Jumlah pelawat :  

Pengenalan

Penamaan merupakan proses menamakan individu sebagai penama/pentadbir (Wasi) untuk menerima/ mentadbir simpanan KWSP ahli apabila ahli meninggal dunia.

Kenapa Perlu Membuat Penamaan?

Anda digalakkan membuat penamaan bagi memudahkan dan mempercepatkan urusan pengeluaran simpanan KWSP anda kepada orang yang dinamakan itu apabila berlakunya kematian. Rasional, sekiranya anda tidak membuat penamaan untuk simpanan KWSP anda, waris anda akan menghadapi kesukaran untuk menuntut simpanan anda daripada KWSP.

Adakah Anda Layak Membuat Penamaan?

Anda layak menamakan sesiapa sahaja sebagai penama sekiranya:

  • Anda berumur 18 tahun atau lebih.
  • Anda seorang warganegara Malaysia.
    ATAU
    Warganegara Malaysia yang telah membuat pengeluaran di bawah Pengeluaran Meninggalkan Negara sebelum 1 Ogos 1995 dan kemudiannya memilih untuk  mencarum semula dengan KWSP;
    ATAU
    Bukan Warganegara Malaysia yang
    • Menjadi ahli sebelum 1 Ogos 1998;
    ATAU
    • Mendapat taraf Penduduk Tetap (PR)

Siapa Yang Boleh Dinamakan? 

  • Anda boleh menamakan mana-mana ‘orang sebenar' sebagai penama/pentadbir. Mana-mana ‘orang sebenar' adalah merujuk kepada individu dan bukannya organsasi, pertubuhan, persatuan, badan kebajikan dan sebagainya.
  • Anda dinasihatkan menamakan waris terdekat seperti suami, isteri, anak-anak dan ibu/bapa untuk menerima/mentadbir simpanan anda. Bagaimanapun, sekiranya anda menamakan bukan waris, penamaan tersebut masih diterima. Risiko, kemungkinan akan berlaku kesulitan pada kemudian hari seperti tuntutan daripada waris.

Penamaan Bagi Ahli Yang Beragama Islam

  • Bagi ahli yang beragama Islam, orang yang dinamakan hanya bertindak sebagai wasi/pentadbir (administrator) yang bertanggungjawab untuk mengagihkan simpanan mengikut Hukum Faraid kepada waris-waris ahli yang berhak.

Penamaan Bagi Ahli Bukan Islam

  • Penama adalah merupakan penerima mutlak (benefisiari) kepada simpanan ahli yang meninggal dunia.
  • Bagi ahli bukan beragama Islam, jika penama meninggal dunia
    • Sebelum kematian ahli, pemohon yang layak adalah waris terdekat ahli yang meninggal dunia.
    • Selepas kematian ahli, pemohon yang layak adalah waris terdekat penama. Ini kerana penama adalah pemilik mutlak simpanan ahli yang meninggal dunia.

Bagaimana Membuat Penamaan?

Anda dikehendaki mengemukakan dokumen-dokumen berikut  dengan lengkap dan teratur:-

  • Borang Penamaan (KWSP 4)
  • Salinan Kad Pengenalan Diri sama ada;
    Salinan Kad Pengenalan (MyKad)/Kad Pengenalan Polis/Kad Pengenalan Tentera/Kad Pengenalan Pemastautin Tetap (MyPR)
    ATAU
    Salinan Pasport (sekiranya anda bukan warganegara Malaysia yang menjadi ahli KWSP sebelum 1 Ogos 1998)

Borang permohonan penamaan yang telah diisi dengan lengkap dan teratur hendaklah dikemukakan sendiri oleh ahli di mana-mana Pejabat KWSP.

CATATAN:
Borang Penamaan (KWSP 4) mestilah diterima oleh KWSP semasa ahli masih hidup.

Saksi-Saksi Yang Dibenarkan

Anda boleh memilih sesiapa sahaja yang berumur 18 tahun dan ke atas untuk menjadi saksi kepada penamaan anda KECUALI orang yang dinamakan dalam borang penamaan itu, petugas kaunter KWSP dan anggota KWSP.

Bagaimana Penamaan Anda Boleh Terbatal?

