Members Login
e-Pengeluaran


Business Partners Login
Print

KWSP Ketatkan Garis Panduan IPD Untuk Lindungi Pelaburan Ahli

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah memperkenalkan garis panduan komprehensif untuk mempertingkatkan lagi pemantauannya terhadap Institusi Pengurusan Dana (IPD) yang dilantik di bawah Skim Pelaburan Ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (SPA-KWSP), sebagai sebahagian daripada usaha berterusan KWSP untuk melindungi simpanan persaraan ahli.
 
Garis panduan yang berkuatkuasa mulai 15 Julai 2013 adalah untuk memastikan IPD yang dilantik dan dana diluluskan yang ditawarkan oleh IPD beroperasi mengikut standard industri dan amalan pelaburan terbaik. Antara perkara yang diperkemaskan adalah amalan pengurusan risiko, tadbir urus korporat dan peraturan yang ketat untuk memastikan IPD mematuhi garis panduan tersebut.
 
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Pelaburan KWSP, Encik Mohamad Nasir Ab Latif berkata, “Garis panduan ini akan menyemai amalan terbaik yang lebih tinggi dan dengan jelas menggariskan peranan dan tanggungjawab IPD yang dilantik dalam menawarkan dana sebagai pilihan kepada ahli untuk meningkatkan simpanan persaraan mereka. 
 
“Sebagai pemegang amanah simpanan persaraan ahli, peranan utama KWSP adalah untuk memastikan semua dana yang layak dan IPD berkenaan mempunyai rekod prestasi yang konsisten serta mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa dan KWSP.
 
“Sekiranya IPD gagal mematuhinya, tindakan tegas seperti denda, penggantungan atau penamatan akan diambil terhadap mereka.”
 
Dalam garis panduan ini, IPD perlu memastikan proses dan prosedur yang betul disediakan bagi memastikan kelancaran pengagihan wang kepada waris sekiranya ahli yang menyertai skim ini meninggal dunia.
 
Kini, terdapat 33 IPD yang dilantik untuk menguruskan pelaburan simpanan ahli di bawah SPA-KWSP dengan lebih 200 dana saham amanah diluluskan yang ditawarkan pada 2013/14. Setakat Mei 2013, sejumlah 841,000 ahli KWSP menyertai skim ini dengan nilai pasaran terkumpul sebanyak RM31 bilion.
 
“Sementara IPD diwajibkan untuk mematuhi garis panduan ini, ahli juga dinasihati untuk memahami tahap risiko dan objektif pelaburan mereka, mengkaji dana yang ingin dilaburkan dan mengenal pasti risikonya sebelum memutuskan untuk menyertai skim ini. Ahli perlu mendapatkan nasihat profesional daripada penasihat atau perancang kewangan yang berkelayakan,” kata Mohamad Nasir.
 
 
Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)
 
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah dana simpanan persaraan terulung di Malaysia yang menyediakan jaminan asas kewangan bagi persaraan. KWSP sentiasa komited dalam menjamin dan meningkatkan simpanan ahlinya melalui amalan terbaik pelaburan dan tadbir urus korporat. Langkah berhemah sentiasa menjadi panduan dalam setiap keputusan pelaburannya.
 
Sebagai sebuah organisasi yang berfokuskan pelanggan, KWSP memberikan perkhidmatan yang cekap dan berkesan untuk keselesaan ahli dan majikan berdaftar.
 
KWSP akan terus memainkan peranannya sebagai pemangkin kepada pembangunan ekonomi negara, selaras dengan kedudukannya sebagai institusi simpanan terkemuka di Malaysia.
 
Tarikh: 18 Julai 2013
Jumlah pelawat :