telah mencapai umur lapan puluh tahun.

(2) Apa-apa permohonan atau tuntutan yang berhubungan dengan kredit ahli Kumpulan Wang itu selepas apa-apa pemindahan di bawah subseksyen (1) telah dilaksanakan hendaklah dikemukakan kepada Pendaftar Wang Tak Dituntut mengikut Akta Wang Tak Dituntut 1965 [Akta 370].


[Mas. Akta. A1300.]

Seksyen 52

Kumpulan-kumpulan wang diluluskan

52. (1) Tiada caruman menjadi kena dibayar kepada Kumpulan Wang oleh pekerja-pekerja yang berkenaan dengan mereka telah wujud suatu kumpulan wang diluluskan, atau oleh majikan atau majikan-majikan pekerja-pekerja tersebut berkenaan dengan pekerjapekerja tersebut.

(2) Jika Menteri meminda Jadual Pertama di bawah seksyen 74 dengan memotong mana-mana perenggannya, mana-mana majikan atau kumpulan majikan yang sebelum tarikh perintah itu mula berkuatkuasa telah menubuhkan suatu kumpulan wang simpanan atau lain-lain skim untuk faedah kesemua atau sekumpulan pekerjapekerjanya atau pekerja-pekerja mereka daripada perihalan yang dinyatakan dalam perenggan tersebut hendaklah, dalam masa sesuatu tempoh sebagaimana yang Lembaga boleh menurut budi bicaranya membenarkan, mengemukakan kepada Lembaga butir-butir kumpulan wang simpanan tersebut atau lain-lain skim itu sebagaimana yang ditetapkan atau dalam mana-mana hal tertentu dikehendaki oleh Lembaga, dan jika selepas memeriksa butir-butir tersebut Lembaga berpuas hati bahawa kumpulan wang simpanan tersebut atau lain-lain skim itu sebagaimana yang dipinda jika perlu mengikut apaapa cara sebagaimana yang dikehendaki oleh Lembaga memperuntukkan bagi seseorang pekerja faedah-faedah yang tidak kurang baiknya daripada faedah-faedah yang diperuntukkan bagi seseorang pekerja oleh Kumpulan Wang, Lembaga boleh, tertakluk kepada apa-apa syarat sebagaimana yang dikenakan olehnya, mengisytiharkan kumpulan wang simpanan tersebut atau lain-lain skim itu menjadi suatu kumpulan wang diluluskan.

(3) Jika seseorang pekerja atas apa-apa sebab apa jua pun menukarkan pekerjaan kepada suatu pekerjaan yang berkenaan dengannya suatu kumpulan wang diluluskan wujud, caruman-caruman berkenaan dengan pekerja tersebut hendaklah terhenti daripada kena dibayar kepada Kumpulan Wang dan amaun yang berada pada kredit pekerja tersebut hendaklah terus berada di dalam Kumpulan Wang.

(4) Jika seseorang pekerja, yang berada dalam suatu pekerjaan yang berkenaan dengannya suatu kumpulan wang diluluskan telah ditubuhkan, adalah dihalang oleh kaedah-kaedah kumpulan wang diluluskan tersebut daripada mencarum kepadanya selama suatu tempoh percubaan yang dinyatakan, apa-apa jumlah wang yang berada pada kredit pekerja tersebut dalam Kumpulan Wang yang merupakan caruman-caruman kepada Kumpulan Wang oleh keduadua majikan dan pekerja itu sejak tarikh yang padanya pekerjaan tersebut bermula, bersama-sama dengan apa-apa dividen ke atasnya, hendaklah terus berada di dalam Kumpulan Wang.

(5) Jika

(a) majikan yang adalah salah satu daripada sekumpulan majikan yang oleh mereka suatu kumpulan wang diluluskan telah ditubuhkan terhenti daripada menyertai dalam kumpulan wang diluluskan tersebut; atau 

(b) pekerja

(i) meninggalkan pekerjaan yang berkenaan dengannya dia adalah seorang pencarum kepada suatu kumpulan wang diluluskan; atau 

(ii) terhenti daripada mencarum kepada suatu kumpulan wang diluluskan, dalam hal-keadaan selain daripada yang dinyatakan dalam perenggan 54(1)(a), (b) atau (c),

maka amaun yang berada pada kredit setiap pekerja atau pada kredit pekerja-pekerja tersebut di dalam kumpulan wang diluluskan tersebut yang merupakan caruman-caruman kepada kumpulan wang diluluskan tersebut oleh kedua-dua majikan dan pekerja sejak 1 Julai 1952 bersama-sama dengan apa-apa dividen ke atasnya, hendaklah, walau apa pun apa-apa jua yang berlawanan yang terkandung dalam mana-mana undang-undang bertulis yang lain, dipindahkan kepada Kumpulan Wang, dan Lembaga hendaklah menyebabkan dikreditkan kepada setiap pekerja tersebut atau pekerjapekerja tersebut amaun tersebut mengikut apa-apa cara sebagaimana yang diarahkan oleh Lembaga dan amaun tersebut hendaklah dipindahkan dalam masa satu bulan dari masa majikan itu terhenti daripada menyertai dalam kumpulan wang diluluskan tersebut atau pekerja itu meninggalkan pekerjaan atau terhenti daripada mencarum, mengikut mana yang berkenaan, atau di dalam sesuatu tempoh selanjutnya sebagaimana yang dibenarkan oleh Lembaga dalam mana-mana hal tertentu:

Dengan syarat bahawa jika pekerja

(a) bertukar daripada pekerjaan di dalam Malaysia di bawah majikan yang olehnya suatu kumpulan wang diluluskan telah ditubuhkan kepada pekerjaan di luar Malaysia di bawah majikan yang sama; atau 

(b) bertukar daripada pekerjaan di bawah majikan yang adalah salah satu daripada sekumpulan majikan yang oleh mereka suatu kumpulan wang diluluskan telah ditubuhkan kepada pekerjaan di bawah majikan lain yang adalah salah satu daripada kumpulan yang sama, 

dan di dalam mana-mana satu hal itu, jika pertukaran tersebut adalah dibenarkan oleh kaedah-kaedah kumpulan wang diluluskan tersebut untuk terus mencarum kepadanya atas terma-terma dan syarat-syarat yang sama seolah-olah pertukaran tersebut tidak berlaku, pekerja tersebut, selagi dia terus mencarum sedemikian, tidaklah bagi maksud-maksud subperenggan (b)(i) subseksyen ini disifatkan sebagai telah meninggalkan pekerjaan yang berkenaan dengannya dia adalah seorang pencarum kepada suatu kumpulan wang diluluskan:

Dengan syarat selanjutnya bahawa jika mengikut kaedah-kaedah kumpulan wang diluluskan tersebut amaun yang berada pada kredit mana-mana pekerja terdiri pada keseluruhannya atau sebahagiannya daripada suatu polisi insurans nyawa, polisi tersebut tidaklah boleh dipindahkan kepada Kumpulan Wang, tetapi hendaklah diperlakukan mengikut kaedah-kaedah tersebut.

(6) (a) Jika suatu kumpulan wang diluluskan adalah digulung, amaun yang berada pada kredit setiap pekerja atau pada kredit pekerja-pekerja tersebut di dalam kumpulan wang diluluskan tersebut yang merupakan caruman-caruman kepada kumpulan wang diluluskan tersebut oleh keduadua majikan dan pekerja sejak 1 Julai 1952 bersamasama dengan apa-apa dividen ke atasnya, hendaklah walau apa pun apa-apa jua yang berlawanan yang terkandung dalam mana-mana undang-undang bertulis yang lain, dipindahkan kepada Kumpulan Wang, dan Lembaga hendaklah menyebabkan dikreditkan kepada setiap pekerja atau pekerja-pekerja tersebut amaun tersebut mengikut apa-apa cara sebagaimana yang diarahkan oleh Lembaga. 

(b) Lembaga boleh, jika difikirkannya perlu demi kepentingan pekerja-pekerja untuk berbuat demikian, menerima pada keseluruhannya aset-aset dan liabiliti-liabiliti kumpulan wang diluluskan tersebut pada sesuatu tarikh sebagaimana yang dipersetujui dan jika aset-aset kumpulan wang diluluskan tersebut tidaklah mencukupi untuk menjelaskan liabiliti-liabilitinya, amaun yang akan dikreditkan kepada pekerja atau pekerja-pekerja tersebut di bawah perenggan (a) hendaklah dikurangkan mengikut apa-apa perkadaran sebagaimana yang ditentukan oleh Lembaga:

Dengan syarat bahawa jika mengikut kaedah-kaedah kumpulan wang diluluskan tersebut amaun yang berada pada kredit mana-mana pekerja terdiri pada keseluruhannya atau sebahagiannya daripada suatu polisi insurans nyawa, polisi tersebut tidaklah boleh dipindahkan kepada Kumpulan Wang, tetapi hendaklah diperlakukan mengikut kaedah-kaedah tersebut.

(7) Majikan yang telah menubuhkan suatu kumpulan wang diluluskan hendaklah

(a) mengemukakan kepada Lembaga apa-apa akaun sebagaimana yang dikehendaki oleh Lembaga berkenaan dengan kumpulan wang diluluskan tersebut yang diperakui dengan sewajarnya oleh seseorang yang telah diluluskan sebagai juruaudit syarikat di bawah seksyen 8 Akta Syarikat 1965;

(b) memberitahu Lembaga mengenai apa-apa pindaan yang dicadangkan kepada kaedah-kaedah kumpulan wang diluluskan tersebut dan tidaklah boleh membuat apa-apa pindaan tersebut kecuali dengan kelulusan bertulis daripada Lembaga; dan 

(c) mengemukakan kepada Lembaga apa-apa butir-butir pekerja-pekerja yang mencarum kepada kumpulan wang diluluskan tersebut mengikut apa-apa cara sebagaimana yang ditetapkan oleh Lembaga.

(8) Lembaga boleh, jika tidak berpuas hati dengan pengurusan mana-mana kumpulan wang diluluskan, membatalkan apa-apa perisytiharan yang dibuat di bawah seksyen ini, dan di atas pembatalan tersebut, subseksyen (5) seksyen ini hendaklah terpakai sebagaimana ia terpakai jika kumpulan wang tersebut digulung.

(9) Majikan yang berkenaan dengan mana-mana kumpulan wang diluluskan hendaklah tertakluk kepada kesalahan-kesalahan dan penalti-penalti yang sama berkenaan dengan apa-apa potongan atau caruman yang dibuat di bawah kaedah-kaedah suatu kumpulan wang diluluskan sebagaimana yang diperuntukkan oleh Akta ini berkenaan dengan potongan-potongan dan caruman-caruman yang berhubungan dengan Kumpulan Wang.

