Mendaftar Ahli KWSP

Anda boleh menjadi ahli melalui kaedah-kaedah berikut:

Mendaftar Secara Automatik

Anda akan didaftarkan sebagai ahli KWSP secara automatik apabila KWSP menerima caruman pertama daripada majikan anda.  Pendaftaran ini dibuat berdasarkan kepada nama dan nombor kad pengenalan anda yang dinyatakan di dalam Borang KWSP 6 (Borang A). Akaun anda hanya akan diaktifkan setelah KWSP mendapat pengesahan maklumat daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
 
Pendaftaran Melalui Kaunter
 
Anda perlu hadir di mana-mana Cawangan KWSP dan pendaftaran dilaksanakan dengan menggunakan kaedah pengesahan MyKad. Walaubagaimanapun, jika pengesahan melalui MyKad gagal atau anda bukan warganegara Malaysia, anda perlu melengkapkan borang KWSP 3(Daftar). Anda akan menerima notis beserta nombor ahli KWSP sekiranya pendaftaran berjaya.
 
Pendaftaran Melalui Mel
 
Anda boleh mengemukakan borang KWSP 3 (Daftar) secara mel jika tidak dapat hadir di mana-mana Cawangan KWSP. Pendaftaran dibuat menggunakan maklumat anda yang telah dilengkapkan dalam borang pendaftaran. Anda akan menerima notis beserta nombor ahli KWSP sekiranya pendaftaran berjaya.
 
Pendaftaran Melalui i-Akaun Majikan
 
Majikan boleh mendaftarkan anda sebagai ahli KWSP melalui i-Akaun majikan. Majikan perlu memasukkan maklumat demografik anda seperti Nama Penuh, Nombor Kad Pengenalan, jantina dan lain-lain maklumat anda dengan tepat ke dalam sistem dan menghantar maklumat anda ke KWSP. Anda akan menerima notis beserta nombor ahli KWSP sekiranya pendaftaran berjaya.
 
Pendaftaran Melalui Kios
 
Anda hanya perlu membawa MyKad dan hadir di mana-mana Cawangan KWSP atau di mana-mana lokasi yang mempunyai Kios KWSP untuk melaksanakan pendaftaran. Pendaftaran dilaksanakan dengan menggunakana kaedah pengesahan MyKad. Anda akan menerima notis beserta nombor ahli KWSP sekiranya pendaftaran berjaya.