Members Login
e-Pengeluaran


Business Partners Login
Print

Pendapatan Pelaburan KWSP S1 2015 Meningkat RM10.63 Bilion

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini mengumumkan pendapatan pelaburan sebanyak RM10.63 bilion untuk suku pertama berakhir 31 Mac 2015 (S1 2015), naik 20.33 peratus berbanding RM8.83 bilion yang dicatatkan pada S1 2014. 
 
Setakat S1 2015, jumlah aset pelaburan KWSP telah meningkat kepada RM663.75 bilion susulan penerimaan caruman bersih sebanyak RM5.90 bilion dan pelaburan semula ke atas pendapatan pelaburan yang dijana sepanjang suku tahun pertama.
 
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, “Prestasi positif ini disumbangkan terutamanya oleh prestasi ekuiti KWSP yang lebih baik. Ini turut disokong oleh pertumbuhan ekonomi dunia termasuk harga minyak yang kian stabil dan pertumbuhan kewangan yang positif di zon Euro, yang turut mendorong sebilangan pasaran luar negara untuk mencatatkan pertumbuhan yang lebih menggalakkan.
 
“Pelaburan luar negara KWSP pada suku tahun ini telah menyumbang 44 peratus kepada keseluruhan pendapatan KWSP. Pengukuhan Dolar Amerika Syarikat berbanding mata wang utama lain telah meningkatkan pulangan pelaburan luar negara KWSP dan seterusnya menunjukkan keberkesanan strategi diversifikasi KWSP terutamanya dalam persekitaran pasaran ekuiti tempatan yang kurang memberangsangkan”.
 
Setakat 31 Mac 2015, pelaburan luar negara KWSP adalah sebanyak 25 peratus daripada jumlah keseluruhan aset pelaburan KWSP. Dalam persekitaran kadar faedah yang rendah, KWSP telah mempelbagaikan pelaburannya dalam Ekuiti, Hartanah dan Infrastruktur bagi melindungi nilai simpanan ahli serta bagi menjana kadar pulangan sebenar yang disasarkan.
 
Sepanjang suku tahun yang dikaji, Ekuiti menyumbang 43 peratus daripada jumlah aset pelaburan KWSP dan telah muncul sebagai penyumbang utama pendapatan pelaburan berjumlah RM6.36 bilion, mewakili 59.87 peratus daripada jumlah keseluruhan pendapatan. Pendapatan yang dijana adalah sebanyak 31.44 peratus lebih tinggi berbanding RM4.84 bilion yang dicatatkan pada tempoh yang sama pada 2014. Penyumbang utama kepada peningkatan ini adalah portfolio luar negara KWSP yang telah mengambil peluang daripada kenaikan harga saham di pasaran negara-negara membangun dan maju sepanjang suku tahun tersebut.
 
Pelaburan Hartanah dan Infrastruktur meningkat sebanyak 43 peratus kepada RM20.93 bilion setakat S1 2015. Kelas aset ini mencatatkan pendapatan RM251.54 juta bagi S1 2015. Kelas aset ini juga dijangka akan terus menerima pendapatan dividen pada suku tahun yang akan datang, termasuklah mencatatkan keuntungan hasil daripada penjualan hartanah baru-baru ini.  
 
Sebahagian besar pelaburan KWSP kekal dalam Instrumen Pendapatan Tetap, merangkumi 50 peratus daripada jumlah keseluruhan aset KWSP setakat S1 2015. Pelaburan pendapatan tetap terus menjanakan aliran pendapatan yang stabil dalam persekitaran kadar faedah yang rendah. KWSP sehingga kini terus mengambil peluang terhadap pergerakan kadar pulangan pasaran untuk mengimbangi dan meningkatkan pulangan portfolio-portfolio berkaitan, dengan jangkaan kadar tersebut akan terus kekal rendah dalam jangka masa terdekat.
 
Sekuriti Kerajaan Malaysia dan Bon Sama Taraf menjana pendapatan berjumlah RM1.70 bilion sepanjang suku yang dikaji, naik 7.38 peratus atau RM116.91 juta, berbanding RM1.58 bilion pada S1 2014. Sementara itu, Pinjaman dan Bon mencatatkan pendapatan pelaburan RM2.03 bilion berbanding RM2.00 bilion pada S1 2014. Instrumen Pasaran Wang menyumbang pendapatan sebanyak RM278.20 juta.
 
Selain itu, KWSP juga turut melabur lebih daripada 40 peratus dananya dalam aset pelaburan patuh Syariah selaras dengan inisiatif KWSP untuk memperkenalkan dana patuh syariah di masa hadapan. Komitmen dan peranan KWSP dalam menyokong kewangan Islam telah membolehkan ia menerima Anugerah Penyedia Penyelesaian Institusi Terbaik 2014 dua tahun berturut-turut di majlis Anugerah IFN Islamic Investor Awards 2014. 
 
Mengulas mengenai prospek pasaran, Datuk Shahril berkata, “Pertumbuhan global kekal sederhana dengan kepelbagaian prospek berbeza di pelbagai negara dan rantau, terutamanya prospek pasaran yang berbeza di antara negara membangun dan maju. Turut dijangkakan, kini terdapat risiko tinggi terhadap penormalan kadar faedah AS yang akan meningkatkan permintaan terhadap Dolar AS. Perkara ini akan memberi kesan kepada pergerakan bagi kedua-dua nilai mata wang global dan pasaran modal.
 
“Walaupun awal tahun dimulakan dengan baik, KWSP tetap kekal berhati-hati bagi suku tahun yang mendatang disebabkan ketidaktentuan ekonomi dan persekitaran pelaburan global dan tempatan. Sebagai sebuah dana persaraan, KWSP terus memberikan fokus kepada strategi jangka panjang untuk mencapai sasaran bagi kadar pulangan selepas mengambil kira inflasi,” kata Datuk Shahril.
 
 
Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah dana simpanan persaraan terulung di Malaysia yang menyediakan jaminan asas kewangan bagi persaraan. KWSP sentiasa komited dalam menjamin dan meningkatkan simpanan ahlinya melalui amalan terbaik pelaburan dan tadbir urus korporat. Langkah berhemah sentiasa menjadi panduan dalam setiap keputusan pelaburannya.
 
Sebagai sebuah organisasi yang berfokuskan pelanggan, KWSP memberikan perkhidmatan  yang cekap dan berkesan untuk keselesaan ahli dan majikan berdaftar.
 
KWSP akan terus memainkan peranannya sebagai pemangkin kepada pembangunan ekonomi negara, selaras dengan kedudukannya sebagai institusi simpanan terkemuka di Malaysia.
 

Tarikh: 21 Mei 2015

 
Jumlah pelawat :