(10) Walau apa pun apa-apa jua yang berlawanan yang terkandung dalam kaedah-kaedah suatu kumpulan wang diluluskan, amaun yang berada pada kredit seseorang pekerja di dalamnya bersamasama dengan apa-apa dividen ke atasnya boleh dikeluarkan dalam mana-mana hal-keadaan yang dinyatakan dalam perenggan 54(1)(a), (b) atau (c).

(11) Walau apa pun apa-apa jua yang berlawanan yang terkandung dalam kaedah-kaedah suatu kumpulan wang diluluskan, mana-mana majikan boleh di atas permohonan seseorang pekerja yang telah mencapai umur lima puluh tahun membenarkan tidak lebih daripada satu pengeluaran dibuat daripada kumpulan wang diluluskan tersebut iaitu sejumlah wang yang merupakan satu pertiga daripada amaun yang berada pada kredit pekerja tersebut dan seseorang pekerja yang berkenaan dengannya kebenaran bagi pengeluaran telah diberikan di bawah subseksyen ini hendaklah, walaupun pengeluaran tersebut dibuat, terus dianggap sebagai seorang pencarum kepada kumpulan wang diluluskan tersebut.

(12) Apabila seseorang pekerja membuat pengeluaran di bawah subseksyen (10) akan apa-apa amaun yang berada pada kreditnya di dalam suatu kumpulan wang diluluskan, dia tidaklah selepas itu dianggap sebagai pekerja, walaupun jika tidak kerana subseksyen ini, dia adalah pekerja, bagi maksud Akta ini.

(13) Mana-mana majikan yang gagal untuk mematuhi apa-apa kehendak atau arahan Lembaga di bawah seksyen ini, atau mana-mana peruntukan subseksyen (7), adalah melakukan suatu kesalahan.

(14) Jika dalam hal keadaan yang disebutkan dalam subseksyen (5) dan (8), apa-apa amaun caruman yang dibayar sejak 1 Julai 1952 adalah dipindahkan kepada Kumpulan Wang, majikan dan pekerja berkenaan boleh, dengan persetujuan bersama, memilih untuk memindahkan kepada Kumpulan Wang kesemua 
amaun yang berada pada kredit pekerja itu di dalam suatu kumpulan wang diluluskan yang merupakan caruman-caruman yang dibayar kepada kumpulan wang tersebut sebelum 1 Julai 1952. Notis mengenai pemilihan tersebut hendaklah diberikan kepada Lembaga mengikut apa-apa cara sebagaimana yang ditetapkan oleh Lembaga, dan jika Lembaga meluluskan pemindahan tersebut, amaun yang dipindahkan sedemikian kepada Kumpulan Wang hendaklah dikreditkan kepada pekerja itu.

(15) Peruntukan-peruntukan seksyen 51 hendaklah terpakai berkenaan dengan suatu kumpulan wang diluluskan mengikut cara yang sama sebagaimana ia terpakai berkenaan dengan Kumpulan Wang.

(16) Bagi maksud seksyen ini ungkapan "majikan yang telah menubuhkan suatu kumpulan wang diluluskan" termasuklah majikan yang bagi faedah pekerja-pekerjanya suatu kumpulan wang diluluskan telah ditubuhkan.

(17) Tiada apa-apa jua dalam peruntukan-peruntukan subseksyen (7) dan (13) boleh terpakai bagi suatu kumpulan wang diluluskan yang ditubuhkan secara nyata oleh atau di bawah mana-mana undang-undang bertulis.

(18) Apa-apa perbelanjaan yang dilakukan oleh Lembaga dalam menguatkuasakan kewajipan-kewajipan kumpulan-kumpulan wang diluluskan di bawah Akta ini hendaklah dibayar balik kepada Lembaga daripada wang kumpulan-kumpulan wang tersebut atas asas keahlian kumpulan-kumpulan wang tersebut.

Seksyen 53

Penggulungan kumpulan wang diluluskan

53. Kumpulan wang diluluskan bagi pihak berkuasa berkanun atau tempatan di bawah skim baru hendaklah digulung pada tarikh yang ditetapkan oleh Menteri, melalui pemberitahuan dalam Warta, dalam setiap hal tertentu, dan kesemua aset dan liabiliti kumpulan wang diluluskan tersebut hendaklah dipindahkan kepada Kumpulan Wang dan diperlakukan di bawah Akta ini: 

Dengan syarat bahawa jika terdapat suatu skim pencen bagi pihak berkuasa berkanun atau tempatan mengikut pengertian "kumpulan wang diluluskan" di bawah seksyen 2 Akta ini maka penggulungan skim tersebut hendaklah diperlakukan di bawah seksyen 30 Akta Kumpulan Wang Persaraan Pihakberkuasa-Pihakberkuasa Berkanun dan Tempatan 1977 [Akta 185] walau apa pun peruntukan seksyen 52.

Seksyen 53A

Pemindahan kredit ahli Kumpulan Wang mengikut perintah pembahagian harta perkahwinan

BAHAGIAN VA

PEMINDAHAN KREDIT MENGIKUT PERINTAH PEMBAHAGIAN HARTA PERKAHWINAN

53A. (1) Walau apa pun seksyen 51, apabila suatu perintah dikeluarkan oleh suatu mahkamah bahawa sebahagian daripada jumlah wang yang ada pada kredit seseorang ahli Kumpulan Wang adalah merupakan harta perkahwinan, Lembaga boleh, selepas disampaikan perintah yang dimeterai, memindahkan jumlah wang itu sebagaimana yang diperintahkan oleh mahkamah itu daripada akaun ahli Kumpulan Wang itu ke dalam akaun penerima yang dinamakan dalam perintah itu tertakluk kepada apa-apa terma dan syarat sebagaimana yang ditetapkan oleh Lembaga.

(2) Lembaga hendaklah menangguhkan apa-apa pemindahan di bawah subseksyen (1) jika suatu perintah, rayuan atau apa-apa proses prosiding mahkamah yang menghalang pelaksanaan perintah di bawah subseksyen (1) disampaikan kepada Lembaga.

(3) Walau apa pun subseksyen (1) dan (2), pemindahan kredit daripada akaun seseorang ahli Kumpulan Wang ke dalam akaun penerima yang dinamakan dalam perintah itu adalah tertakluk kepada amaun yang ada pada kredit ahli Kumpulan Wang itu pada tarikh pemindahan itu dibuat.

(4) Bagi maksud subseksyen (3), "tarikh pemindahan" ertinya tarikh yang jumlah wang itu didebitkan daripada akaun seseorang ahli Kumpulan Wang.

[Mas. Akta A1300.]

Seksyen 53B

Pengeluaran amaun yang dipindahkan

53B. (1) Walau apa pun apa-apa peruntukan yang berkaitan dengan Akta ini, amaun yang telah dipindahkan ke dalam akaun penerima yang dinamakan dalam perintah di bawah subseksyen 53A(1) tidak boleh dikeluarkan atau dipindahkan kecuali mengikut subseksyen (2).

(2) Lembaga boleh membenarkan pengeluaran semua amaun yang telah dipindahkan itu tertakluk kepada apa-apa terma dan syarat sebagaimana yang ditetapkan oleh Lembaga jika Lembaga berpuas hati bahawa penerima itu—

(a) telah meninggal dunia;

(b) telah mencapai umur lima puluh lima tahun;

(c) tidak berupaya dari segi fizikal atau mental untuk bekerja; atau

(d) bukan seorang warganegara Malaysia dan akan meninggalkan Malaysia.

(3) Jika apa-apa kebenaran bagi pengeluaran di bawah perenggan 2(a) atau 2(c) telah diberikan, tiada amaun tambahan di bawah seksyen 58 boleh dibayar.

[Mas. Akta 1300.]

Seksyen 54

Pengeluaran daripada Kumpulan Wang

BAHAGIAN VI 

PENGELUARAN CARUMAN

54. (1) Lembaga boleh membenarkan pengeluaran kesemua jumlah wang yang ada pada kredit seseorang ahli Kumpulan Wang mengikut apa-apa terma dan syarat yang ditetapkan oleh Lembaga jika Lembaga berpuas hati bahawa

(a) ahli Kumpulan Wang itu telah meninggal dunia;

(b) (Dimansuhkan oleh Akta A1300) ;

(c) ahli Kumpulan Wang itu tidak berupaya dari segi fizikal atau mental untuk bekerja; atau

(d) (Dimansuhkan oleh Akta A1123).

(e) ahli Kumpulan Wang itu bukan seorang warganegara Malaysia dan dia akan meninggalkan 
Malaysia.

(1A) Tertakluk kepada apa-apa peraturan-peraturan dan kaedah-kaedah yang dibuat di bawah Akta ini, bagi maksud perenggan 54(1)(a), mana-mana ahli Kumpulan Wang boleh membuat penamaan bagi maksud pembayaran kredit selepas kematian ahli itu.

 

(2) (Dimansuhkan oleh Akta A1300).

(3) (Dimansuhkan oleh Akta A1300).

(4) Seseorang ahli Kumpulan Wang yang, sebelum 1 Ogos 1995, telah membuat pengeluaran kesemua jumlah wang yang ada pada kreditnya dalam Kumpulan Wang atas alasan bahawa dia hendak meninggalkan Malaysia tanpa niat untuk kembali ke Malaysia atau dia hendak bermastautin di Republik Singapura hendaklah dianggap sebagai pekerja di bawah Akta ini jika dia memberikan suatu notis kepada Lembaga dan majikannya mengikut cara yang ditetapkan oleh Lembaga mengenai niatnya untuk mencarum kepada Kumpulan Wang.

(4A) (Dimansuhkan oleh Akta A1300).

(5) (Dimansuhkan oleh Akta) A1300).

(6) Walau apa pun subseksyen (1) dan tertakluk kepada subseksyen 59(2), Lembaga boleh membenarkan permohonan seseorang ahli Kumpulan Wang untuk mengeluarkan sebahagian daripada amaun yang ada pada kreditnya mengikut apa-apa terma dan syarat yang ditetapkan oleh Lembaga jika Lembaga berpuas hati bahawa

(a) ahli Kumpulan Wang itu telah mencapai umur lima puluh tahun;

(b) ahli Kumpulan Wang itu telah membeli atau membina rumah;

(ba) ahli Kumpulan Wang itu telah menjual rumah yang dibeli atau dibinanya dengan menggunakan pengeluaran di bawah perenggan (b) dan kemudiannya dia telah membeli atau membina rumah yang lain;

(c) ahli Kumpulan Wang itu telah membeli atau membina rumah dan telah mengambil pinjaman di bawah perenggan 26(1)(f) untuk pembelian atau pembinaan rumah itu;

(d) ahli Kumpulan Wang itu telah membeli atau membina rumah dan telah mengambil pinjaman dan rumah itu telah digadaikan sebagai cagaran untuk pinjaman itu;

(da) ahli Kumpulan Wang itu telah menjual rumah yang telah digadaikan sebagai cagaran bagi pinjaman di bawah perenggan (d) dan dia kemudiannya telah membeli atau membina rumah yang lain dan telah mengambil pinjaman lain dan rumah baru itu telah digadaikan sebagai cagaran bagi pinjaman lain itu;

(e) ahli Kumpulan Wang itu tidak mengambil pinjaman untuk membeli atau membina rumah tetapi isteri atau suami ahli Kumpulan Wang itu telah membeli atau membina rumah dan telah mengambil pinjaman dan rumah itu telah digadaikan sebagai cagaran untuk pinjaman itu;

(f) ahli Kumpulan Wang itu atau mana-mana orang lain yang diluluskan oleh Lembaga memerlukan pembiayaan perubatan;

(g) ahli Kumpulan Wang itu memerlukan pembiayaan untuk pengajian tinggi bagi dirinya sendiri atau bagi anaknya.