Penamaan yang dibuat boleh terbatal sekiranya:-

  • Semua orang yang dinamakan meninggal dunia semasa ahli masih  hidup.
  • Ahli mengemukakan Notis Pembatalan Penamaan (KWSP 4A)
  • Ahli membuat penamaan baru dengan mengemukakan Borang Penamaan (KWSP 4)

CATATAN:
Penamaan turut terbatal sekiranya ahli membuat pengeluaran penuh di bawah Pengeluaran Meninggalkan Negara, Pengeluaran Hilang Upaya dan Pengeluaran Pekerja Berpencen.

Wasiat tidak membatalkan penamaan.

Bagaimana Mengemaskini Penamaan?

Penamaan boleh dikemaskini dari semasa ke semasa sebelum anda mencapai umur 75 tahun. Pengemaskinian penamaan boleh dibuat dengan mengemukakan Borang Penamaan (KWSP 4) yang baru. Borang KWSP 4 yang baru akan membatalkan penamaan anda yang terdahulu.

Bagaimana Penamaan Boleh Disemak?

Jika anda ingin membuat semakan ke atas penamaan yang telah dibuat, anda boleh menyemak penamaan tersebut melalui cara berikut:-

  • Menyemak status penamaan melalui kemudahan i-Akaun (Ahli);
  • Hadir di mana-mana Pejabat KWSP;
  • Melengkapkan Borang Semakan Penamaan (KWSP 4B) dan menyertakan salinan kad pengenalan/bukti pertalian ke alamat seperti berikut:-

    Jabatan Pendaftaran dan Operasi Sokongan
    Bangunan KWSP Jalan Gasing,
    46598 Petaling Jaya,
    Selangor.
    (U/P: Unit Penyimpanan dan Penyelenggaraan Dokumen)
STATUS PENAMAAN KE ATAS AHLI YANG MEMBUAT PENGELUARAN 55 TAHUN BAGI TEMPOH-TEMPOH BERIKUT;
 
 
SEBELUM
1 NOVEMBER 2007
 
TEMPOH PERALIHAN
1 NOVEMBER 2007 –
31 JANUARI 2008
 
MULAI 1 FEBRUARI 2008
  • Sekiranya ahli telah membuat pengeluaran keseluruhan kredit di bawah pengeluaran 55 tahun. Penamaan yang dibuat oleh ahli sebelum pengeluaran 55 tahun dianggap tidak terpakai bagi caruman baru yang dibuat.
  • Dalam ertikata lain jika ahli mencarum semula dan kemudiannya meninggal dunia -
    • Penamaan terdahulu tidak terpakai;
    • Pembayaran dibuat kepada waris menurut Peraturan 8 "Pembayaran atas kematian ahli jika tiada penamaan."
  • Sekiranya ahli membuat pengeluaran umur 55 tahun sekali gus iaitu mengeluarkan kesemua simpanan, maka penamaan yang dibuat sebelum ini tidak lagi terpakai.
  • Sekiranya ahli masih bekerja dan memilih untuk mencarum semula, ahli hendaklah membuat penamaan baru bagi caruman baru tersebut.
  • Sekiranya ahli membuat pengeluaran umur 55 tahun selain daripada sekali gus (sama ada pengeluaran bila-bila masa atau bayaran bulanan), maka penamaan ahli yang telah dibuat sebelum ini adalah terpakai selagi ahli masih mempunyai baki simpanan di KWSP (termasuk simpanan di mana-mana sub akaun).
  • Pengeluaran 55 tahun sama ada penuh, sebahagian, bulanan atau secara kombinasi tidak membatalkan penamaan. Pembatalan penamaan hanya merujuk kepada keadaan-keadaan yang diperuntukkan di bawah Peraturan 7, Peraturan-Peraturan KWSP 2001.
 

Pertanyaan

Jika anda mempunyai kemusykilan atau memerlukan maklumat lanjut mengenai penamaan, sila hubungi:-

Sila nyatakan nombor KWSP atau nombor Kad Pengenalan ahli apabila berurusan dengan KWSP.

NAMAKAN PENERIMA SIMPANAN KWSP ANDA HARI INI JUGA!

Anda Keutamaan Kami


Tarikh kemaskini: 31 Julai 2012