Jumlah pelawat :  

e-Pengeluaran untuk Pengeluaran Pendidikan

Soalan Lazim

 

» Apa itu e-Pengeluaran?
e-Pengeluaran merupakan saluran serahan permohonan pengeluaran secara online melalui laman web KWSP bagi ahli yang mempunyai i-Akaun.
 
» Apakah jenis pengeluaran KWSP yang boleh dipohon secara e-Pengeluaran?
Kemudahan e-Pengeluaran yang disediakan adalah seperti berikut:
a. Pengeluaran Membeli / Membina Rumah.
b. Pengeluaran Mengurang / Menyelesaikan Baki Pinjaman Perumahan.
c. Pengeluaran Ansuran Bulanan Pinjaman Perumahan.  
d. Pengeluaran Pendidikan 
e. Pengeluaran Kesihatan (Akan Datang)
 
» Apakah syarat kelayakan e-Pengeluaran?
Syarat-syarat kelayakan bagi memohon secara e-Pengeluaran adalah seperti berikut:
a. Syarat kelayakan pengeluaran pendididkan sedia ada masih terpakai. (Maklumat lanjut, sila layari www.kwsp.gov.my)
b. Mempunyai i-Akaun
c. Yuran Pengajian dan bayaran berkaitan yang dikenakan oleh pihak Institusi Pengajian Tinggi (IPT)
d. Belajar di IPT dalam negara secara sepenuh masa, separuh masa, Program Jarak Jauh (PJJ) dan francais yang diluluskan.
e. Pemohon yang memohon untuk menyelesaikan baki pinjaman pendidikan mesti telah tamat pengajian. 
f.  Pemohon adalah pelajar atau ibu bapa yang membiayai pendidikan anak.
g. Bagi tujuan kelulusan, pemohon mesti membuat pengecaman Cap Ibu Jari di kaunter KWSP.
 
» Apakah manfaat e-Pengeluaran kepada ahli?
Manfaat yang diperolehi adalah seperti berikut:
a. e-Penghantaran dan Semakan Kelayakan Online
Serahan boleh dibuat pada bila-bila masa (anywhere & anytime) dan semakan kelayakan pengeluaran secara online.
b. e-Pengesahan Dari Pihak Ketiga
Maklumat yuran pengajian pendidikan diperolehi terus secara online dari IPT atau Institusi Pemberi Pinjaman.
c. e-Proses (Proses Pemetaan dan Pengecaman Cap Ibu Jari)
Kelulusan secara automatik selepas ahli hadir ke kaunter untuk pengecaman Cap Ibu Jari.
d. e-Bayaran
Bayaran secara Pengkreditan Terus ke akaun ahli atau IPT atau Institusi Pemberi Pinjaman.
e. e-Komunikasi
Makluman kepada ahli melalui SMS dan Mesej Sekuriti Inbox di i-Akaun.
 
» Mengapakah ahli perlu mempunyai i-Akaun untuk menggunakan e-Pengeluaran?
Ahli perlu mempunyai i-Akaun untuk menggunakan kemudahan e-Pengeluaran kerana ciri-ciri keselamatan yang dibina (built-in) pada i-Akaun menjamin keutuhan data dan maklumat ahli dilindungi serta dikawal sulit. 
 
» Mengapakah Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang dibenarkan di bawah e-Pengeluaran terhad kepada IPT tertentu sahaja?
IPT tersebut merupakan antara IPT yang telah bekerjasama dalam projek e-Pengeluaran. Namun demikian, KWSP sedang berusaha untuk melibatkan lebih banyak IPT dan Institusi Pemberi Pinjaman (IPP).
 
» Bolehkah ahli / anak ahli yang belajar di luar negara memohon e-Pengeluaran?
Tidak boleh. Kemudahan ini hanya terhad kepada IPT dalam negara sahaja. Bagi permohonan pengeluaran untuk pengajian luar negara, permohonan hendaklah dihantar melalui Kaunter KWSP.
 