(h) (Dimansuhkan oleh Akta A1190);

 

(i) ahli Kumpulan Wang itu mempunyai kredit yang melebihi satu juta ringgit dalam akaunnya; dan

(j) ahli Kumpulan Wang itu mengambil suatu polisi insurans kesihatan, sebagaimana yang ditentukan oleh Lembaga daripada suatu syarikat insurans yang diluluskan oleh Menteri tertakluk kepada apa-apa terma dan syarat yang difikirkannya sesuai, bagi dirinya atau mana-mana orang lain yang diluluskan oleh Lembaga. 

(7) Walau apa pun subseksyen 54(6), Menteri boleh, jika difikirkannya suai manfaat dan selepas berunding dengan Lembaga, melalui perintah yang disiarkan dalam Warta, menambah, mengubah atau mengubahsuaikan maksud-maksud yang baginya seseorang ahli Kumpulan Wang boleh membuat pengeluaran di bawah subseksyen (6).

[Pin. Akta A914, A958; Gan. Akta A1080; 
Pin. Akta A1123, A1190, A1300
.]

Seksyen 54A

Pembayaran dividen mengikut apa-apa cara sebagaimana yang ditentukan oleh Lembaga

54A. Jika apa-apa amaun—

(a) dikeluarkan daripada Kumpulan Wang di bawah subseksyen 53B(2), seksyen 54, 54C, 55A atau 58B,Lembaga hendaklah membayar dividen ke atas apa-apa amaun yang dikeluarkan atau mengkreditkan apa-apa dividen ke atas amaun yang dikeluarkan ke dalam akaun seseorang ahli Kumpulan Wang mengikut apa-apa cara yang ditentukan oleh Lembaga dari semasa ke semasa; dan

(b) dibayar daripada Kumpulan Wang di bawah seksyen 56, Lembaga hendaklah membayar dividen ke atas apa-apa amaun yang dikeluarkan mengikut apa-apa cara yang ditentukan oleh Lembaga dari semasa ke semasa.

[Mas. Akta A958; Gan. Akta 1300.]

Seksyen 54B

Tarikh pengeluaran

54B. Bagi maksud pengeluaran di bawah Akta ini, tarikh pengeluaran hendaklah

(a) jika pembayaran dibuat dengan waran, pada tarikh waran bagi pengeluaran itu dikeluarkan; dan 

(b) jika pembayaran dibuat dengan cara selain daripada waran, pada tarikh amaun bagi pengeluaran itu didebitkan daripada akaun ahli Kumpulan Wang itu.

[Mas. Akta A958.]

Seksyen 54C

Pengeluaran oleh pekerja berpencen

54C. (1) Tertakluk kepada seksyen 56, Lembaga boleh membenarkan seseorang ahli Kumpulan Wang yang merupakan seorang pekerja berpencen yang belum mencapai umur lima puluh lima tahun dan masih bekerja dengan Kerajaan Malaysia, mana-mana Kerajaan Negeri atau pihak berkuasa berkanun atau tempatan untuk mengeluarkan kesemua jumlah wang yang ada pada kreditnya mengikut apa-apa terma dan syarat yang ditetapkan oleh Lembaga.

(2) Walau apa pun subseksyen (1), Lembaga boleh membenarkan seseorang ahli Kumpulan Wang yang merupakan seorang pekerja berpencen yang belum mencapai umur lima puluh lima tahun untuk mengeluarkan kesemua atau sebahagian daripada jumlah wang yang ada pada kreditnya atas apa-apa terma dan syarat yang ditetapkan oleh Lembaga jika Lembaga berpuas hati bahawa ahli Kumpulan Wang itu telah dikehendaki untuk bersara atau telah memilih untuk bersara di bawah seksyen 10, 11, 12 dan 12A Akta Pencen 1980 [Akta 227] atau seksyen 10, 11, 12 dan 13 Akta Pencen Pihak-Pihak Berkuasa Berkanun dan Tempatan 1980 [Akta 239].

(3) Jika seseorang ahli Kumpulan Wang telah membuat suatu pengeluaran di bawah subseksyen (1) atau (2), ahli Kumpulan Wang itu tidak boleh dianggap sebagai pekerja di bawah Akta ini melainkan jika ahli Kumpulan Wang itu belum mencapai umur lima puluh lima tahun dan dia—

(a) bekerja dengan majikan selain Kerajaan Malaysia, mana-mana Kerajaan Negeri atau mana-mana pihak berkuasa berkanun atau tempatan; atau

(b) merupakan seorang pekerja di bawah perkhidmatan Kerajaan Malaysia, mana-mana Kerajaan Negeri atau mana-mana pihak berkuasa berkanun atau tempatan yang telah dikorporatkan.

[Gan. Akta A1300.]

(4) Bagi maksud subseksyen (2), "sebahagian daripada jumlah wang yang ada pada kreditnya" ertinya amaun wang yang ada pada kredit ahli Kumpulan Wang itu sehingga tarikh apabila pemberitahuan bertulis mengenai persaraan ahli itu yang diterima oleh Lembaga di bawah seksyen 56 mula berkuat kuasa.

[Mas. Akta A1123.]

Seksyen 55

Pembayaran berkala sebagai ganti pembayaran jumlah wang pukal

55. (Dimansuhkan oleh Akta A1300).

Seksyen 55A

Pengeluaran daripada Kumpulan Wang bagi ahli Kumpulan Wang yang telah mencapai umur lima puluh lima tahun

55A. (1) Lembaga boleh membenarkan seseorang ahli Kumpulan Wang yang telah mencapai umur lima puluh lima tahun untuk mengeluarkan semua jumlah wang atau sebahagian daripada amaun yang ada pada kreditnya, tertakluk kepada apa-apa terma dan syarat sebagaimana yang ditetapkan oleh Lembaga.

(2) Perenggan 54(1)(c), (e) dan subseksyen 54(6) tidak terpakai bagi seseorang ahli Kumpulan Wang yang telah mencapai umur lima puluh lima tahun.

[Mas. Akta A1300.]

Seksyen 56

Pelepasan caruman majikan

56. (1) Lembaga, selepas menerima suatu pemberitahuan secara bertulis daripada majikan seseorang pekerja berpencen yang menyatakan bahawa pekerja berpencen tersebut telah mati dalam perkhidmatan atau akan bersara atas alasan mencapai umur persaraan yang terpakai bagi pekerja berpencen itu atau atas apa-apa alasan lain dan membuat permintaan bagi pengembalian jumlah wang yang bersamaan dengan caruman majikan yang telah dihantar kepada Kumpulan Wang berkenaan dengan pekerja berpencen itu oleh Kerajaan Malaysia atau Kerajaan sesuatu Negeri atau mana-mana pihak berkuasa berkanun atau tempatan atau daripada semua majikan tersebut bagi pekerja berpencen itu, bersama-sama dengan apa-apa dividen yang dikreditkan ke atasnya, boleh membayar kepada Kumpulan Wang Amanah Pencen yang ditubuhkan di bawah seksyen 3 Akta Kumpulan Wang Amanah Pencen 1991 [Akta 454], amaun tersebut bersama-sama dengan dividen yang dikreditkan ke atasnya dan kemudiannya amaun yang berada pada kredit pekerja berpencen itu dalam Kumpulan Wang hendaklah amaun yang telah dikurangkan dari tarikh tersebut.

(2) Walau apa pun subseksyen (1), apabila Lembaga telah membenarkan seseorang ahli Kumpulan Wang membuat pengeluaran di bawah subseksyen 54C(1), dan (2), Lembaga bolehlah membayar sejumlah wang yang bersamaan dengan caruman majikan ahli itu yang diremitkan ke dalam Kumpulan Wang berkenaan dengan ahli itu ke dalam Kumpulan Wang Amanah Pencen yang ditubuhkan di bawah seksyen 3 Akta Kumpulan Wang Amanah Pencen 1991.

[Pin. Akta A1080, A1123.]

Seksyen 57

Bayaran untuk pengeluaran

57. Melainkan jika sebaliknya diperuntukkan, bayaran berkenaan dengan mana-mana pengeluaran yang dibenarkan oleh Lembaga di bawah Akta ini hendaklah mengikut cara yang ditentukan oleh Lembaga dari semasa ke semasa.

Seksyen 57A

Had masa bagi ahli Kumpulan Wang untuk mempertikaikan ketepatan amaun yang dikeluarkan atau kesahan sesuatu pengeluaran yang dibuat

57A. (1) Apa-apa pertikaian oleh mana-mana orang atau ahli Kumpulan Wang berkenaan dengan ketepatan amaun pengeluaran yang dibenarkan oleh Lembaga di bawah Akta ini, hendaklah dibuat dalam masa dua belas bulan dari tarikh pengeluaran itu.

(2) Bagi maksud subseksyen (1), "tarikh pengeluaran" adalah tarikh pengeluaran yang diperuntukkan di bawah seksyen 54B.

(3) Apa-apa pertikaian oleh mana-mana orang atau ahli Kumpulan Wang berkenaan dengan apa-apa pengeluaran yang dibenarkan oleh Lembaga di bawah Akta ini, hendaklah dibuat dalam masa enam tahun dari tarikh pemberitahuan pengeluaran itu disampaikan kepada orang atau ahli Kumpulan Wang itu.

(4) Pertikaian di bawah subseksyen (1) dan (3) hendaklah dibuat melalui suatu pemberitahuan bertulis kepada Lembaga dan jika tiada pemberitahuan dibuat dalam tempoh itu, pembayaran atau pengeluaran itu hendaklah disifatkan sebagai betul dan teratur.

[Mas. Akta A1300.]

Seksyen 58

Bayaran amaun tambahan

58. (1) Jika kebenaran bagi pengeluaran di bawah perenggan 54(1)(a) telah diberikan, Lembaga mempunyai budi bicara untuk membayar suatu amaun tambahan yang dinyatakan dalam Jadual Kelima tertakluk kepada apa-apa terma dan syarat sebagaimana yang ditetapkan oleh Lembaga.

