Members Login
e-Pengeluaran


Business Partners Login
Print

KWSP Sahkan Simpanan Akaun KWSP Ahli, Tan Swee Gek, Adalah Selamat Dan Penamaan Adalah Teratur

Merujuk kepada laporan media bertarikh 9 November mengenai aduan Encik Yong Kim Leong, dari Nilai, Negeri Sembilan mengenai akaun KWSP isterinya, Puan Tan Swee Gek, KWSP telah mengambil tindakan segera untuk mengenalpasti isu berkaitan data ahli sepertimana yang didakwa di dalam laporan tersebut.  

KWSP telah menghubungi En. Yong Kim Leong dan isteri beliau, Tan Swee Gek bagi memberi penjelasan berkaitan perkara di atas bersama segala bukti dokumentasi mengenai akaun dan penamaan ahli. KWSP amat kesal atas segala kesulitan dan kebimbangan yang dialami oleh En. Yong dan isteri serta sentiasa mengambil berat terhadap integriti data KWSP. Sistem KWSP secara automatik akan membekukan akaun ahli sekiranya terdapat sebarang keraguan data bagi memastikan simpanan ahli sentiasa selamat.

Selanjutnya, semakan pihak KWSP mendapati Simpanan KWSP Puan Tan adalah selamat dan teratur sehingga caruman bulan terkini.

Mengenai penamaan, semakan KWSP mendapati penamaan yang dibuat pada tahun 2012 adalah masih sah dan berkuatkuasa.  Dakwaan bahawa seorang lelaki berbangsa Melayu dari Kelantan yang juga dinamakan sebagai penama simpanan KWSP Puan Tan juga tidak benar.

Sebarang aduan ahli mengenai data KWSP mereka amat dialu-alukan. Juga diingatkan bahawa proses penamaan KWSP adalah sulit. Hanya ahli sendiri yang dibenarkan membuat perubahan atau pengemaskinian ke atas penama mereka. Ahli adalah dikehendaki untuk hadir sendiri ke cawangan KWSP, kerana cap ibu jari mereka diperlukan sebagai pengesahan proses penamaan. 

Ahli digalakkan untuk sentiasa menyemak akaun KWSP mereka dan hadir ke mana-mana cawangan KWSP sekiranya berhasrat untuk mengemaskini butiran penamaan. Untuk maklumat lanjut, layari laman web KWSP di www.kwsp.gov.my atau hubungi Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP di 03-89226000.

 

Dikeluarkan oleh

Jabatan Hal Ehwal Korporat

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja

Tarikh: 10 November 2017

Jumlah pelawat :