Members Login
e-Pengeluaran


Business Partners Login
Print

KWSP: e-Pengeluaran Mudahkan Pengeluaran Pinjaman Perumahan

Ahli yang mempunyai pinjaman perumahan dengan RHB Bank dan Maybank boleh menghantar permohonan pengeluaran secara online

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini mengumumkan ahli yang mempunyai pinjaman perumahan dengan RHB Bank dan Maybank boleh memilih menghantar permohonan pengeluaran mereka secara online melalui kemudahan e-Pengeluaran untuk pembayaran balik pinjaman perumahan.

e-Pengeluaran yang disediakan melalui i-Akaun, memudahkan permohonan pengeluaran secara online bagi pembayaran ansuran bulanan pinjaman perumahan dan mengurang atau menyelesaikan baki pinjaman perumahan. Ahli perlu mendaftar sebagai pengguna i-Akaun untuk menggunakan kemudahan ini.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif KWSP untuk Operasi Dato’ Mohd Naim Daruwish berkata, “Kami mula perkenalkan e-Pengeluaran dengan RHB Bank, dan setakat ini telah menerima lebih daripada 10,000 permohonan pengeluaran daripada ahli yang mempunyai pinjaman perumahan bersama bank tersebut. KWSP kini sedang bekerjasama dengan Maybank dan kami akan meluaskan perkhidmatan ini kepada ahli yang mempunyai pinjaman perumahan dengan bank-bank lain tidak lama lagi.  

“e-Pengeluaran membolehkan ahli menghantar permohonan pengeluaran secara online dengan cepat, tepat dan mudah. Ahli hanya perlu datang ke cawangan KWSP untuk pengesahan cap ibu jari." 

Kemudahan e-Pengeluaran boleh digunakan oleh ahli yang telah membuat pengeluaran yang sama sebelum ini. Ahli mestilah pembeli dan pemilik rumah termasuk sebagai peminjam pinjaman perumahan sama ada dari RHB Bank atau Maybank.

KWSP kemudian akan membuat pengesahan pinjaman perumahan dengan bank yang terlibat dan memastikan semua terma dan syarat bagi pengeluaran ini telah dipenuhi. Selepas itu, ahli akan dimaklumkan untuk mengesahkan cap ibu jari mereka di cawangan KWSP sebelum pembayaran kepada ahli dibuat secara pengkreditan terus.

"KWSP akan terus memanfaatkan ICT dengan memperkenalkan lebih banyak lagi inisiatif untuk menyediakan perkhidmatan yang cepat dan mudah kepada ahli kami,” kata Dato' Mohd Naim. Tambah beliau, KWSP juga merancang untuk memperluaskan kemudahan e-Pengeluaran ini dalam skim pengeluaran lain seperti membeli rumah, pendidikan dan kesihatan.

Perkhidmatan elektronik KWSP juga termasuk e-Caruman, yang membolehkan majikan untuk menghantar butiran caruman bulanan mereka secara online.

Ahli yang ingin mendaftar i-Akaun boleh berbuat demikian dengan mengunjungi cawangan KWSP, kios atau menghubungi Pusat Panggilan KWSP di 03-8922 6000 (dari 8.00 pagi  hingga 6.00 petang, Isnin hingga Jumaat) untuk mendapatkan kod pengaktifan. Ahli perlu menggunakan kod ini untuk mengaktifkan i-Akaun mereka melalui laman web myEPF di www.kwsp.gov.my

Untuk maklumat lanjut mengenai terma dan syarat e-Pengeluaran, ahli boleh layari laman web myEPF. Selain itu, ahli boleh menghubungi Pusat Panggilan KWSP atau menghantar pertanyaan secara online melalui http://enquiry.kwsp.gov.my.

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah dana simpanan persaraan terulung di Malaysia yang menyediakan jaminan asas kewangan bagi persaraan. KWSP sentiasa komited dalam menjamin dan meningkatkan simpanan ahlinya melalui amalan terbaik pelaburan dan tadbir urus korporat. Langkah berhemah sentiasa menjadi panduan dalam setiap keputusan pelaburannya.

Sebagai sebuah organisasi yang berfokuskan pelanggan, KWSP memberikan perkhidmatan yang cekap dan berkesan untuk keselesaan ahli dan majikan berdaftar.

KWSP akan terus memainkan peranannya sebagai pemangkin kepada pembangunan ekonomi negara, selaras dengan kedudukannya sebagai institusi simpanan terkemuka di Malaysia.


Tarikh: 5 Januari 2015

 

 

 

Jumlah pelawat :