Members Login
e-Pengeluaran


Business Partners Login
Print

KWSP Isytihar Dividen 6.40 Peratus Untuk 2015

Pencapaian melebihi jangkaan pasaran dalam suasana ekonomi mencabar

KUALA LUMPUR, 20 Februari 2016: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), dengan kelulusan Kementerian Kewangan, hari ini mengisytiharkan kadar dividen sebanyak 6.40 peratus untuk 2015 dan pembayaran dividen sebanyak RM38.24 bilion. Sebanyak RM5.98 bilion diperlukan untuk membayar setiap satu (1) peratus kadar dividen bagi tahun tersebut, yang merupakan peningkatan 10.13 peratus berbanding RM5.43 bilion dalam 2014. Peningkatan ini selaras dengan pertumbuhan aset pelaburan KWSP kepada RM684.53 bilion setakat 31 Disember 2015.

KWSP mencatat pendapatan kasar sebanyak RM44.23 bilion untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2015, peningkatan sebanyak 13.18 peratus berbanding RM39.08 bilion pada 2014.

Pengerusi KWSP Tan Sri Samsudin Osman berkata, “Pendapatan pelaburan kasar yang dicapai adalah menerusi strategi kepelbagaian merentasi kelas asset dalam beberapa negara dan pasaran. Walaupun korelasi antara pasaran global adalah tinggi, strategi kepelbagaian ini membuka peluang kepada kami untuk menjana keuntungan dan mengenalpasti pelaburan berpotensi pada pentaksiran yang menarik.”

Langkah kepelbagaian dalam pasaran global dan mata wang membolehkan KWSP untuk mengaut pulangan signifikan dari sumber bukan Ringgit yang merangkumi 48 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan kasar KWSP sepanjang tahun tersebut.

“Sebagai dana simpanan persaraan, pelaburan kami sentiasa tertumpu kepada usaha untuk mendapatkan pulangan pendapatan jangka panjang yang mampan berbanding pulangan jangka pendek. Kami berbesar hati untuk mengumumkan kadar dividen 6.40 peratus yang menunjukkan prestasi yang membanggakan walaupun berhadapan dengan cabaran semasa.

“Adalah penting keupayaan kami untuk mencapai sasaran pelaburan strategik sekurang-kurangnya 2.5 peratus dividen nominal selaras dengan peruntukan Akta KWSP 1991 dan sekurang-kurangnya dua (2) peratus pulangan melebihi inflasi untuk purata tiga tahun berturut-turut,” kata Tan Sri Samsudin. Tambah beliau, bagi 2015, dividen sebenar untuk purata tiga tahun berturut-turut adalah 4.05 peratus, iaitu 205 mata asas lebih tinggi dari yang disasarkan.

Di dalam tahun yang dikaji, Ekuiti terus menjadi penyumbang utama kepada pendapatan pada 58.81 peratus, iaitu sebanyak RM26.01 bilion, naik 13.54 peratus berbanding RM22.91 bilion pada 2014.  Portfolio ekuiti luar negara memainkan peranan utama dengan menyumbang lebih 50 peratus kepada pendapatan pelaburan ekuiti dalam 2015.

Pelaburan KWSP dalam instrumen pendapatan tetap terus memberikan pendapatan yang stabil.  Aset kelas ini, yang merangkumi Sekuriti Kerajaan Malaysia & Bon Sama Taraf serta Pinjaman & Bon, menyumbang 35.40 peratus daripada RM44.23 bilion pendapatan pelaburan kasar pada tahun tersebut.

Hartanah dan Infrastruktur menyumbang RM1.70 bilion kepada pendapatan pelaburan 2015 dengan pertumbuhan tahunan sebanyak 22.23 peratus berbanding 2014.  Portfolio luar negara bagi kelas asset ini, yang mula diceburi pada 2010, telah menunjukkan prestasi yang memberangsangkan dari tahun ke tahun.

“Program pelaburan luar negara KWSP berstruktur, yang dilaksanakan secara formal pada 2006, menyumbang 48 peratus kepada jumlah keseluruhan pendapatan pelaburan sebanyak RM44.23 bilion untuk tahun ini walaupun pendedahan hanya 25 peratus dari jumlah asset pelaburan, seterusnya melangkau prestasi aset domestik,” kata Tan Sri  Samsudin yang juga mengucapkan tahniah kepada pengurusan dan warga KWSP atas pencapaian yang baik pada tahun ini.

Selaras dengan perancangan untuk pelancaran skim simpanan persaraan patuh Shariah pada 2017, pendedahan KWSP dalam pelaburan patuh Shariah yang meliputi pelbagai kelas aset kini melebihi 40 peratus dari jumlah aset. KWSP juga memastikan kesemua pelaburannya, termasuk pelaburan tidak patuh Shariah, adalah beretika, dan tidak terlibat dengan sebarang pelaburan, antara lain dalam sektor perjudian, alkohol/arak dan senjata ketenteraan.

Mengulas tentang ekonomi 2016, Tan Sri Samsudin berkata tahun ini dijangka lebih mencabar. “Berikutan kombinasi antara ketidakpastian kadar pertumbuhan dan kemerosotan harga komoditi telah menyaksikan kejatuhan indeks utama, termasuk FBMKLCI, sejak awal tahun. Keadaan ekonomi semasa adalah berbeza dengan separuh tahun pertama 2015 di mana pelaburan global kami mampu mengimbangi kesan kelembapan pasaran domestik.  Ketidaktentuan pasaran mata wang juga dijangka memberi cabaran kepada KWSP untuk mengulangi pencapaian yang sama pada tahun 2015.   

“Walau bagaimanapun, kami terus melindungi dan meningkatkan nilai simpanan ahli dengan memberikan pulangan yang stabil dan konsisten dalam jangka panjang selaras dengan had risiko yang bersesuaian,” kata beliau.

Maklumat mengenai dividen 2015 boleh didapati melalui laman Facebook KWSP di “Kumpulan Wang Simpanan Pekerja”, Twitter di KWSPBuzz dan YouTube KWSP Malaysia.

Penyata akaun KWSP yang telah dikreditkan dividen 2015 boleh didapati secara online menerusi i-Akaun di laman web myEPF (www.kwsp.gov.my). Ahli juga boleh mendapatkan penyata melalui kios KWSP atau berkunjung ke mana-mana cawangan KWSP bermula Ahad, 21 Februari 2016.

Carta untuk 2015

 

 

 
Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah dana simpanan persaraan terulung di Malaysia yang menyediakan jaminan asas kewangan bagi persaraan. KWSP sentiasa komited dalam menjamin dan meningkatkan simpanan ahlinya melalui amalan terbaik pelaburan dan tadbir urus korporat. Langkah berhemah sentiasa menjadi panduan dalam setiap keputusan pelaburannya.
 
Sebagai sebuah organisasi yang berfokuskan pelanggan, KWSP memberikan perkhidmatan yang cekap dan berkesan untuk keselesaan ahli dan majikan berdaftar.
 
KWSP akan terus memainkan peranannya sebagai pemangkin kepada pembangunan ekonomi negara, selaras dengan kedudukannya sebagai institusi simpanan terkemuka di Malaysia.
 
Jumlah pelawat :