Jumlah pelawat :  

Lebih Ramai Ahli Keluar Simpanan KWSP Untuk Pendidikan

Lebih ramai ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengeluarkan sebahagian simpanan untuk membiayai kursus-kursus pendidikan tinggi yang diikuti oleh ahli atau anak mereka pada suku ketiga tahun ini.

Kira-kira 7,800 ahli mengeluarkan sejumlah RM23.9 juta di bawah Pengeluaran Pendidikan berbanding 5,200 pengeluaran pada suku kedua tahun ini berjumlah RM27.8 juta. Peningkatan ini berikutan pengambilan pelajar baru di institusi pendidikan tinggi awam dan swasta pada bulan Julai.

"Walaupun KWSP menggalakkan ahli merancang persaraan yang selesa dengan melabur dalam pendidikan tinggi sama ada untuk diri sendiri atau anak mereka, KWSP juga perlu berhati-hati dengan cubaan menipu untuk mengeluarkan simpanan," kata Datuk Azlan Zainol, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP.

"KWSP telah membuat laporan polis terhadap penglibatan ahli dalam beberapa kes penipuan pengeluaran. KWSP akan menyemak setiap permohonan dengan teliti untuk memastikan dokumen adalah tulen, dan semakan rapi telah dilaksanakan untuk menghalang cubaan menipu," tambah beliau.

Prestasi suku tahun ketiga yang belum diaudit menunjukkan pengeluaran-pengeluaran lain menurun dari segi bilangan dan amaun yang dikeluarkan. Untuk Pengeluaran Umur 50 sebanyak 22,300 pengeluaran (RM381.7 juta), 26,400 Pengeluaran Umur 55 (RM1.2 bilion), 59,400 pengeluaran di bawah Pelaburan Ahli (RM602 juta). Hanya Pengeluaran Perumahan meningkat sedikit dengan 59,800 pengeluaran berbanding 59,700 pada suku tahun kedua. Bagaimanapun, amaun yang dikeluarkan juga menurun kepada RM515 juta daripada RM735 juta.

Jumlah keseluruhan pengeluaran simpanan pada suku tahun yang dikaji ialah RM3.2 bilion dengan 217,000 permohonan berbanding RM3.8 bilion dan 225,000 permohonan pada suku tahun lepas. Manakala, caruman daripada majikan dan pekerja menurun 0.66 peratus kepada RM6.05 bilion.

Ahli KWSP pula meningkat kepada kira-kira 11 juta daripada 10.9 juta pada suku tahun kedua dengan hampir separuh adalah ahli aktif.

Bilangan majikan berdaftar juga meningkat dan mencapai rekod tertinggi 389,000 pada suku tahun ketiga. Kadar majikan tidak mencarum kekal rendah pada 2.43 peratus.

"Kadar majikan tidak mencarum 2.43 peratus pada suku ketiga tahun ini adalah antara yang terendah dan ini adalah hasil daripada tindakan pemantauan dan penguatkuasaan yang berkesan. KWSP akan terus berusaha untuk mengurangkan lagi kadar ini," kata Datuk Azlan.

Pada suku tahun yang dikaji ini, bilangan majikan yang didakwa di mahkamah kerana tidak membayar caruman ialah 15,900 berbanding 15,000 pada suku tahun sebelumnya.

Sementara itu, KWSP telah melabur sebanyak RM253 bilion dalam Sekuriti Kerajaan Malaysia (SKM) (38.7 peratus), Pinjaman dan Bon (33.8 peratus), Ekuiti (18.9 peratus), Instrumen Pasaran Wang (7.9 peratus) dan Hartanah (0.7 peratus) pada suku tahun ketiga ini berbanding RM248 bilion pada suku tahun kedua.

Pendapatan pelaburan daripada SKM, Pinjaman dan Bon, Instrumen Pasaran Wang dan Hartanah mencatatkan peningkatan yang lebih tinggi manakala pulangan ekuiti menurun berbanding suku tahun sebelumnya.

Pendapatan pelaburan pada suku ketiga tahun ini ialah RM3 bilion, menurun sebanyak 4.2 peratus dari RM3.2 bilion pada suku tahun kedua. Bagaimanapun, pendapatan pelaburan terkumpul untuk sembilan bulan pertama sehingga September 2005 meningkat sebanyak 17 peratus kepada RM9.1 bilion daripada RM7.8 bilion pada tempoh yang sama tahun lepas.

Di sebalik peningkatan pendapatan ini, ahli diingatkan agar tidak mengharapkan perubahan besar kepada kadar dividen 2005 kerana keputusan suku tahun keempat masih belum diperoleh. Jumlah pendapatan untuk membayar satu peratus dividen akan meningkat berbanding tahun lepas berikutan peningkatan bilangan ahli.

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah skim simpanan nasional yang menyediakan jaminan asas kewangan bagi persaraan. KWSP sentiasa komited dalam menjamin dan meningkatkan simpanan ahlinya melalui amalan terbaik pelaburan dan tadbir urus korporat. Langkah berhemah sentiasa menjadi panduan dalam setiap keputusan pelaburannya.

Sebagai sebuah organisasi yang berfokuskan pelanggan, KWSP memberikan perkhidmatan yang cekap dan berkesan untuk keselesaan ahli dan majikan berdaftar.

KWSP akan terus memainkan peranannya sebagai pemangkin kepada pembangunan sosio-ekonomi negara, selaras dengan kedudukannya sebagai institusi simpanan terkemuka di Malaysia.



Tarikh: 28 Oktober 2005

<<Kembali