Jumlah pelawat :  

Ahli

Soalan Lazim

» Apakah yang dimaksudkan dengan penamaan?

Penamaan adalah satu pengisytiharan secara bertulis yang dibuat oleh ahli dalam Borang KWSP 4 bagi melantik atau menamakan seseorang atau mana-mana orang sebagai "benefisiari" atau bertindak sebagai wasi/pentadbir (bagi orang yang beragama Islam) ke atas simpanan KWSP ahli apabila ahli meninggal dunia.

» Apakah tujuan penamaan?

Tujuan penamaan dibuat ialah untuk membolehkan KWSP melepaskan simpanan ahli yang meninggal dunia kepada orang yang dinamakan untuk menerima atau mentadbir (bagi orang yang beragama Islam) simpanan itu dengan segera, tanpa perlu mendapatkan Surat Kuasa Mentadbir.

» Bagaimanakah membuat penamaan?

Penamaan mestilah dibuat menggunakan Borang KWSP 4 dengan mengemukakan salinan Kad Pengenalan/pasport ahli dan salinan dokumen pengenalan diri semua penama. Borang penamaan hendaklah dihantar oleh ahli dan diterima oleh mana-mana Pejabat KWSP berhampiran semasa hayat ahli.

» Bilakah penamaan saya itu berkuat kuasa?

Tarikh kuat kuasa penamaan adalah pada tarikh borang penamaan diterima di mana-mana Pejabat KWSP.

» Bolehkah waris ahli menuntut simpanan sedangkan ahli telah menamakan pihak lain sebagai penama?

Tidak boleh. Mengikut Akta KWSP, bayaran hanya akan dibuat kepada penama yang dinamakan oleh ahli sahaja.

» Siapa yang boleh dinamakan?

Anda boleh menamakan mana – mana ‘orang sebenar' sebagai penama/pentadbir. ‘Orang sebenar' adalah merujuk kepada individu dan bukannya organisasi, pertubuhan, persatuan, badan kebajikan dan sebagainya.

» Apakah Polisi Penamaan Baru yang berkuat kuasa mulai 1 Januari 2017?

Polisi Penamaan Baru yang berkuat kuasa mulai 1 Januari 2017 adalah;
 
1. Memperkenalkan Penggunaan Borang Penamaan Baru (Borang KWSP 4) dengan menekankan peranan dan tanggungjawab penama dan mengeluarkan keperluan maklumat saksi bagi memudahkan ahli membuat penamaan.
 
2. Penggunaan "Perakuan Penama/Penerima Simpanan Ahli Beragama Islam" semasa penama/waris ahli Islam mengemukakan permohonan Pengeluaran Kematian. Ini bertujuan untuk mengingatkan wasi/pentadbir tentang peranan dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan oleh mereka iaitu untuk mengagihkan simpanan si mati kepada waris yang berhak mengikut Undang-Undang Islam.
 
3. Pembatalan kuat kuasa penamaan bagi ahli beragama Islam diperluaskan kepada: 
  • Penama belum mencapai umur 18 tahun ketika permohonan Pengeluaran Kematian dibuat oleh penama/waris
  • Jika Penama tidak membuat permohonan Pengeluaran Kematian dalam tempoh satu (1) tahun dari tarikh kematian ahli, Penamaan akan terbatal dan permohonan akan diproses di bawah Pengeluaran Kematian Tanpa Penama.
» Dalam keadaan manakah penamaan yang dibuat boleh terbatal?
Pembatalan penamaan boleh berlaku dalam keadaan berikut:
 
1. Semua orang yang dinamakan meninggal dunia semasa ahli masih hidup
 
2. Ahli mengemukakan Borang Pembatalan Penamaan (KWSP 4A)
 
3. Ahli membuat penamaan baru dengan mengemukakan Borang KWSP 4
 
4. Bagi ahli beragama islam: 
  • Penama belum mencapai umur 18 tahun ketika permohonan Pengeluaran Kematian dibuat oleh penama/waris
  • Penama tidak membuat permohonan Pengeluaran Kematian dalam tempoh satu (1) tahun dari tarikh kematian ahli.
 

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP di talian 03-89226000 atau akses enquiry KWSP

 

Tarikh Kemaskini: 3 Januari 2017

Tarikh Semakan: 19 Oktober 2017