Members Login
e-Pengeluaran


Business Partners Login
Print

KWSP : Jumlah Caruman Bersih Selepas Pengeluaran RM15.23 Bilion

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) semasa pembentangan Laporan Tahunan 2013 di Parlimen hari ini melaporkan jumlah caruman tahunan ialah RM50.58 bilion melebihi jumlah pengeluaran RM35.35 bilion, menjadikan aliran masuk bersih sebanyak RM15.23 bilion setakat Disember 2013.

Laporan Tahunan ini juga melaporkan Pengeluaran Umur 55 Tahun mengatasi pengeluaran lain pada RM13.23 bilion, mencatatkan peningkatan 8.5 peratus daripada RM12.19 bilion pada tahun sebelumnya. Pengeluaran di bawah Skim Pelaburan Ahli (SPA) merupakan jumlah pengeluaran kedua terbesar pada RM7.85 bilion.

Pengerusi KWSP Tan Sri Samsudin Osman berkata, “Objektif utama KWSP adalah untuk membolehkan ahli mempunyai simpanan mencukupi semasa bersara. Oleh itu, bagi memastikan ahli mendapat faedah sepenuhnya daripada simpanan persaraan mereka, kadar caruman 11 peratus dan 12 peratus dikekalkan untuk umur 55 hingga 60 tahun berbanding kadar separuh sebelum 2013.”

Jenis pengeluaran lain yang juga menunjukkan peningkatan daripada tahun 2012 ialah Pengeluaran Perumahan pada RM4.95 bilion, Umur 50 Tahun (RM3.84 bilion), Pendidikan (RM338.14 juta) dan Kesihatan (RM43.13 juta).

Pada tahun yang sama juga menyaksikan KWSP meningkatkan pelaburan dalam infrastruktur IT dan perkhidmatan elektronik melalui pelancaran e-Caruman dan e-Pengeluaran yang bertujuan memudahkan transaksi untuk ahli dan majikan.

Tan Sri Samsudin berkata dalam usaha memenuhi kehendak ahli yang celik IT, terutamanya golongan Gen-Y yang merangkumi kira-kira 35 peratus daripada jumlah ahli, KWSP terus memanfaatkan kemajuan teknologi dan meningkatkan kemudahan online yang berkesan kos untuk memacu kecekapan operasi dan meningkatkan tahap penyampaian perkhidmatan.

Sebagai saluran tambahan untuk ahli, KWSP baru-baru ini melancarkan aplikasi mudah alih ‘EPF i-Akaun’ bagi membolehkan ahli memantau simpanan KWSP mereka bila-bila masa dan di mana sahaja.
 
“Selaras dengan moto Laporan Tahunan 2013 ‘Pelaburan Untuk Masa Depan’, KWSP bukan sahaja komited melindungi simpanan ahli, tetapi juga memastikan tahap kecekapan operasi adalah sentiasa tinggi agar KWSP dapat memindahkan penjimatan kos kepada ahli. KWSP akan terus melabur dalam IT untuk meningkatkan lagi kualiti penyampaian perkhidmatannya,” tambah beliau.

Pada tahun tersebut, Laporan Tahunan ini melaporkan KWSP mencapai kejayaan dalam aspek pelaburan meskipun dalam situasi ekonomi dan pasaran global yang lembab. Strategi pelaburan yang berhemah dan teguh telah membolehkan KWSP mengisytiharkan kadar dividen sebanyak 6.35 peratus untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2013, merupakan bayaran dividen paling tinggi sebanyak RM31.20 bilion kepada ahlinya, meningkat 13.66 peratus berbanding RM27.45 bilion pada 2012.

Tahun 2013 juga menyaksikan jumlah ahli KWSP meningkat 2.48 peratus kepada 13,922,194 daripada 13,585,007 pada tahun sebelumnya, sementara jumlah majikan juga melonjak daripada 502,863 pada 2012 kepada 517,062. 

Tan Sri Samsudin berkata KWSP sedar bahawa lanskap ekonomi semakin mencabar, namun yakin bahawa polisi pengurusan risiko dan strategi alokasi pelaburan berhemah akan membantu KWSP melindungi modal selain memastikan pulangan yang optimum untuk jangka panjang.

“Selain kecemerlangan pelaburan, KWSP telah mencatatkan kemajuan besar dalam usaha menjadi sebuah organisasi keselamatan sosial bertaraf dunia dan KWSP akan terus berusaha dalam misi kami untuk menjamin kesejahteraan ahli dan melabur untuk masa depan mereka.”

Ahli KWSP yang ingin mendapatkan versi penuh Laporan Tahunan 2013 boleh mengakses dan memuat turun daripada laman web myEPF di www.kwsp.gov.my.

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah dana simpanan persaraan terulung di Malaysia yang menyediakan jaminan asas kewangan bagi persaraan. KWSP sentiasa komited dalam menjamin dan meningkatkan simpanan ahlinya melalui amalan terbaik pelaburan dan tadbir urus korporat. Langkah berhemah sentiasa menjadi panduan dalam setiap keputusan pelaburannya.

Sebagai sebuah organisasi yang berfokuskan pelanggan, KWSP memberikan perkhidmatan yang cekap dan berkesan untuk keselesaan ahli dan majikan berdaftar.
KWSP akan terus memainkan peranannya sebagai pemangkin kepada pembangunan ekonomi negara, selaras dengan kedudukannya sebagai institusi simpanan terkemuka di Malaysia.

Tarikh: 10 April 2014

Jumlah pelawat :