Definisi

Ahli

Ahli KWSP mengikut peruntukan Akta KWSP ialah seseorang yang mempunyai akaun dan simpanan dengan Kumpulan Wang. Ahli KWSP ialah pekerja di sektor swasta, pekerja tidak berpencen di sektor awam dan mereka yang telah memilih untuk mencarum.  

Pekerja

Anda adalah seorang pekerja jika anda telah diambil bekerja oleh majikan di bawah satu kontrak perkhidmatan atau perantisan. 

Kontrak Perkhidmatan

Kontrak perkhidmatan ialah syarat-syarat perkhidmatan yang menerangkan perhubungan di antara majikan dan pekerja.  Di antara faktor-faktor utama yang menentukan kontrak ini ialah wujudnya tawaran dan penerimaan kontrak, penyeliaan dan kawalan kerja oleh pihak yang menawarkan pekerjaan, balasan dalam bentuk wang dan janji untuk memberi perkhidmatan yang tidak boleh diganti oleh orang lain. Kontrak perkhidmatan ini merangkumi kontrak secara bertulis, lisan dan yang dinyatakan secara jelas atau tersirat. 

Majikan

Majikan anda ialah pihak yang mengambil anda sebagai pekerja untuk bekerja  di bawah satu kontrak perkhidmatan atau perantisan. Ini termasuklah:

  • Pengurus, agen atau orang yang bertanggungjawab membayar gaji atau upah seseorang pekerja;
  • Mana-mana kumpulan orang, sama ada berkanun atau tidak berkanun atau diperbadankan;
  • Mana-mana kerajaan, jabatan kerajaan, badan-badan berkanun, pihak-pihak berkuasa tempatan atau badan-badan lain yang dinyatakan di dalam Jadual Kedua Akta KWSP 1991.