Members Login
e-Pengeluaran


Business Partners Login
Print

KWSP CATAT PENDAPATAN RM8.44 BILION UNTUK Q2 2016

Dana mengambil langkah berhemah berikutan ketidaktentuan global

KUALA LUMPUR, 9 September 2016: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini melaporkan pendapatan suku tahun kedua (S2 2016) berakhir 30 Jun 2016 sebanyak RM8.44 bilion, turun 26.04 peratus dari RM11.41 bilion pada S2 2015.  Aset pelaburan mencatatkan kenaikan 0.76 peratus atau RM5.17 bilion ke RM689.69 bilion dari RM684.52 bilion berakhir 31 Disember 2015.

Semasa mengumumkan prestasi S2 2016 pelaburan KWSP, Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, “Sejak tahun lepas, KWSP telah mula bersedia menghadapi persekitaran pasaran global dan domestik yang mencabar.  Ketidaktentuan ekonomi global dan domestik yang kami jangkakan ini menjadi lebih sukar berikutan Brexit dan kejatuhan harga komoditi yang berterusan.  Kami menjangkakan kelembapan ekonomi global akan berterusan dan ketidakstabilan pasaran ekuiti akan meningkat.  Keadaan pasaran juga menyaksikan kejatuhan harga saham, terutama sektor kewangan dan minyak dan gas berbanding suku tahun sama tahun lepas.

Dengan mengambil langkah-langkah berhemah yang tertakluk di bawah Piawaian Laporan Kewangan Antarabangsa (IAS 39), KWSP mencatatkan rugi terjejas (impairment) bagi pelaburan ekuitinya sebanyak RM3.58 bilion pada suku tahun yang dikaji selaras dengan kejatuhan harga ekuiti semenjak tahun lepas.

“Pendapatan pelaburan kasar untuk S2 2016 adalah RM12.07 bilion, meningkat RM233.95 juta berbanding RM11.83 bilion pada S2 2015.  Walau bagaimanapun, sebagai dana yang berhemah, kami merekodkan kerugian nilai menurut pasaran (mark-to-market) pada penyata kewangan kami disamping mengekalkan keuntungan pada penyata imbangan.

“Ini dapat memastikan penyata imbangan kami kekal baik dan membuka peluang semasa pasaran pulih.  Penyusutan nilai aset kepada nilai pasaran semasa akan memberi peluang kepada kami untuk mengaut keuntungan apabila pasaran pulih pada masa hadapan,” kata Datuk Shahril.

Pada S2 2016, pelaburan Ekuiti, yang mewakili 40.94 peratus dari pelaburan aset KWSP, menyumbang RM3.83 bilion atau 45.37 peratus dari keseluruhan pendapatan pelaburan dalam suku tahun tersebut.  Ini adalah 45.03 peratus lebih rendah berbanding RM6.97 bilion pada suku tahun yang sama 2015. Walau bagaimanapun, pendapatan kasar sebelum rugi terjejas dari ekuiti tersenarai adalah RM7.46 bilion, naik sedikit daripada RM7.39 bilion pada suku tahun sama 2015.

Sehingga Jun 2016, sebanyak 51.61 peratus dari aset pelaburan KWSP dilaburkan dalam instrumen berpendapatan tetap yang menyumbang pendapatan yang stabil dan konsisten serta berupaya mengurangkan impak kejatuhan pasaran ekuiti.  Dalam suku tahun kedua juga menyaksikan instrumen berpendapatan tetap mencatat pendapatan RM4.07 bilion, bersamaan 48.27 peratus dari pendapatan suku tahun.

Pendapatan dari Sekuriti Kerajaan Malaysia pada S2 2016 meningkat 9.48 peratus, atau RM169.45 juta, kepada RM1.96 bilion dari RM1.79 bilion pada S2 2015.  Manakala Pinjaman dan Bon menyumbang RM2.12 bilion kepada pendapatan pelaburan berbanding RM2.02 bilion pada S2 2015.

Pelaburan dalam Instrumen Pasaran Wang dan Hartanah dan Infrastruktur masing-masing adalah 3.87 peratus dan 3.59 peratus daripada jumlah aset pelaburan dan menyumbang pendapatan pelaburan sebanyak RM239.32 juta dan RM294.83 juta pada S2 2016.

“Kami kekal berwaspada memandangkan jangkaan ketidaktentuan pasaran global yang akan berterusan untuk tahun 2016 dan 2017. Ini berikutan ramalan pertumbuhan global yang rendah oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) serta prospek yang kurang memberangsangkan bagi pasaran negara-negara membangun dan maju disebabkan oleh pilihanraya di Amerika Syarikat dan risiko berkaitan dengan Brexit yang masih belum jelas.

“Persekitaran kadar faedah yang rendah dijangka akan kekal berikutan pengurangan kadar faedah oleh Bank Negara Malaysia bagi menjana ekonomi. Ini adalah suatu cabaran bagi KWSP memandangkan lebih separuh daripada pelaburan kami dilaburkan dalam instrumen berpendapatan tetap.  Pemotongan kadar faedah domestik ini juga boleh mempengaruhi pendapatan jangka panjang instrumen domestik kami,” ujar Datuk Shahril.

“Walau bagaimanapun, kami kekal fokus kepada objektif pelaburan jangka panjang kami untuk mengekalkan dan meningkatkan nilai simpanan ahli kami.  Kami mensasarkan dividen sebenar tidak kurang dari dua (2) peratus selepas inflasi untuk purata tiga tahun berturut-turut bagi memenuhi objektif ini.

https://secure.kwsp.gov.my/portal/documents/10180/175151/S2_2016_Statistik__Pelaburan_-09092016.pdf

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah dana simpanan persaraan terulung di Malaysia yang menyediakan jaminan asas kewangan bagi persaraan. KWSP sentiasa komited dalam menjamin dan meningkatkan simpanan ahlinya melalui amalan terbaik pelaburan dan tadbir urus korporat. Langkah berhemah sentiasa menjadi panduan dalam setiap keputusan pelaburannya.

Sebagai sebuah organisasi yang berfokuskan pelanggan, KWSP memberikan perkhidmatan yang cekap dan berkesan untuk keselesaan ahli dan majikan berdaftar.

KWSP akan terus memainkan peranannya sebagai pemangkin kepada pembangunan ekonomi negara, selaras dengan kedudukannya sebagai institusi simpanan terkemuka di Malaysia.

 

Jumlah pelawat :