(1A) (Dimansuhkan oleh Akta A1300)

(2) Jika kebenaran bagi pengeluaran telah diberikan di bawah perenggan 54(1)(c), Lembaga mempunyai budi bicara untuk membayar suatu amaun tambahan yang dinyatakan dalam Jadual Keenam tertakluk kepada apa-apa terma dan syarat sebagaimana yang ditetapkan oleh Lembaga.

(3) Seseorang ahli Kumpulan Wang tidak boleh dibayar amaun tambahan di bawah subseksyen (2) atas apa-apa pengeluaran berikutnya di bawah perenggan 54(1)(c).

[Pin. Akta A914, A1080, A1300.]

Seksyen 58A

Amaun yang dikeluarkan tidak boleh digunakan untuk maksud lain

58A. (1) Amaun yang dikeluarkan oleh mana-mana ahli Kumpulan Wang di bawah Akta ini hendaklah digunakan semata-mata untuk maksud yang baginya pengeluaran itu telah dibenarkan.

(2) Jika kesemua amaun yang dikeluarkan di bawah Akta ini atau mana-mana bahagian amaun itu tidak digunakan bagi maksud yang baginya pengeluaran itu dibenarkan, maka ahli Kumpulan Wang itu hendaklah mengembalikan kesemua amaun atau bahagian yang tidak digunakan itu kepada Lembaga dalam tempoh enam bulan dari tarikh pengeluaran.

(3) Bagi maksud subseksyen (2), "tarikh pengeluaran" ertinya tarikh pengeluaran yang diperuntukkan dalam seksyen 54B.

(4) Mana-mana ahli Kumpulan Wang yang melanggar subseksyen (1) dan (2) adalah melakukan suatu kesalahan.

[Mas. Akta A1080.]

Seksyen 58B

Pengambilan polisi insurans

BAHAGIAN VIA
 
PENGAMBILAN POLISI INSURANS OLEH AHLI KUMPULAN WANG

58B. (1) Lembaga boleh membenarkan permohonan seseorang ahli Kumpulan Wang untuk menggunakan apa-apa amaun yang ada pada kredit ahli Kumpulan Wang itu bagi tujuan untuk mengambil polisi insurans yang ditentukan oleh Lembaga daripada syarikat insurans yang diluluskan oleh Menteri tertakluk kepada apa-apa terma dan syarat yang difikirkan sesuai oleh Lembaga.

(2) Jika Lembaga telah membenarkan permohonan ahli Kumpulan Wang di bawah subseksyen (1), tiada dividen sebagaimana yang disytiharkan oleh Lembaga di bawah seksyen 27 boleh dibayar ke atas amaun yang dipindahkan kepada syarikat insurans itu.

(3) Seksyen ini tidak terpakai bagi ahli Kumpulan Wang yang merupakan pekerja berpencen dan pekerja yang bukan warganegara Malaysia.

[Mas. Akta A1080; Pin. Akta A1123.]

Seksyen 59

Perisytiharan tidak betul, kegagalan untuk memberikan penyata atau mengemukakan dokumen palsu

BAHAGIAN VII

KESALAHAN DAN PROSIDING

59. (1) Mana-mana orang atau ahli Kumpulan Wang yang—

(a) membuat, secara lisan atau bertulis, atau menandatangani apa-apa perisytiharan, penyata, perakuan atau dokumen lain yang dikehendaki oleh Akta ini atau mana-mana peraturan-peraturan atau kaedah-kaedah di bawahnya yang tidak benar atau tidak betul dalam apa-apa butir; atau

(b) gagal atau enggan untuk memberikan atau mengemukakan apa-apa perisytiharan, penyata,
perakuan atau dokumen lain yang dikehendaki oleh Akta ini atau mana-mana peraturan- peraturan atau kaedah-kaedah di bawahnya supaya diberikan atau dikemukakan; atau

(c) menggunakan atau mengemukakan apa-apa dokumen, yang dikehendaki di bawah Akta ini atau mana-mana peraturan-peraturan atau kaedah-kaedah di bawahnya, yang adalah palsu, [melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau didenda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit atau kedua-duanya].

(2) Mana-mana orang atau ahli Kumpulan Wang yang disabitkan atas sesuatu kesalahan di bawah subseksyen (1) berhubung dengan pengeluaran yang dibuat di bawah Akta ini hendaklah, dalam masa enam bulan dari tarikh sabitan itu, mengembalikan kesemua amaun yang dikeluarkan.

(3) Jika mana-mana orang atau ahli Kumpulan Wang itu mengembalikan kesemua amaun yang dikeluarkan dalam tempoh yang ditetapkan di bawah subseksyen (2), mana-mana orang atau ahli Kumpulan Wang itu dibenarkan untuk membuat pengeluaran selanjutnya bagi maksud yang sama
selepas dua tahun dari tarikh amaun itu dikembalikan.

(4) Tempoh dua tahun yang disebut dalam subseksyen (3) tidak terpakai bagi maksud apa-apa pengeluaran di bawah subseksyen 54(1) atau seksyen 55A.

(5) Jika mana-mana orang atau ahli Kumpulan Wang itu tidak mematuhi subseksyen (2), mana-mana orang atau ahli Kumpulan Wang itu adalah dilarang daripada membuat pengeluaran selanjutnya bagi maksud yang sama yang berkenaan dengannya dia telah disabitkan atas suatu kesalahan di bawah subseksyen (1).

(6) Subseksyen (5) tidak terpakai bagi maksud apa-apa pengeluaran di bawah subseksyen 54(1) atau seksyen 55A.

 

[Gan. Akta A1300.]

Seksyen 59A

Perintah mahkamah

59A. Jika seseorang yang didapati bersalah bagi kesalahan di bawah perenggan 59(b), mahkamah yang di hadapannya seseorang itu didapati bersalah hendaklah memerintahkan orang itu untuk memberikan atau mengemukakan apa-apa perisytiharan, penyata, sijil atau dokumen lain yang dikehendaki oleh Akta ini atau mana-mana peraturan-peraturan atau kaedah-kaedah di bawahnya untuk diberikan atau dikemukakan.

[Mas. Akta A958.]

Seksyen 60

Penalti am

60. Mana-mana orang yang melanggar mana-mana peruntukan Akta ini atau mana-mana peraturan atau kaedah yang dibuat di bawahnya adalah melakukan suatu kesalahan dan jika tiada penalti khas diperuntukkan dengan nyata dalam Akta ini atau peraturan-peraturan atau kaedah-kaedah yang dibuat di bawahnya itu, apabila disabitkan, boleh dipenjarakan selama suatu tempoh yang tidak melebihi enam bulan atau didenda tidak melebihi dua ribu ringgit atau kedua-duanya.

Seksyen 61

Percubaan, persediaan, pensubahatan dan komplot boleh dihukum sebagai kesalahan

61. Mana-mana orang yang

(a) cuba untuk melakukan mana-mana kesalahan di bawah Akta ini; 

(b) melakukan apa-apa perbuatan persediaan kepada atau bagi mencapai perlakuan mana-mana kesalahan di bawah Akta ini; atau 

(c) bersubahat atau terlibat dalam sesuatu komplot jenayah untuk melakukan (sebagaimana istilah-istilah itu ditakrifkan dalam Kanun Keseksaan) mana-mana kesalahan di bawah Akta ini, sama ada atau tidak kesalahan itu dilakukan akibat daripadanya,

adalah melakukan kesalahan itu dan boleh dikenakan penalti yang diperuntukkan bagi kesalahan itu.

Seksyen 62

Satu perbicaraan bagi apa-apa bilangan kesalahan

62. Walau apa pun peruntukan-peruntukan mana-mana undangundang bertulis yang berlawanan, seseorang majikan boleh dipertuduhkan dengan dan dibicarakan pada satu perbicaraan bagi apa-apa bilangan kesalahan di bawah subseksyen 43(2) dan kesalahan-kesalahan itu hendaklah, bagi maksud undang-undang yang pada masa itu berkuatkuasa berhubungan dengan prosedur jenayah, disifatkan sebagai membentuk transaksi yang sama.

Seksyen 63

Perintah Mahkamah

63. (1) Walau apa pun peruntukan mana-mana undang-undang bertulis yang lain, jika seseorang majikan didapati bersalah atas suatu kesalahan di bawah subseksyen 43(2) atau 48(3), Mahkamah yang di hadapannya majikan itu didapati bersalah hendaklah memerintahkan majikan itu membayar kepada Kumpulan Wang apa-apa amaun caruman, bersama-sama dengan apa-apa dividen yang dikreditkan ke atasnya, yang genap masa untuk dibayar dan kena dibayar kepada Lembaga dan diperakui oleh seorang pegawai yang diberikuasa oleh Lembaga sebagai kena dibayar daripada majikan itu sebelum tarikh dapatan bersalah itu. 

(1A) Jika seseorang majikan didapati bersalah atas suatu kesalahan di bawah subseksyen 47(2), mahkamah yang di hadapannya majikan itu didapati bersalah hendaklah memerintahkan majikan itu membayar kepada pekerja itu melalui Kumpulan Wang apa-apa amaun upah pekerja yang telah dipotong untuk membayar syer majikan bersama-sama dengan apa-apa dividen yang kena dibayar dan diperakui oleh seorang pegawai yang diberi kuasa oleh Lembaga sebagai kena dibayar oleh majikan itu, sebelum tarikh dapatan bersalah itu.

(2) Jika seseorang majikan didapati bersalah atas suatu kesalahan di bawah subseksyen 45(3), Mahkamah yang di hadapannya majikan itu didapati bersalah hendaklah memerintahkan majikan itu membayar kepada Kumpulan Wang amaun apa-apa dividen ke atasnya yang genap masa untuk dibayar dan kena dibayar kepada Lembaga dan diperakui oleh seorang pegawai yang berkuasa oleh Lembaga sebagai kena dibayar daripada majikan itu.

(3) Perintah mahkamah yang dikeluarkan di bawah subseksyen (1), (1A) atau (2) atau kedua-duanya hendaklah dijelaskan oleh majikan secara sekali pembayaran pada tarikh perintah dikeluarkan melainkan jika mahkamah berpuas hati bahawa majikan itu tidak berupaya dari segi kewangan dan atas sebab-sebab yang khas kesalahan itu dilakukan, Mahkamah bolehlah memerintah pembayaran tunggakan caruman dibuat secara yang tidak melebihi enam ansuran bulanan mulai tarikh perintah itu.

