Members Login
e-Pengeluaran


Business Partners Login
Print

KWSP Catat Pendapatan RM11.51 Bilion Untuk S2 2017

Pelaburan luar negara terus meningkatkan pulangan keseluruhan

KUALA LUMPUR, 15 September, 2017: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini melaporkan peningkatan pendapatan pelaburan  kepada RM11.51 bilion dalam suku tahun kedua berakhir 30 Jun 2017 (S2 2017), iaitu peningkatan sebanyak 36.36 peratus berbanding RM8.44 bilion bagi tempoh yang sama tahun lepas.

Mengulas tentang prestasi Pelaburan S2 2017 KWSP, Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, “Keadaan pasaran adalah lebih baik berbanding setahun yang lalu dan kesemua kelas aset dalam portfolio kami telah mencatatkan pertumbuhan tahunan yang sihat, di mana Ekuiti terus menjadi penyumbang utama kepada pendapatan bagi suku tahun yang dilaporkan.”

Selaras dengan Piawaian Pelaporan Kewangan Malaysia (MFRS 139), KWSP mencatatkan jumlah rosot nilai bersih lebih rendah dalam suku tahun ini, dari RM3.63 bilion kepada RM1.34 bilion, penurunan sebanyak RM2.28 bilion atau 62.98 peratus, sejajar dengan prestasi pasaran ekuiti yang lebih baik.

Daripada pendapatan pelaburan RM11.51 bilion yang dicatat, Instrumen Pendapatan Tetap telah menyumbang sebanyak 37.29 peratus, Ekuiti 53.72 peratus, manakala Hartanah dan Infrastruktur menyumbang 6.23 peratus dan Instrumen Pasaran Wang sebanyak 2.64 peratus.

“Walaupun prestasi mencatatkan peningkatan tahunan yang ketara dalam S1 2017 dan S2 2017, momentum dilihat menurun berikutan keuntungan korporat  yang kembali kepada paras normal dalam S2 2017. Oleh itu, kami menjangka pertumbuhan pendapatan yang sederhana dalam suku tahun yang akan datang,” tambah Datuk Shahril.

Ekuiti, yang merangkumi 41.96 peratus daripada jumlah aset pelaburan KWSP, menjana pendapatan sebanyak RM6.18 bilion, naik sebanyak 61.45 peratus daripada RM3.83 bilion yang dicatatkan dalam suku tahun yang sama pada 2016.

KWSP turut mendapat manfaat daripada kepelbagaian aset pelaburan yang menyediakan aliran pendapatan yang stabil seperti Instrumen Pendapatan Tetap dan pelaburan Hartanah dan Infrastruktur melalui anak-anak syarikatnya.

Sebanyak RM820.71 juta daripada jumlah pendapatan pelaburan RM11.51 bilion dijana untuk Simpanan Shariah, manakala RM10.69 bilion untuk Simpanan Konvensional. Simpanan Shariah memperoleh pendapatan hanya daripada bahagian aset patuh Syariah, manakala Simpanan Konvensional memperoleh pendapatan dari kedua-dua bahagian aset patuh Syariah dan aset tidak patuh Syariah.

“Bagi Ekuiti, sektor perbankan telah merekodkan pulangan yang tinggi sejak awal tahun lagi, manakala sebahagian besar rosot nilai yang dicatat dalam S2 2017 adalah dari sektor telekomunikasi dan minyak dan gas. Sekiranya keadaan ini berterusan, Simpanan Konvensional dijangkakan mendapat manfaat daripada prestasi sektor perbankan sekaligus merekodkan prestasi yang lebih baik berbanding Simpanan Shariah dalam jangka masa pendek.”

Nilai aset pelaburan KWSP mencecah RM759.78 bilion, meningkat 3.92 peratus atau RM28.67 bilion daripada RM731.11 bilion yang dicatatkan setakat 31 Disember 2016. Daripada jumlah keseluruhan aset pelaburan, RM362.50 bilion, atau 47.71 peratus, merupakan pelaburan patuh Syariah manakala yang selebihnya dilaburkan dalam aset tidak patuh Syariah. 

Setakat 30 Jun 2017, pelaburan luar negara KWSP, yang merangkumi 29 peratus dari keseluruhan aset pelaburan, telah menyumbang 32.50 peratus dari jumlah pendapatan pelaburan bagi suku tahun yang dikaji.

