Members Login
e-Pengeluaran


Business Partners Login
Print

KWSP Laksana Penambahbaikan i-Akaun Dalam S2 2017

KUALA LUMPUR, 3 Oktober 2017: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini mencatatkan peningkatan sebanyak 35.23 peratus bagi penggunaan i-Akaun kepada 8.45 juta daripada 6.25 juta pada suku tahun yang sama tahun lepas.

Kemudahan i-Akaun, yang membenarkan ahli menyemak akaun KWSP mereka secara dalam talian, juga boleh didapati menerusi platform aplikasi mudah alih. Aplikasi mudah alih ‘EPF i-Akaun’, yang diperkenalkan pada 2014, telah ditambah baik dengan lebih banyak fungsi yang membolehkan ahli membuat pertanyaan berkaitan Pengeluaran Perumahan serta menyemak status penamaan mereka. 

Semasa mengumumkan prestasi Operasi S2 2017, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif KWSP (Operasi) Dato’ Mohd Naim Daruwish berkata, “Kami amat sukacita kerana semakin ramai ahli memilih untuk menggunakan i-Akaun. KWSP sentiasa berinovatif dalam penyampaian perkhidmatan kami yang memainkan peranan penting dalam keseluruhan prestasi operasi kami. Kami meninjau peluang transformatif dan menggunakan sumber kami untuk memenuhi jangkaan dan permintaan ahli. 

“Dalam setengah tahun pertama ini, kami telah memperkenalkan beberapa ciri baru dalam aplikasi mudah alih i-Akaun. Lebih banyak penambahbaikan yang akan diperkenalkan menjelang hujung tahun ini termasuk interface penyata akaun KWSP yang baharu, push notificationssecured inbox dan Soalan Lazim Simpanan Shariah. Kesemua ciri penambahbaikan ini adalah sebagai tambahan kepada ciri-ciri asal seperti penyemakan penyata KWSP dan unjuran jumlah simpanan dengan menggunakan kalkulator persaraan.”

Jumlah pengunjung ke portal myEPF dalam S2 2017 turun 5.51 peratus ke 5.47 juta daripada 5.79 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas. Penggunaan Kios KWSP juga merekodkan penurunan 8.39 peratus daripada 2.60 juta dalam S2 2016 kepada 2.38 juta dalam S2 2017. Pelbagai kemudahan perkhidmatan elektronik KWSP, terutamanya i-Akaun, juga dikaitkan dengan pengurangan jumlah pengunjung ke kaunter perkhidmatan KWSP seluruh negara daripada 932,083 dalam S2 2016 kepada 791,868 dalam S2 2017.  

Dato’ Mohd Naim berkata penurunan tersebut menunjukkan trend yang semakin meningkat di kalangan ahli yang memilih untuk mendapatkan maklumat akaun KWSP mereka secara dalam talian. “Ini selari dengan sasaran strategik KWSP di mana sekurang-kurangnya 80 peratus ahli menggunakan kaedah perkhidmatan layan diri.”

Beliau menambah bahawa perkhidmatan dalam talian e-Pengeluaran melalui i-Akaun merupakan satu lagi pencapaian baharu untuk KWSP. Ia menjadikan proses permohonan pengeluaran dibuat secara lebih pantas dengan membolehkan permohonan pengeluaran secara dalam talian.

Dalam suku tahun yang dikaji, jumlah ahli KWSP meningkat 1.41 peratus ke 15 juta daripada 14.80 juta dalam S2 2016. Daripada jumlah tersebut, 6.97 juta, atau 46.67 peratus, merupakan ahli aktif mencarum. Jumlah pendaftaran majikan baru pula menurun 2.14 peratus daripada 15,279 dalam S2 2016 kepada 14,952 dalam S2 2017.

Jumlah caruman dalam S2 2017 meningkat 7.27 peratus ke RM16.52 bilion daripada 15.40 bilion dalam S2 2016, membawa jumlah caruman ahli terkumpul kepada RM712.04 bilion.

Pengeluaran Penuh Umur 60 Tahun merekodkan 13,957 permohonan yang diluluskan melibatkan jumlah sebanyak RM358.67 juta, manakala Pengeluaran Fleksibel Umur 60 Tahun melihat 27,476 permohonan diluluskan yang melibatkan jumlah sebanyak RM624.28 juta.

Permohonan yang diluluskan bagi Pengeluaran Fleksi Umur 55 Tahun dalam S2 2017 pula menurun 50.96 peratus ke 44,679 daripada 91,111 dalam suku tahun yang sama pada tahun 2016. Jumlah pengeluaran di bawah skim tersebut adalah RM1.73 bilion, berbanding RM2.70 bilion pada 2016 (S1 2017: 55,925; RM2.21 bilion). Permohonan yang diluluskan bagi Pengeluaran Penuh Umur 55 Tahun dalam suku tahun dikaji turut menurun 25.32 peratus kepada 41,031 (RM2.45 bilion) daripada 54,946 (RM2.69 bilion) dalam suku tahun yang sama pada tahun lepas (S1 2017: 49,371; RM3.30 bilion).

Kadar majikan gagal mencarum pada suku tahun ini adalah stabil pada 1.11 peratus, membuktikan kecekapan pihak KWSP dalam tindakan pemulihan selain peningkatan kesedaran di kalangan majikan terhadap kebajikan pekerja mereka.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai produk dan perkhidmatan KWSP, ahli boleh melayari laman web KWSP di www.kwsp.gov.my atau hubungi Pusat Pengurusan Perhubungan (CMC) KWSP di 03-89226000 atau kunjungi mana-mana 67 cawangan KWSP seluruh negara. Untuk pendaftaran i-Akaun, ahli perlu mendapatkan kod pengaktifan melalui Kios KWSP, Kaunter Perkhidmatan KWSP atau terus menghubungi CMC dari 8 pagi sehingga 6 petang pada setiap hari bekerja. Aplikasi mudah alih ‘EPF i-Akaun’ boleh dimuat turun melalui Google Play atau Apple App Store. 

Statistik Operasi S2 2017-Jadual 1

Statistik Operasi S2 2017-Jadual 2

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah dana simpanan persaraan terulung di Malaysia yang menyediakan jaminan asas kewangan bagi persaraan. KWSP sentiasa komited dalam menjamin dan meningkatkan simpanan ahlinya melalui amalan terbaik pelaburan dan tadbir urus korporat. Langkah berhemah sentiasa menjadi panduan dalam setiap keputusan pelaburannya.

Sebagai sebuah organisasi yang berfokuskan pelanggan, KWSP memberikan perkhidmatan yang cekap dan berkesan untuk keselesaan ahli dan majikan berdaftar.

KWSP akan terus memainkan peranannya sebagai pemangkin kepada pembangunan ekonomi negara, selaras dengan kedudukannya sebagai institusi simpanan terkemuka di Malaysia. 

 

Jumlah pelawat :