(4) Jika seseorang majikan tidak mematuhi mana-mana perintah di bawah subseksyen  (1A) atau (3), Mahkamah hendaklah, atas permohonan Lembaga, mengeluarkan suatu waran untuk melevi harta majikan itu bagi mendapatkan keseluruhan jumlah tunggakan caruman itu mengikut cara yang berikut:

(a) secara distres dan penjualan harta majikan itu mengikut tatacara yang sama seperti pelaksanaan di bawah  Kaedah-Kaedah Mahkamah Rendah 1980 [P.U. (A) 328/80] dan pelaksanaan ini hendaklah terpakai secara mutatis mutandis walau apa pun amaun dalam perintah tunggakan caruman atau dividen atau kedua-duanya; atau 

(b) cara yang sama seperti suatu denda sebagaimana yang diperuntukkan di bawah seksyen 283 Kanun Tatacara Jenayah [Akta 593].

[Gan. Akta A914; Pin. Akta A1080.]

Seksyen 64

Perakuan pegawai Lembaga yang diberikuasa hendaklah menjadi keterangan

64.  Dalam mana-mana prosiding undang-undang, suatu perakuan berhubung dengan suatu tuntutan caruman yang kena dibayar dan diperakui dengan sewajarnya oleh seorang pegawai yang diberi kuasa oleh Lembaga hendaklah menjadi keterangan prima facie yang perakuan itu telah dibuat dan tentang kebenaran kandungannya. 

[Gan. Akta A1300.]

Seksyen 65

Prosiding sivil bagi mendapatkan kembali caruman

65. (1) Walau apa pun peruntukan mana-mana undang-undang bertulis yang lain kesemua caruman yang kena dibayar di bawah Akta ini boleh, tanpa menjejaskan apa-apa remedi lain, didapatkan kembali oleh Lembaga secara terus sebagai hutang sivil.

(2) Prosiding bagi mendapatkan kembali secara terus sebagai hutang sivil akan caruman bolehlah dimulakan oleh mana-mana pegawai yang diberikuasa bagi maksud itu melalui arahan khas atau arahan am daripada Pengerusi dan mana-mana pegawai sedemikian bolehlah menjalankan prosiding tersebut.

(3) Dalam seksyen ini perkataan "caruman" hendaklah disifatkan sebagai termasuk apa-apa dividen dan faedah yang kena dibayar ke atas mana-mana caruman.

[Pin. Akta A914.]

Seksyen 66

Perlindungan caruman dalam prosiding pelaksanaan atau penjualan di bawah cagaran

66. (1) Jika, pada bila-bila masa sebelum tarikh bermulanya sesuatu penggulungan dalam hal sesuatu syarikat atau sebelum pembuatan sesuatu perintah penerimaan dalam hal seseorang penghutang dalam kebankrapan-

(a) suatu penahanan telah dikeluarkan terhadap harta seseorang majikan sebagai pelaksanaan suatu dekri terhadapnya dan mana-mana harta tersebut telah disita atau dijual atau selainnya dihasilkan menurut pelaksanaan tersebut; atau 

(b) harta seseorang majikan telah dijual, atas permohonan seseorang pemiutang bercagar,

maka hasil penjualan atau penghasilan lain daripada harta tersebut tidak boleh dibahagikan kepada mana-mana orang yang berhak kepadanya sehingga mahkamah yang memerintahkan penjualan atau penghasilan lain itu, telah membuat peruntukan bagi pembayaran apa-apa amaun yang kena dibayar berkenaan dengan carumancaruman yang kena dibayar oleh majikan itu di bawah Akta ini.

(2) Dalam seksyen ini perkataan "caruman" hendaklah disifatkan sebagai termasuk apa-apa dividen dan faedah yang dibayar ke atas mana-mana caruman.

[Pin. Akta A914.]

Seksyen 67

Penjalanan prosiding sivil

67. Walau apa pun peruntukan-peruntukan mana-mana undang-undang bertulis, tetapi tanpa menjejaskan seksyen 65, dalam mana-mana prosiding sivil oleh atau terhadap Lembaga-

(a) mana-mana orang yang memegang jawatan sebagai Peguam Persekutuan dan diberikuasa oleh Peguam Negara bagi maksud itu; atau 

(b) mana-mana pegawai undang-undang Lembaga yang diberikuasa bagi maksud tersebut oleh Pengerusi,

boleh, bagi pihak Lembaga, memulakan, menghadiri dan menjalankan prosiding tersebut dan boleh membuat dan melakukan kesemua kehadiran, tindakan dan permohonan berkenaan dengan prosiding tersebut.

Seksyen 68

(Dimansuhkan oleh Akta A1080)

68. (Dimansuhkan oleh Akta A1080).

Seksyen 69

Kesalahan-kesalahan oleh pertubuhan perbadanan

69. Jika sesuatu kesalahan di bawah Akta ini atau mana-mana peraturan atau kaedah yang dibuat di bawahnya telah dilakukan oleh pertubuhan perbadanan, firma, pertubuhan atau lain-lain kumpulan orang, mana-mana orang yang pada masa perlakuan kesalahan itu adalah pengarah, pengurus, setiausaha atau pegawai lain yang seumpamanya atau pekongsi dalam pertubuhan perbadanan, firma, pertubuhan atau lain-lain kumpulan orang itu berupa bertindak atas sifat tersebut hendaklah, berserta juga dengan pertubuhan perbadanan, firma, pertubuhan atau lain-lain kumpulan orang tersebut, disifatkan sebagai melakukan kesalahan tersebut melainkan jika dia membuktikan bahawa kesalahan itu telah dilakukan tanpa persetujuan atau pembiarannya dan bahawa dia telah menjalankan segala usaha untuk menghalang perlakuan kesalahan itu sebagaimana yang patut dijalankan olehnya, memandangkan kepada jenis fungsifungsinya atas sifat itu dan kepada segala hal-keadaan.

Seksyen 70

Ahli-ahli Lembaga, Panel Pelaburan dan pegawai-pegawai disifatkan sebagai pekhidmat-pekhidmat awam

70. Tiap-tiap ahli Lembaga, Panel Pelaburan, pegawai dan pekhidmat Lembaga hendaklah disifatkan sebagai pekhidmat awam mengikut pengertian Kanun Keseksaan.

Seksyen 70A

Pemakaian

BAHAGIAN VIIA

AHLI KUMPULAN WANG YANG BUKAN WARGANEGARA MALAYSIA

70A. Bahagian ini hendaklah terpakai bagi setiap ahli Kumpulan Wang yang bukan warganegara Malaysia yang memilih untuk mencarum pada atau selepas 1 Ogos 1998.

[Mas. Akta A1080; Pin. Akta A1190.]

Seksyen 70B

(Dimansuhkan oleh Akta A1190)

70B. (Dimansuhkan oleh Akta A1190).

Seksyen 70C

Pengeluaran daripada Kumpulan Wang

70C. Lembaga boleh membenarkan pengeluaran kesemua amaun yang ada pada kredit seseorang ahli Kumpulan Wang yang bukan warganegara Malaysia atas apa-apa terma dan syarat yang ditetapkan oleh Lembaga jika Lembaga berpuas hati bahawa

(a) ahli Kumpulan Wang itu telah meninggal dunia; 

(b) ahli Kumpulan Wang itu tidak berupaya dari segi fizikal atau mental untuk bekerja; atau 

(c) ahli Kumpulan Wang itu akan meninggalkan Malaysia dan tidak mempunyai niat untuk kembali ke Malaysia.

[Mas. Akta A1080.]

Seksyen 70D

Penamaan

70D. Ahli Kumpulan Wang yang bukan warganegara Malaysia tidak dibenarkan membuat apa-apa penamaan di bawah Akta ini.

[Mas. Akta A1080.]

Seksyen 70E

Penerusan pemakaian peruntukan lain

70E. Sebagai tambahan kepada dan tidak sebagai pengurangan peruntukan-peruntukan di bawah Bahagian ini, kesemua peruntukan lain di bawah Akta ini kecuali seksyen 29A, 44A, 53A, 53B, 54, 54A, 55A, 58 dan 58B hendaklah terpakai bagi ahli Kumpulan Wang yang bukan warganegara Malaysia.

[Mas. Akta A1080; Pin. Akta A1123.]

Seksyen 70F

Pengembalian kredit

70F. Walau apa pun seksyen 70C, Lembaga boleh, mengikut cara yang ditetapkan oleh Lembaga, mengembalikan kepada seseorang ahli Kumpulan Wang yang bukan warganegara Malaysia dan yang diwajibkan mencarum dalam tempoh yang bermula pada 1 Ogos 1998 dan berakhir pada 1 Ogos 2001, kesemua amaun yang ada pada kredit ahli itu.

[Mas. Akta A1190.]

Seksyen 70G

Penghentian tanggungan untuk mencarum

70G. (1) Tanggungan untuk mencarum seseorang pekerja yang bukan seorang warganegara Malaysia dan majikannya hendaklah terhenti pada dua bulan terakhir—

(a) sebelum tamat tempoh pas kerja pekerja itu; atau

(b) sebelum tamat apa-apa tempoh lanjutan pas kerja pekerja itu.

(2) Bagi maksud seksyen ini—  

"pas kerja" ertinya pas yang dikeluarkan di bawah peruntukan mana-mana undang-undang bertulis yang berhubungan dengan imigresen.

[Mas. Akta A1300.]

Seksyen 71

Kuasa Menteri untuk membuat peraturan-peraturan

BAHAGIAN VIII

KUASA UNTUK MEMBUAT PERATURAN-PERATURAN DAN KAEDAH-KAEDAH

71. Menteri boleh, atas syor Lembaga, membuat peraturan-peraturan

(a) untuk mengadakan peruntukan bagi cara pembayaran dan pemungutan caruman-caruman dan apa-apa perkara yang bersampingan dengannya;

(b) untuk mengadakan peruntukan bagi penamaan oleh seseorang ahli Kumpulan Wang akan orang-orang yang kepada mereka apa-apa amaun yang berada pada kreditnya dalam Kumpulan Wang pada masa kematiannya hendaklah dibayar setelah kematiannya, bagi cara yang mengikutnya penamaan tersebut boleh dibatalkan dan bagi hal-keadaan dalam mana ia hendaklah dianggap sebagai terhenti berkuatkuasa dan bagi pembayaran amaun itu kepada namaan yang dinamakan sedemikian;

(c) untuk mengadakan peruntukan bagi pembayaran jumlah wang yang berada pada kredit seseorang ahli Kumpulan Wang pada masa kematiannya jika tiada penamaan oleh ahli itu akan orang yang kepadanya jumlah wang itu hendaklah dibayar setelah kematiannya; 
(d) untuk mengadakan peruntukan bagi cara pembayaran amaun tambahan dalam hal kematian seseorang ahli atau atas pengeluaran di bawah peruntukan-peruntukan perenggan 54(1)(c);

(e) untuk memperuntukkan bahawa apa-apa amaun yang tidak melebihi dua ratus ribu ringgit, atau apa-apa amaun lain sebagaimana yang ditentukan oleh Menteri, dari semasa ke semasa, melalui pemberitahuan dalam Warta, yang berada pada kredit seseorang ahli yang telah mati dalam Kumpulan Wang boleh dibayar keluar oleh Lembaga tanpa pengemukaan apa-apa keterangan bahawa apa-apa duti harta pusaka yang kena dibayar ke atas harta pusaka ahli yang telah mati itu telah dibayar;