“Walaupun pelaburan luar negara mewakili kurang 30 peratus daripada jumlah portfolio pelaburan sehingga S2 2017, ia merupakan penyumbang pendapatan yang signifikan dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Peningkatan dalam nilai aset global telah mengurangkan impak negatif susulan pengukuhan nilai mata wang ringgit, sekaligus memberikan peluang kepada kami untuk mengambil keuntungan,” ulas Datuk Shahril.

Setakat penghujung 2016, KWSP telah mengisytiharkan pulangan purata tiga tahun berturut-turut sebanyak 3.83 peratus melebihi kadar inflasi, melepasi sasaran strategik dua (2) peratus melebihi kadar inflasi, seterusnya memastikan simpanan ahli adalah terpelihara dan nilai dipertingkatkan. Pencapaian ini didorong oleh portfolio luar negara yang mencatatkan pulangan ke atas pelaburan (ROI) tahunan untuk tempoh tiga tahun sebanyak 11.10 peratus setakat Jun 2017, sekaligus meningkatkan nilai pulangan KWSP.

“Walaupun pasaran domestik kekal penting dalam pelaburan KWSP, kami perlu mempelbagaikan portfolio dalam pasaran lebih luas yang menyediakan peluang lebih baik serta kecairan pasaran lebih tinggi. Ini bagi membolehkan pelaksanaan strategi pelaburan  yang selaras dengan mandat kami. Dengan cara ini, ia dapat memberikan KWSP ketangkasan dan daya tahan untuk menjangka dan menghadapi cabaran pasaran di masa akan datang,” kata Datuk Shahril. 

Berikutan kekangan regulatori, pendedahan KWSP kepada pelaburan luar negara adalah lebih rendah berbanding peruntukan 32 peratus alokasi aset strategik (SAA) KWSP, terutamanya untuk Hartanah dan Infrastruktur. Ini mungkin menyebabkan pulangan yang lebih rendah berbanding jangkaan untuk tahun-tahun yang akan datang. Setakat 30 Jun 2017, pendedahan KWSP kepada Hartanah dan Infrastruktur kekal pada empat (4) peratus berbanding peruntukan SAA sebanyak 10 peratus.

Di samping berperanan sebagai pelindung nilai terhadap inflasi, Hartanah dan Infrastruktur turut menjana pulangan pelaburan yang kompetitif dengan risiko lebih rendah berbanding Ekuiti dalam jangka masa sederhana sehingga jangka masa panjang. Meskipun telah mencatat ROI tahunan yang ketara, iaitu sebanyak 8.80 peratus dalam tempoh tiga tahun yang lalu, sumbangan pendapatan daripada Hartanah dan Infrastruktur masih kecil disebabkan pendedahan kepada kelas aset ini jauh lebih rendah daripada peruntukan aset yang disasarkan. 

Mengulas prospek untuk separuh tahun kedua, Datuk Shahril berkata, “Memandangkan nilai mata wang ringgit terus menunjukkan tanda-tanda kestabilan, pelaburan global dijangka kekal menjadi penyumbang pendapatan utama KWSP pada masa hadapan. Di peringkat domestik pula, walaupun angka KDNK terus meningkat, kami tetap mengamalkan sikap berwaspada terhadap mana-mana faktor luaran yang mampu menimbulkan ketidakpastian, termasuk kebarangkalian kenaikan kadar faedah global serta ketegangan geopolitik yang semakin meningkat.”

S2 2017 Statistik (Pelaburan)-Pendapatan & Aset

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah dana simpanan persaraan terulung di Malaysia yang menyediakan jaminan asas kewangan bagi persaraan. KWSP sentiasa komited dalam menjamin dan meningkatkan simpanan ahlinya melalui amalan terbaik pelaburan dan tadbir urus korporat. Langkah berhemah sentiasa menjadi panduan dalam setiap keputusan pelaburannya.

Sebagai sebuah organisasi yang berfokuskan pelanggan, KWSP memberikan perkhidmatan yang cekap dan berkesan untuk keselesaan ahli dan majikan berdaftar.

KWSP terus memainkan peranannya sebagai pemangkin kepada pembangunan ekonomi negara, selaras dengan kedudukannya sebagai institusi simpanan terkemuka di Malaysia.

 

 

Jumlah pelawat :