» Adakah terdapat had kekerapan memohon e-Pengeluaran Pendidikan?
Tidak. Ahli dibenarkan membuat pengeluaran pada bila-bila masa selagi masih mempunyai baki simpanan Akaun 2 (tertakluk kepada syarat-syarat pengeluaran).
 
» Berapakah amaun pengeluaran yang dibenarkan?
Jumlah yuran pengajian atau baki simpanan dalam Akaun 2, yang mana terendah.
 
» Bolehkah pengajian di institusi kemahiran atau kursus profesional memohon e-Pengeluaran?
Tidak boleh, ini kerana institusi kemahiran atau kursus profesional tidak terlibat dalam e-Pengeluaran. Namun begitu, permohonan boleh dihantar melalui kaunter.
 
» Mengapa ahli masih perlu hadir ke kaunter untuk pengecaman Cap Ibu Jari (CIJ) sedangkan permohonan dibuat secara online?
Ahli perlu hadir ke kaunter untuk pengecaman CIJ bagi menentukan kesahihan identiti ahli sebagai pemohon dan menurunkan CIJ pada notis pengesahan sebagai bukti mengemukakan permohonan.
 
» Apa yang akan berlaku sekiranya ahli tidak hadir melakukan pengecaman Cap Ibu Jari?
Ahli diberi tempoh selama empat belas (14) hari untuk melakukan pengecaman Cap Ibu Jari di kaunter KWSP. Jika ahli tidak hadir dalam tempoh tersebut, permohonan akan direjek secara automatik.
 
» Bagaimana caranya untuk ahli membuat permohonan secara online?
Ahli perlu login ke i-Akaun ahli, klik Tab Pengeluaran, e-Pengeluaran  dan klik Permohonan Baru untuk memulakan transaksi.
 
 
» Berapa tempoh masa yang diambil oleh KWSP untuk meluluskan permohonan secara e-Pengeluaran?
KWSP akan memproses permohonan yang lengkap dan membuat bayaran dalam tempoh tidak melebihi 15 hari bekerja dari tarikh ahli hadir di kaunter KWSP untuk pengecaman CIJ dan penyerahan dokumen sokongan.
 
» Bolehkah individu lain menghantar permohonan secara e-Pengeluaran bagi pihak ahli?
Tidak boleh. Permohonan e-Pengeluaran adalah melalui i-Akaun ahli yang memerlukan kata laluan. Bagi tujuan keselamatan, ahli dinasihati untuk tidak berkongsi kata laluan dengan individu lain.  
 
» Apakah dokumen yang perlu dibawa semasa pengecaman Cap Ibu Jari (CIJ) di kaunter?
a. Kad pengenalan diri (MyKad/MyPR/KP Polis/ KP Tentera) asal bagi tujuan pengecaman dan pengesahan identiti ahli.
b. Dokumen sokongan lain – Jika dokumen sokongan lain diperlukan, ahli akan dimaklumkan melalui Mesej Sekuriti di i-Akaun.
 
» Bolehkah ahli KWSP berstatus bukan warganegara memohon secara e-Pengeluaran?
Tidak boleh.
 
» Bagaimana cara ahli boleh menyemak status permohonan dan bayaran mereka?
a. i-Akaun (semakan di ‘Status Pengeluaran'); atau
b. Hubungi Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP (03-89226000); atau
c. Kunjungi kaunter KWSP yang berdekatan 
 
» Adakah kemudahan ini dibuka 24 jam setiap hari?
Ya. Bagaimanapun, permohonan yang dibuat selepas jam 7.00 petang (hari bekerja) atau 5.00 petang (hari Sabtu, Ahad dan cuti umum Negeri Selangor), permohonan hanya akan diproses pada hari berikutnya.
 
» Di manakah pengecaman CIJ dan penyerahan dokumen sokongan boleh dilakukan?
Pengecaman CIJ dan penyerahan dokumen sokongan boleh dilakukan di mana-mana pejabat KWSP yang berhampiran.
 

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP di talian 03-89226000 atau akses enquiry KWSP

 

Tarikh Kemaskini: 24 Januari 2017

Tarikh Semakan: 17 Ogos 2017