(f) untuk mengadakan peruntukan bagi pemusnahan rekodrekod dan dokumen-dokumen tetapi peraturan-peraturan sedemikian hendaklah menghendaki perundingan terlebih dahulu dengan Arkib Negara sebelum pemusnahan tersebut;

(g) untuk mengadakan peruntukan bagi kesalahan-kesalahan di bawah Akta ini atau peraturan-peraturan atau kaedahkaedah yang dibuat di bawahnya yang boleh dikompaunkan oleh Lembaga, orang-orang yang boleh mengkompaun, had jumlah wang yang hendak dipungut bagi mengkompaun kesalahan-kesalahan itu dan prosedur dan borang-borang yang hendaklah dipatuhi dalam mengkompaun;

(h) untuk menetapkan fee yang hendaklah dibayar kepada Lembaga berkenaan dengan pelaburan di bawah Bahagian IIIA dan caj bagi maksud menjalankan peruntukan Akta ini;

(i) untuk menetapkan fee untuk dikenakan ke atas institusi pengurusan dana atau institusi-institusi lain  yang diluluskan di bawah Bahagian IIIA;

(j) untuk menetapkan apa-apa yang berhubungan dengan pelaburan di bawah Bahagian IIIA termasuklah perkara berkenaan dengan pelantikan, pengurusan, pentadbiran, tugas, terma dan syarat institusi pengurusan dana atau institusi-institusi lain  yang diluluskan;

(ja) untuk menetapkan apa-apa perkara yang berhubungan dengan pengambilan polisi insurans di bawah Bahagian VIA atau perenggan 54(6)(j), termasuklah pelantikan, pengurusan, pentadbiran, tugas, terma dan syarat syarikat insurans;

(k) untuk menetapkan apa-apa jua yang di bawah Akta ini boleh ditetapkan oleh Menteri; 

(ka) untuk menetapkan apa-apa caj atau fi yang hendaklah dibayar kepada Lembaga bagi maksud menjalankan
peruntukan Akta ini;

(kb) untuk mengadakan peruntukan bagi larangan penggunaan nama dan lambang Kumpulan Wang; dan

(l) bagi melaksanakan mana-mana peruntukan Akta ini.

[Pin. Akta A958, A1080.] 

Seksyen 72

Kuasa Menteri untuk menghendaki orang lain untuk mencarum...
Kuasa Menteri untuk menghendaki orang lain untuk mencarum dan mengisytiharkan apa-apa pembayaran atau saraan sebagai upah

72. Walau apa pun apa-apa jua dalam Akta ini atau mana-mana undang-undang bertulis lain, Menteri boleh melalui pemberitahuan dalam Warta

(a) menghendaki mana-mana orang yang memperolehi pendapatan daripada apa-apa tred, perniagaan atau profesion, atau daripada apa-apa sumber lain sebagaimana yang ditetapkannya, supaya mencarum kepada Kumpulan Wang;

(b) mengisytiharkan apa-apa jenis pembayaran atau saraan yang dibayar atau kena dibayar oleh mana-mana majikan kepada pekerjanya di bawah kontrak perkhidmatan atau perantisan, sebagai upah, jika Menteri berpuas hati bahawa, memandangkan sifat atau maksud pembayaran atau saraan itu atau apa-apa fakta lain yang relevan, ia patutlah dalam hal-keadaan itu dianggap sebagai upah bagi maksud-maksud Akta ini; atau

(c) mengisytiharkan mana-mana orang atau golongan orang yang diambil kerja, yang terlibat atau berkontrak untuk menjalankan kerja dalam mana-mana pekerjaan dalam apa-apa kegiatan pertanian atau perusahaan, kerja binaan, tred, perniagaan atau tempat kerja sebagai pekerja atau pekerja-pekerja dan orang yang mengambil kerja, terlibat atau berkontrak dengan setiap orang atau golongan orang yang disebut di atas, hendaklah disifatkan sebagai majikan dan majikan dan pekerja itu hendaklah disifatkan telah membuat kontrak perkhidmatan antara satu sama lain dan Menteri boleh memutuskan apa-apa bayaran yang diterima oleh orang yang disebut di atas sebagai upah bagi maksud Akta ini,

dan sesudah itu Akta ini hendaklah terpakai bagi orang, majikan atau pekerja itu, mengikut mana yang berkenaan, tertakluk kepada apa-apa ubahsuaian sebagaimana yang ditetapkan oleh 
Menteri.

[Pin. Akta A914.]

Seksyen 73

Kuasa Lembaga untuk membuat kaedah-kaedah

73. Lembaga boleh, sebagai tambahan kepada tugas-tugas lain yang dikenakan dan kuasa-kuasa yang diberikan kepadanya di bawah Akta ini, membuat kaedah-kaedah-

(a) untuk mengadakan peruntukan bagi pembayaran segala caruman di bawah Akta ini atau mana-mana bahagiannya, yang tertinggal daripada dibayar;

(aa) untuk menetapkan apa-apa perkara yang berhubungan dengan pengambilan polisi insurans di bawah Bahagian VIA atau perenggan 54(6)(j), termasuklah tatacara bagi pengambilan polisi insurans;

(b) untuk mengadakan peruntukan bagi penyimpanan bukubuku, akaun-akaun atau rekod-rekod oleh majikan-majikan;

(c) untuk menetapkan penyata-penyata yang hendaklah dibuat oleh majikan-majikan, dan borang-borang dan daftar-daftar yang hendaklah digunakan, dalam melaksanakan mana-mana peruntukan Akta ini;

(d) untuk menetapkan prosedur yang hendaklah diikuti apabila caruman-caruman didepositkan oleh majikan dalam Kumpulan Wang;

(e) untuk memperuntukkan, dalam hal-hal di mana seorang pekerja adalah bekerja secara serentak dengan dua atau lebih majikan, takat kewajipan majikan-majikan tersebut ke atas pembayaran caruman-caruman di bawah Akta ini;

(f) untuk mengadakan peruntukan bagi mengembalikan caruman-caruman, atau mana-mana bahagian caruman itu, yang tersilap dibayar, bersama-sama dengan apa-apa dividen ke atas caruman-caruman tersebut;

(g) untuk menetapkan prosedur yang hendaklah diikuti bagi maksud penamaan dan pembatalan penamaan, dan butirbutir yang hendaklah dikemukakan;

(h) untuk menetapkan prosedur berhubungan dengan pengeluaran daripada Kumpulan Wang;

(i) untuk mengadakan peruntukan bagi pelantikan lembagalembaga perubatan bagi maksud perenggan 54(1)(c) dan bagi apa-apa maksud lain sebagaimana yang ditetapkan;

(j) untuk menetapkan keterangan yang hendaklah dikemukakan dan orang, pegawai atau pihak berkuasa yang kepadanya keterangan itu hendaklah dikemukakan bagi maksudmaksud seksyen 54;

(k) untuk mengadakan peruntukan bagi pelupusan amaunamaun yang tak dituntut, tak dibayar atau selainnya masih berada dalam Kumpulan Wang;

(l) untuk menetapkan prosedur yang hendaklah diikuti bagi pelupusan perkara-perkara yang berhubungan dengan akaun majikan dan pekerja; 

(m) (i) untuk membuat apa-apa kaedah tatatertib sebagaimana yang difikirkannya perlu atau suaimanfaat untuk mengadakan peruntukan bagi tatatertib pegawaipegawai dan pekhidmat-pekhidmat Lembaga termasuklah pegawai-pegawai sementara dan pegawaipegawai kontrak Lembaga; 

(ii) kaedah-kaedah tatatertib yang dibuat oleh Lembaga di bawah Akta ini bolehlah termasuk peruntukanperuntukan bagi penahanan kerja dengan pengurangan dalam gaji atau dalam saraan lain, atau peruntukanperuntukan bagi penggantungan kerja tanpa gaji atau saraan lain, akan seseorang pegawai atau pekhidmat Lembaga sementara menanti keputusan prosiding tatatertib; 

(iii) kaedah-kaedah tatatertib yang dibuat di bawah Akta ini hendaklah mewujudkan apa-apa kesalahan tatatertib dan mengadakan peruntukan bagi apa-apa hukuman tatatertib sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Lembaga, dan hukuman-hukuman yang diperuntukkan sedemikian bolehlah meliputi pembuangan kerja atau penurunan pangkat; 

(iv) kaedah-kaedah tatatertib yang dibuat di bawah Akta ini boleh, dalam menetapkan prosedur bagi prosiding tatatertib mengadakan peruntukan bagi peluang untuk representasi dibuat dalam keadaan-keadaan tertentu oleh orang terhadapnya prosiding tatatertib itu diambil sebelum sesuatu keputusan dicapai oleh pihak berkuasa tatatertib ke atas tuduhan tatatertib yang dikenakan terhadap orang itu;

(n) untuk menetapkan apa-apa yang berhubungan dengan pelaburan di bawah Bahagian IIIAtermasuklah prosedur bagi pelaburan; 

(na) untuk menetapkan apa-apa perkara yang berhubungan dengan pemindahan kredit di bawah Bahagian VA termasuk pengeluaran bagi kredit yang dipindahkan;

(o) untuk menetapkan prosedur yang hendaklah diikuti dalam hal berhubungan dengan kewangan dan akaun Kumpulan Wang; dan

(p) untuk menetapkan apa-apa jua yang boleh ditetapkan oleh Lembaga di bawah Akta ini.

[Pin. Akta A914, A958, A1080, A1300.]

Seksyen 74

Kuasa Menteri untuk meminda Jadual-Jadual

74. Menteri boleh, melalui perintah yang diberitahu dalam Warta, meminda, menambah kepada atau mengubah mana-mana Jadual kepada Akta ini.

Seksyen 75

Pemansuhan Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja 1951

BAHAGIAN IX

PERUNTUKAN-PERUNTUKAN PEMANSUHAN DAN PERALIHAN

75. Pada hari ditetapkan

(a) Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja 1951 [Akta 272] (dalam Bahagian ini disebut sebagai "Akta yang dimansuhkan") hendaklah terhenti berkuatkuasa;

(b) Lembaga Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (dalam Bahagian ini disebut sebagai "Lembaga KWSP") yang merupakan suatu pertubuhan perbadanan yang telah ditubuhkan di bawah Akta yang dimansuhkan itu hendaklah juga terhenti wujud:

Dengan syarat bahawa ahli-ahli Lembaga KWSP yang sebelum sahaja hari ditetapkan telah dilantik sebagai ahli-ahli Lembaga KWSP hendaklah pada hari itu menjadi ahli-ahli Lembaga dan hendaklah tertakluk kepada semua peruntukan Akta ini berhubungan dengan ahli-ahli tersebut dan hendaklah disifatkan telah dilantik di bawah Akta ini. 

