Members Login
e-Pengeluaran


Business Partners Login
Print

Lebih 6 Juta Ahli Akan Nikmati Simpanan KWSP Lebih Tinggi - Inisiatif Baru Tingkatkan Dana Persaraan Ahli

Lebih daripada enam juta ahli aktif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan mendapat manfaat daripada kadar caruman KWSP yang kekal tidak berubah sehingga umur 60 tahun, inisiatif yang akan meningkatkan simpanan persaraan mereka.
 
Berkuatkuasa mulai  gaji Ogos 2013, pekerja yang berumur sehingga 60 tahun akan menerima caruman KWSP 12 peratus daripada majikan (atau 13 peratus untuk pekerja yang bergaji bulanan RM5,000 dan ke bawah) manakala caruman pekerja kekal pada kadar 11 peratus. Sebelum ini, ahli yang berumur lebih 55 tahun dan majikan mereka hanya perlu mencarum separuh daripada kadar berkanun.
 
Pada taklimat media hari ini, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Operasi KWSP, Dato’ Ibrahim Taib berkata, “Perlaksanaan kadar caruman penuh sehingga umur 60 tahun ini akan membantu ahli menambah simpanan bagi jangka panjang untuk persaraan mereka.
 
“Tambahan pula, dengan umur persaraan minimum yang baru dilaksanakan, ia akan memberikan peluang kepada pekerja untuk menikmati persaraan yang selesa kerana mereka mempunyai lebih masa untuk meningkatkan  simpanan persaraan dan membelanjakannya dalam tempoh persaraan  yang singkat.”
 
KWSP prihatin terhadap kecukupan simpanan persaraan ahli memandangkan rakyat Malaysia kini mempunyai jangka hayat mencecah 75 tahun. Sehubungan itu, kemampanan simpanan adalah penting untuk ahli mengelakkan beban kewangan kepada keluarga mereka.
 
Oleh itu, KWSP telah menyemak semula Simpanan Asas ke kadar yang lebih tinggi, di mana ahli kini perlu mempunyai sekurang-kurangnya RM196,800 simpanan KWSP menjelang umur 55 (atau bersamaan RM820 sebulan untuk tempoh 20 tahun, dari umur 55 sehingga 75). Kadar Simpanan Asas baharu yang akan berkuatkuasa mulai 1 Januari 2014 telah ditanda aras dengan pencen minimum semasa pekerja sektor awam sebanyak RM820 sebulan agar pendapatan bulanan ahli tidak jatuh di bawah garis kemiskinan.(Rujuk Jadual).
 
Berikutan semakan kadar ini, ahli perlu mempunyai simpanan yang lebih tinggi dalam akaun KWSP untuk mencapai amaun yang ditetapkan mengikut umur bagi membolehkan mereka layak menyertai Skim Pelaburan Ahli KWSP.
 
“Langkah ini untuk melindungi dan memastikan ahli mempunyai simpanan yang mencukupi di KWSP bagi membiayai keperluan asas persaraan selaras dengan purata jangka hayat rakyat Malaysia sebelum mereka boleh memilih melabur dalam pelaburan-pelaburan lain,” kata Dato’ Ibrahim.
 
Simpanan Asas KWSP mula diperkenalkan pada 2008 dan ia merujuk kepada amaun simpanan minimum yang ditentukan mengikut umur bagi membolehkan  ahli mempunyai amaun simpanan yang dianggap mencukupi menjelang umur 55 tahun.
 
“Perubahan terhadap kadar caruman KWSP dan Simpanan Asas akan memastikan tahap simpanan ahli KWSP yang lebih baik. KWSP akan sentiasa menyemak manfaatnya kerana ia sebahagian daripada komitmen KWSP untuk meningkatkan simpanan ahli,” kata Dato’ Ibrahim. 
 
Selain itu, KWSP ingin menasihati ahlinya agar mula merancang persaraan mereka lebih awal untuk keselesaan persaraan mereka. Ahli juga digesa memanjangkan simpanan persaraan untuk tempoh yang lebih lama menerusi pilihan pengeluaran fleksibel yang disediakan di bawah Pengeluaran Umur 55 Tahun.
 
Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah dana simpanan persaraan terulung di Malaysia yang menyediakan jaminan asas kewangan untuk persaraan. KWSP sentiasa komited dalam menjamin dan meningkatkan simpanan ahlinya melalui amalan terbaik pelaburan dan tadbir urus korporat. Langkah berhemah sentiasa menjadi panduan dalam setiap keputusan pelaburannya.
 
Sebagai sebuah organisasi yang berfokuskan pelanggan, KWSP memberikan perkhidmatan yang cekap dan berkesan untuk keselesaan ahli dan majikan berdaftar.
 
KWSP akan terus memainkan peranannya sebagai pemangkin kepada pembangunan ekonomi negara, selaras dengan kedudukannya sebagai institusi simpanan terkemuka di Malaysia.
 
 

Tarikh: 22 Ogos 2013

 
Jumlah pelawat :