Jumlah pelawat :  

Majikan Majikan

i-Akaun

Soalan Lazim

» Apakah kemudahan yang disediakan dalam i-Akaun?

Ahli boleh:

  • Memohon e-Pengeluaran
  • Menyemak Penyata KWSP tahun terkini dan tahun sebelumnya
  • Menyemak status permohonan pengeluaran dan sejarah pengeluaran
  • Menyemak maklumat penamaan
  • Mengira anggaran jumlah layak untuk pengeluaran, simpanan dan pelaburan
  • Mengemaskini profil termasuk alamat surat-menyurat
  • Menyemak transaksi caruman KWSP terkini
  • Menyemak log aktiviti i-Akaun

Majikan boleh:

  • Menggunakan e-Caruman untuk:
    - Penghantaran data Borang A dan bayaran
    - Penghantaran data Borang A sahaja
    - Penghantaran bayaran sahaja
    - Penyelesaian penghantaran CTML (e-CTML)
    - Permohonan license key Sistem Data Berkunci (e-DES)
  • Menyemak nombor KWSP pekerja
  • Mendaftar ahli baru KWSP
  • Mengakses kalkulator syer dividen bagi majikan Kerajaan
  • Menyemak transaksi caruman KWSP terkini
  • Menyemak log aktiviti i-Akaun

» Bagaimanakah caranya untuk menyemak baki akaun?

Anda perlu mempunyai ID Pengguna dan kata laluan i-Akaun. Jika tiada, anda perlu mendaftar dahulu.

Jika anda sudah mempunyai i-Akaun, login ke i-Akaun dan klik pada pautan 'Penyata Tahun Semasa / Tahun Sebelumnya.

» Bagaimana untuk saya mendaftar i-Akaun?

Untuk Ahli, anda boleh ke mana-mana Kios atau Kaunter KWSP atau hubungi Pusat Panggilan KWSP di talian 03-89226000 untuk mendapatkan Kod Pengaktifan dengan menggunakan myKad.  Setelah itu, layari laman web KWSP dan klik pada ‘Login Ke i-Akaun (Ahli) >> Pengaktifan i-Akaun' untuk mengaktifkan i-Akaun anda menggunakan Kod Pengaktifan tersebut dalam tempoh 30 hari.

Untuk Majikan, wakil syarikat yang dilantik untuk menguruskan i-Akaun bagi pihak syarikat boleh mengunjungi mana-mana Kaunter KWSP untuk mendapatkan Kod Pengaktifan i-Akaun menggunakan Borang KWSP 1 atau KWSP 1(i). 

Setelah mendapat Kod Pengaktifan, layari laman web KWSP dan klik pada Login ke i-Akaun (Majikan) >> Pengaktifan i-Akaun untuk mengaktifkan i-Akaun anda menggunakan Kod Pengaktifan tersebut dalam tempoh 30 hari.

» Apakah kelayakan untuk mendaftar i-Akaun?

Untuk ahli, mestilah mempunyai MyKad dan mempunyai nombor KWSP yang sah.

Untuk majikan, anda perlu mempunyai nombor KWSP yang sah.

» Mengapakah saya perlu mencipta ID Pengguna dan kata laluan?

ID Pengguna dan kata laluan yang anda cipta akan digunakan untuk login ke i-Akaun pada masa akan datang. Pastikan anda tidak lupa ID Pengguna dan kata laluan anda.

» Bolehkah saya menukar ID Pengguna?

Tidak, anda tidak boleh menukar ID Pengguna. ID Pengguna adalah unik dan digunakan untuk mengenal pasti anda sebagai ahli i-Akaun.

» Bolehkah saya menukar kata laluan?

Ya, boleh. Malah, anda dinasihatkan untuk menukar kata laluan secara berkala. Untuk menukar kata laluan, login ke i-Akaun dan pilih ‘Tukar Kata Laluan'. Anda perlu masukkan kata laluan sedia ada, cipta kata laluan baru dan sahkan kata laluan baru. Gunakan kata laluan baru apabila login di masa depan.

» Apakah langkah-langkah keselamatan yang diambil bagi laman web KWSP?

KWSP sudah melaksanakan pelbagai langkah keselamatan untuk memastikan sistem i-Akaun dan maklumat ahli dikawal sulit, tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan. Antara langkah keselamatan yang dilaksanakan ialah piawaian penyulitan data 128-bit, penegasan bagi kombinasi huruf besar, huruf kecil, nombor atau simbol dalam penggunaan kata laluan serta pengambilan/penjanaan Kod Pengaktifan secara terus oleh pemohon di Kios KWSP/Kaunter.

» Bagaimanakah caranya melindungi ID Pengguna dan kata laluan?

ID Pengguna dan kata laluan adalah kunci bagi maklumat akaun anda. ID Pengguna dan kata laluan diperlukan untuk login ke i-Akaun.

Antara langkah-langkah yang dapat membantu anda melindungi ID Pengguna dan kata laluan adalah seperti berikut:

  • Jangan dedahkan ID Pengguna dan kata laluan kepada sesiapa
  • Jangan berikan ID Pengguna dan kata laluan anda melalui emel atau telefon
  • Tukar kata laluan secara berkala
  • Jangan gunakan fungsi "Remember Password", kerana maklumat anda akan mudah diakses oleh penggodam komputer
  • Keluar atau 'Log Out' dari https://secure.kwsp.gov.my sebaik sahaja anda menyelesaikan aktiviti di i-Akaun