Seksyen 76

Penerusan undang-undang, dsb.

76. (1) Tertakluk kepada peruntukan-peruntukan Akta ini, semua undang-undang bertulis, perintah, peraturan dan kaedah yang menyentuh atau bagi perlindungan Lembaga KWSP dan berkuatkuasa sebelum sahaja hari ditetapkan hendaklah, sehingga dipinda atau dibatalkan oleh pihak berkuasa yang mempunyai kuasa untuk berbuat demikian, terus berkuatkuasa pada dan selepas hari ditetapkan dan ditafsirkan seolah-olah Akta ini telah tidak diluluskan:

Dengan syarat bahawa apa-apa sebutan di dalamnya mengenai Lembaga KWSP hendaklah, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain, ditafsirkan sebagai sebutan-sebutan mengenai Lembaga, dan ungkapan-ungkapan yang membawa maksud sesuatu sebutan sedemikian hendaklah ditafsirkan sewajarnya.

(2) Semua perintah, arahan, pelantikan, pemberitahuan, peraturan dan kaedah yang dibuat di bawah peruntukan-peruntukan Akta yang dimansuhkan itu dan berkuatkuasa sebelum sahaja hari ditetapkan hendaklah, setakat yang ia tidak tak konsisten dengan peruntukanperuntukan Akta ini, disifatkan telah dibuat di bawah Akta ini, dan hendaklah terus berkuatkuasa sehingga peruntukan-peruntukan lain adalah dibuat di bawah Akta ini atau sehingga tarikh yang padanya ia habis tempoh.

Seksyen 77

Pemindahan kuasa, hak, liabiliti dan tugas

77. Tertakluk kepada peruntukan-peruntukan Akta ini, semua kuasa, hak, keistimewaan, tugas, liabiliti atau kewajipan yang sebelum sahaja hari ditetapkan adalah kuasa, hak, keistimewaan, tugas, liabiliti atau kewajipan Lembaga KWSP hendaklah dari hari itu diturunkan kepada Lembaga.

Seksyen 78

Pemindahan harta

78. (1) Tertakluk kepada peruntukan-peruntukan Akta ini, semua tanah yang sebelum sahaja hari ditetapkan terletakhak pada Lembaga KWSP hendaklah, pada hari itu, terletakhak pada Lembaga.

(2) Tertakluk kepada peruntukan-peruntukan Akta ini, dan kepada mana-mana arahan Menteri, semua harta dan aset selain daripada tanah yang sebelum sahaja hari ditetapkan adalah terletakhak pada Lembaga KWSP atau pada mana-mana orang bagi pihak Lembaga KWSP hendaklah pada hari itu terletakhak pada Lembaga.

Seksyen 79

Kontrak-kontrak yang sedia ada

79. Tertakluk kepada peruntukan-peruntukan Akta ini, semua suratikatan, bon, perjanjian, suratcara dan perkiraan kerja yang wujud sebelum sahaja hari ditetapkan dan menyentuh mana-mana harta yang dipindahkan di bawah seksyen 78 hendaklah mempunyai kuatkuasa dan kesan yang penuh terhadap atau menyebelahi Lembaga dan boleh dikuatkuasakan sepenuhnya dan seberkesannya seolah-olah Lembaga, dan bukannya Lembaga KWSP atau mana-mana orang yang bertindak bagi pihak Lembaga KWSP, telah dinamakan di dalamnya atau telah menjadi suatu pihak kepadanya.

Seksyen 80

Penerusan prosiding jenayah dan sivil

80. (1) Tertakluk kepada peruntukan-peruntukan Akta ini, pemansuhan Akta yang dimansuhkan itu, ataupun apa-apa jua yang terkandung dalam Akta ini, tidaklah menyentuh liabiliti mana-mana orang untuk didakwa atau dihukum bagi kesalahan-kesalahan yang telah dilakukan di bawah Akta yang dimansuhkan itu sebelum hari ditetapkan, atau mana-mana prosiding yang telah dibawa atau hukuman yang telah dikenakan sebelum hari itu berkenaan dengan kesalahan itu.

(2) Tertakluk kepada peruntukan-peruntukan Akta ini, mana-mana prosiding (sama ada sivil atau jenayah) atau kuasa tindakan yang belum selesai atau sedang wujud sebelum sahaja hari ditetapkan oleh atau terhadap Lembaga KWSP atau mana-mana orang yang bertindak bagi pihak Lembaga KWSP bolehlah diteruskan atau dimulakan oleh atau terhadap Lembaga sepertimana yang ia boleh diteruskan atau dimulakan oleh atau terhadap Lembaga KWSP atau orang itu seolah-olah Akta ini telah tidak diluluskan.

(3) Mana-mana rayuan yang dibawa atau mana-mana kebenaran untuk merayu yang dipohonkan pada atau selepas hari ditetapkan terhadap sesuatu keputusan yang diberi dalam mana-mana prosiding undang-undang sebelum hari itu bolehlah dibawa oleh atau terhadap Lembaga sepertimana yang ia boleh dibawa oleh atau terhadap Lembaga KWSP seolah-olah Akta ini telah tidak diluluskan. 

Seksyen 81

Pemindahan Kumpulan Wang

81. Tertakluk kepada peruntukan-peruntukan Akta ini, semua wang yang berada dalam, dan kena dibayar kepada, Kumpulan Wang yang ditubuhkan di bawah seksyen 4 Akta yang dimansuhkan itu hendaklah pada hari ditetapkan dipindahkan kepada Kumpulan Wang.

Seksyen 82

Penerusan pegawai dan pekhidmat

82. Tiap-tiap orang yang sebelum sahaja hari ditetapkan telah bekerja sebagai pegawai atau pekhidmat Lembaga KWSP hendaklah pada hari itu disifatkan sebagai diambil bekerja sebagai pegawai atau pekhidmat, mengikut mana yang berkenaan, Lembaga atas terma-terma dan syarat-syarat perkhidmatan yang sama seperti yang terdapat sebelum sahaja hari ditetapkan itu.

Seksyen 83

Prosiding tatatertib yang belum selesai

83. Semua prosiding tatatertib yang, sebelum sahaja hari ditetapkan, belum selesai terhadap mana-mana pegawai atau pekhidmat Lembaga KWSP pada atau selepas tarikh itu, boleh diteruskan terhadap pegawai atau pekhidmat itu oleh pihak berkuasa yang berkenaan bagi Lembaga yang ditubuhkan oleh Akta ini.

Seksyen 84

Pemindahan ahli Kumpulan Wang

84. Tiap-tiap pekerja yang sebelum sahaja hari ditetapkan adalah ahli Kumpulan Wang yang ditubuhkan di bawah seksyen 4 Akta yang dimansuhkan itu hendaklah pada tarikh itu menjadi ahli Kumpulan Wang dan tertakluk kepada semua peruntukan Akta ini berhubungan dengan ahli Kumpulan Wang.

Seksyen 85

Pemindahan pendaftaran majikan

85. Tiap-tiap majikan yang didaftarkan di bawah peruntukan-peruntukan Akta yang dimansuhkan itu atau kaedah-kaedah yang dibuat di bawahnya hendaklah disifatkan telah didaftarkan di bawah Akta ini.

Seksyen 86

Menghalang anomali

86. (1) Jika apa-apa kesukaran timbul berkenaan dengan peruntukan-peruntukan peralihan yang tersebut di atas dalam Akta ini Menteri boleh melalui perintah membuat apa-apa ubahsuaian dalam peruntukanperuntukan tersebut sebagaimana yang didapatinya perlu bagi menghalang anomali:

Dengan syarat bahawa Menteri tidaklah boleh menjalankan kuasakuasa yang diberi oleh seksyen ini selepas habis tempoh dua tahun dari hari ditetapkan.

(2) Dalam seksyen ini, "ubahsuaian" termasuklah pindaan, penambahan, pemotongan, penggantian, penyesuaian, perubahan, pengubahan dan ketakpakaian mana-mana peruntukan Bahagian ini. 

JADUAL PERTAMA

(Seksyen 2)
ORANG-ORANG YANG BUKAN PEKERJA

(1) Kesemua orang asli nomad melainkan jika dalam mana-mana hal tertentu Ketua Pengarah Jabatan Orang Asli mengesyorkan selainnya.

(2) Orang-orang gaji domestik sebagaimana yang ditakrifkan dalam seksyen 3 Akta Pampasan Pekerja 1952 [Akta 273], kecuali apabila diambil bekerja

(a) oleh mana-mana majikan yang dinyatakan dalam Jadual Kedua kepada Akta ini; 

(b) oleh mana-mana pertubuhan yang didaftarkan atau dikehendaki didaftarkan di bawah mana-mana undang-undang bertulis yang pada masa itu berkuatkuasa berhubungan dengan pendaftaran pertubuhan-pertubuhan atau pertubuhan-pertubuhan koperasi; 
(c) dalam mana-mana perniagaan yang didaftarkan atau dilesenkan atau dikehendaki didaftarkan atau dilesenkan di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 [Akta 197], Ordinan Pelesenan Tred bagi Negeri Sabah [Sabah Bab 144], Ordinan Pelesenan Perniagaan, Profesion dan Tred bagi Negeri Sarawak [Sarawak Bab 33 ], atau Ordinan Nama-Nama Perniagaan bagi Negeri Sarawak
[Sarawak Bab 64], mengikut mana yang berkenaan; atau 
(d) oleh mana-mana perbadanan yang diperbadankan di bawah mana-mana undang-undang bertulis.

(3) Orang-orang gaji domestik yang ditakrifkan sebagaimana yang tersebut dahulu (selain daripada yang telah dikecualikan di bawah perenggan (2) yang tidak, berkenaan dengan mana-mana pekerjaan dalam mana mereka pada ketika itu bekerja, memberikan kepada Lembaga dan majikan-majikan mereka satu bulan notis dalam borang yang ditetapkan mengenai niat mereka untuk menjadi ahli-ahli Kumpulan Wang.

(4) Pekerja-pekerja luar sebagaimana yang ditakrifkan dalam seksyen 3 Akta Pampasan Pekerja 1952, kecuali apabila diambil bekerja oleh mana-mana majikan yang dinyatakan dalam Jadual Kedua.

(5) Mana-mana orang yang ditahan dalam mana-mana penjara, Sekolah Henry Gurney, sekolah diluluskan, tempat tahanan, hospital mental, pusat pemulihan yang mempunyai erti yang sama dalam Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 [Akta 283] atau penempatan pesakit kusta.

