Jumlah pelawat :  

Majikan Majikan

Penjelasan Ke Atas Bayaran Yang Dikecualikan Daripada Caruman KWSP

  • Caj Perkhidmatan

    Caj perkhidmatan ialah apa-apa wang atau bayaran sama ada dalam bentuk caj perkhidmatan, yuran perkhidmatan, tip atau bayaran-bayaran lain yang dibayar oleh, dicajkan kepada, dikutip daripada atau diberi secara sukarela oleh pelanggan atau orang-orang lain (yang bukannya majikan) berhubung dengan perniagaan majikan itu. Bayaran itu dibayar kepada seseorang pekerja sama ada pada keseluruhan atau sebahagian secara langsung atau tidak langsung, dan sama ada di bawah kontrak perkhidmatan di antara majikan dan pekerja atau selainnya.
  • Bayaran Lebih Masa

    Merupakan apa-apa bayaran yang kena dibayar oleh majikan kepada pekerja bagi kerja yang dijalankan melebihi masa bekerja biasa pekerja itu dan termasuk apa-apa bayaran yang dibayar kepada pekerja bagi kerja dijalankan pada hari kelepasan dan hari rehat.
  • Ganjaran

    Apa-apa bayaran yang dibayar oleh majikan kepada pekerja atas sebab tamat tempoh perkhidmatan atau pemberhentian secara sukarela sebagai mengiktiraf perkhidmatan pekerja itu.
  • Faedah Persaraan

    Apa-apa bayaran yang dibayar kepada pekerja kerana bersara sama ada secara wajib atau pilihan atau atas sebab-sebab kesihatan seperti yang dinyatakan di bawah kontrak perkhidmatan pekerja itu.
  • Faedah pengurangan pekerja, pemberhentian sementara atau penamatan

    Apa-apa bayaran yang dibayar oleh majikan kepada pekerja lanjutan dari pelaksanaan pengurangan, pemberhentian atau penamatan pekerja.
  • Mana-mana elaun perjalanan atau nilai mana-mana konsesi perjalanan

    Apa-apa bayaran yang dibayar oleh majikan kepada pekerja untuk tujuan menampung perbelanjaan perjalanan dan pengangkutan.
  • Bayaran sebagai ganti notis penamatan perkhidmatan

    Sejumlah bayaran yang dibayar oleh majikan atau pekerja sebagai menggantikan notis penamatan perkhidmatan yang sewajarnya diberikan oleh:
    • majikan kepada pekerja bagi tujuan untuk menamatkan perkhidmatan pekerja; atau
    • pekerja kepada majikan bagi tujuan untuk berhenti kerja.
  • Yuran pengarah

    Merupakan yuran atau fi yang dibayar kepada Pengarah.