(6) Mana-mana orang yang diambil bekerja dan yang negara domisilnya adalah di luar Malaysia dan yang masuk dan berada secara sementara di bawah kuasa mana-mana pas yang dikeluarkan di bawah peruntukan mana-mana undangundang bertulis yang berhubungan dengan imigresen dan yang tidak memberi Lembaga dan majikannya notis satu bulan dalam borang yang ditetapkan mengenai niatnya untuk menjadi ahli Kumpulan Wang.

(7) Mana-mana orang yang diambil bekerja dan yang negara domisilnya adalah di luar Malaysia dan yang mengikut terma dan syarat perkhidmatannya menyertai suatu kumpulan wang simpanan atau skim lain yang seumpamanya yang ditubuhkan atau ditadbirkan di luar Malaysia.

(8) Mana-mana orang yang diambil bekerja dan yang negara domisilnya adalah di luar Malaysia dan yang telah mendapat kelulusan bertulis terlebih dahulu daripada Lembaga untuk menyertai mengikut terma-terma dan syaratsyarat perkhidmatannya dalam suatu kumpulan wang simpanan atau lain-lain skim yang ditubuhkan atau ditadbirkan di Malaysia.

(9) Mana-mana orang yang adalah Anggota Pentadbiran sebagaimana yang ditakrifkan di bawah Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan.

(10) (Dimansuhkan oleh Akta A1190).

(11) (Dimansuhkan oleh Akta A1190).

(12) (Dimansuhkan oleh Akta A1190). 

 

(13) Mana-mana orang yang telah mencapai umur tujuh puluh lima tahun.

 

[Pin. Akta A958, P.U. (A) 290/98, 414/98, Akta A1190, A1300.]

JADUAL KEDUA

 

(Seksyen 2)
TAKRIF "MAJIKAN"

(1) Public Utilities Board of Singapore.

(2) Mana-mana Kedutaan, Suruhanjaya Tinggi, Konsulat atau mana-mana kerajaan lain dan mana-mana pejabat atau jabatan sedemikian yang lain sebagaimana yang dinyatakan oleh Menteri dari semasa ke semasa melalui pemberitahuan dalam Warta bagi maksud-maksud perenggan ini (yang berhubungan dengan pekerjaan di Malaysia dalam sesuatu jawatan sivil, di bawah kontrak perkhidmatan atau di bawah apa-apa perkiraan yang dibuat di Malaysia atau di Republik Singapura, yang bukannya pekerjaan dalam mana-mana jawatan tetap yang memberikan faedah-faedah di bawah mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan persaraan atau pencen).

JADUAL KETIGA

Kadar caruman bagi pekerja dan majikan boleh dirujuk di Jadual Ketiga, Akta KWSP 1991. Majikan dikehendaki membayar caruman bahagian syer pekerja berdasarkan jadual ini.

Nota: Perisian Adobe Acrobat Reader versi terkini (sekurang-kurangnya versi 8.0) diperlukan untuk memastikan fail Jadual Ketiga boleh dipaparkan, dicetak atau dimuat turun.
.

Pertanyaan
Untuk pertanyaan lanjut, sila hubungi:

  • Mana-mana pejabat KWSP yang berhampiran;
  • Pusat Pengurusan Panggilan KWSP di 03-89226000;
  • enquiry

JADUAL KEEMPAT

[Dimansuhkan oleh Akta A914]

JADUAL KELIMA

(Seksyen 58(1))

 

AMAUN TAMBAHAN YANG KENA DIBAYAR JIKA PENGELUARAN DIBUAT 
DI BAWAH SEKSYEN 54(1)(a)

Jumlah amaun tambahan yang kena dibayar ialah dua ribu lima ratus ringgit.

[Gan. Akta A1080; Pin. P.U. (A) 227/2003.] 

JADUAL KEENAM

(Seksyen 58(2))

 

AMAUN TAMBAHAN YANG KENA DIBAYAR JIKA PENGELUARAN DIBUAT 
DI BAWAH SEKSYEN 54(1)(c)

Jumlah amaun tambahan yang kena dibayar ialah lima ribu ringgit.

[Gan. Akta A1080; Pin P.U. (A) 227/2003

JADUAL KETUJUH

(Seksyen 26C)

PERUNTUKAN YANG TERPAKAI BAGI PERBADANAN YANG DITUBUHKAN OLEH LEMBAGA

1.  Tugas Lembaga untuk membuat peraturan-peraturan berkenaan dengan perbadanan. 

Lembaga hendaklah, pada atau sebelum tarikh yang baginya sesuatu perbadanan ditubuhkan, membuat peraturan-peraturan berkenaan dengan perbadanan yang menentukan

(a) maksud dan matlamat yang baginya perbadanan itu ditubuhkan; 

(b) hak, kuasa, tugas dan fungsi perbadanan itu; 

(c) sistem pengurusan perbadanan itu; dan 

(d) hubungan di antara perbadanan dan Lembaga dan hak kawalan ke atas perbadanan itu.

2. Skop perbadanan

Tiada apa-apa jua dalam Akta ini bolehlah ditafsirkan sebagai membenarkan Lembaga untuk menubuhkan sesuatu perbadanan bagi apa-apa maksud atau matlamat yang skopnya adalah lebih ekstensif daripada maksud atau matlamat yang baginya Lembaga telah ditubuhkan atau sebagai memberi kepada sesuatu perbadanan apaapa hak, tugas, kuasa, atau fungsi yang bukannya hak, tugas, kuasa, atau fungsi Lembaga di bawah Akta ini.

3. Kesan mengikat kepada peraturan-peraturan

Tertakluk kepada peruntukan Akta ini, dan apa-apa peraturan-peraturan yang dibuat di bawah seksyen 71, peraturan-peraturan yang dibuat di bawah perenggan 1 hendaklah mengikat ke atas perbadanan itu yang baginya peraturanperaturan itu dibuat dan hendaklah mempunyai kesan bagi semua maksud di bawah Akta ini.

4. Daftar perbadanan. 

Lembaga hendaklah menyimpan suatu daftar dalam borang yang ditetapkan bagi semua perbadanan dan daftar itu bersama-sama dengan salinan semua peraturanperaturan yang dibuat di bawah perenggan 1 hendaklah terbuka kepada pemeriksaan awam di mana-mana tempat dan pada bila-bila masa sebagaimana yang ditentukan oleh Lembaga.

5. Penggulungan.

(1) Lembaga boleh melalui perintah yang disiarkan dalam Warta mengarahkan bahawa sesuatu perbadanan digulungkan dan dibubarkan. 

(2) Setelah pembubaran sesuatu perbadanan di bawah perenggan ini, aset perbadanan, selepas pembayaran semua liabiliti hendaklah dipindahkan kepada dan diletakhakkan pada Lembaga.

6. Sifat di sisi undang-undang sesuatu perbadanan

Setiap perbadanan hendaklah menjadi sebuah pertubuhan perbadanan dengan apa-apa nama sebagaimana yang Lembaga akan berikan kepada perbadanan itu dan hendaklah kekal turun temurun dan mempunyai meterai biasa dan boleh mendakwa dan didakwa atas nama itu, dan bagi maksud untuk memberikan kesan kepada maksud dan matlamat yang baginya ia ditubuhkan, boleh membuat kontrak dan memegang dan berurusan dalam atau dengan apa-apa harta alih atau tak alih dan melakukan semua perkara lain dan hal bersampingan atau bersangkutan dengan sesuatu pertubuhan perbadanan yang tidak bertentangan dengan peruntukan Akta ini dan tertakluk kepada apa-apa sekatan atau had sebagaimana yang ditetapkan oleh Lembaga.

7. Meterai biasa perbadanan.

(1) Setiap perbadanan hendaklah mempunyai suatu meterai biasa, yang hendaklah mempunyai reka bentuk sebagaimana perbadanan boleh, dengan kelulusan Lembaga, meluluskan, dan meterai itu boleh dari semasa ke semasa dipecahkan, ditukarkan, diubah dan dibuat baru oleh perbadanan itu, dengan kelulusan Lembaga. 

(2) Sehingga suatu meterai disediakan oleh perbadanan itu di bawah perenggan ini, meterai biasa Lembaga Kumpulan Wang Simpanan Pekerja boleh digunakan sebagai meterai biasa perbadanan itu.

(3) Meterai biasa hendaklah disimpan dalam jagaan, dan hendaklah disahkan oleh, mana-mana orang sebagaimana yang diarahkan oleh perbadanan itu. 

(4) Semua suratikatan, dokumen dan lain-lain suratcara bagi maksud untuk dimeteraikan dengan meterai biasa perbadanan itu dan disahkan oleh orang yang dalam jagaannya meterai biasa itu disimpan hendaklah, sehingga yang berlawanan dapat dibuktikan, disifatkan sebagai disempurnakan dengan sah.

[Mas. Akta A958.]

Senarai Pindaan

Akta 452

AKTA KUMPULAN WANG SIMPANAN PEKERJA 1991

SENARAI PINDAAN

Undang-undang
yang meminda
  Tajuk ringkas   Berkuat kuasa dari
         
P.U. (A) 551/92 - Perintah Kumpulan Wang
Simpanan Pekerja (Pindaan Jadual Ketiga) 1992
  1-1-1993
 
Akta A914 - Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (Pindaan) 1995   ss. 26(a)(1)(a)-(c), (2), (3) & (4), 26(b) & 27-
1-11-1994
P.U. (B) 478/95
seksyen lain
kecuali s. 24-
1-8-1995, P.U. (B) 356/95
 
 
 
 
 
 
 
P.U. (A) 30/96 - Perintah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (Pindaan Jadual Ketiga) 1996   1-1-1996
 
Akta A958 - Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (Pindaan) 1996   31-10-1996
P.U. (B) 447/96
 
P.U. (A) 290/98 - Perintah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (Pindaan Jadual Pertama dan Ketiga) 1998   1-8-1998
 
 
P.U. (A) 414/98 - Perintah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (Pindaan Jadual Pertama dan Ketiga) (No. 2) 1998   1-8-1998
 
 
Akta A1080 - Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (Pindaan) 2000   1-7-2000;
kecuali Per 54(6)(g):
1-4-2000
 
 
P.U. (A) 135/2001 - Perintah Kumpulan Wang Simpanan 1-4-2001 hingga Pekerja (Pindaan Jadual Ketiga) 2001   31-3-2002
Akta A1123 - Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (Pindaan) 2001   Per 5(b) & ss. 8 dan 9-1-7-2000; Per 5(a) dan (e) & ss. 6 dan 7-1-1-2001
Akta 1190 - Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (Pindaan) 2003   1-8-2001 kecuali s. 2- 19-8-2002
P.U. (A) 171/2003 - Perintah Kumpulan Wang Simpanan hingga Pekerja (Pindaan Jadual Ketiga) 2003   1-6-2003 hingga 31-5-2004
P.U. (A) 227/2003 - Perintah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (Pindaan Jadual Kelima dan Keenam) 2003   26-11-2002