Jumlah pelawat :  

e-Pengeluaran untuk Pengeluaran Perumahan

Soalan Lazim

 

» Apa itu e-Pengeluaran?
e-Pengeluaran merupakan saluran serahan permohonan pengeluaran secara online melalui laman web KWSP bagi ahli yang mempunyai i-Akaun.
 
» Apakah jenis pengeluaran KWSP yang boleh dipohon secara e-Pengeluaran?
Kemudahan e-Pengeluaran yang disediakan adalah seperti berikut:
a. Pengeluaran Membeli / Membina Rumah.
b. Pengeluaran Mengurang / Menyelesaikan Baki Pinjaman Perumahan.
c. Pengeluaran Ansuran Bulanan Pinjaman Perumahan.  
d. Pengeluaran Pendidikan 
e. Pengeluaran Kesihatan (Akan Datang)
 
» Apakah syarat kelayakan bagi Permohonan Pengeluaran Mengurang / Menyelesaikan Baki Perumahan dan Ansuran Bulanan Pinjaman Perumahan?
Syarat-syarat kelayakan bagi memohon secara e-Pengeluaran adalah seperti berikut:
a. Syarat kelayakan pengeluaran perumahan sedia ada masih terpakai. (Maklumat lanjut, sila layari www.kwsp.gov.my)
b. Mempunyai i-Akaun
c. Mempunyai baki pinjaman perumahan dengan Institusi Pemberi Pinjaman yang menyertai e-Pengeluaran.
d. Pernah membuat pengeluaran yang sama bagi jenis pengeluaran yang ingin dipohon. Bagi Pengeluaran Mengurang/Menyelesaikan Baki Pinjaman Perumahan, pengeluaran terdahulu hendaklah selepas 1 Januari 2011.
e. Pemohon adalah pembeli, peminjam dan pemilik harta berkenaan.
f. Pembeli / pemilik harta tidak lebih daripada dua (2) orang
g. Bagi tujuan kelulusan, pemohon mesti membuat pengecaman Cap Ibu Jari di kaunter KWSP.
 
» Apakah syarat kelayakan bagi Permohonan Pengeluaran Membeli / Membina Rumah?
Syarat-syarat kelayakan bagi memohon secara e-Pengeluaran adalah seperti berikut:
a. Syarat kelayakan pengeluaran perumahan sedia ada masih terpakai. (Maklumat lanjut, sila layari www.kwsp.gov.my)
b. Mempunyai i-Akaun
c. Mengambil pinjaman perumahan dengan Institusi Pemberi Pinjaman yang menyertai e-Pengeluaran.
d. Bagi tujuan kelulusan, pemohon mesti membuat pengecaman Cap Ibu Jari di kaunter KWSP.
e. Bayaran pengeluaran adalah secara Pengkreditan Terus ke Akaun Simpanan / Semasa Bank Ahli.
 
» Apakah manfaat e-Pengeluaran kepada ahli?
Manfaat yang diperolehi adalah seperti berikut:
a. e-Penghantaran dan Semakan Kelayakan Online
Serahan boleh dibuat pada bila-bila masa (anywhere & anytime) dan semakan kelayakan pengeluaran secara online.
b. e-Pengesahan Dari Pihak Ketiga
Maklumat Pinjaman Perumahan diperolehi terus secara online dari Institusi Pemberi Pinjaman.
c. e-Proses (Proses Pemetaan dan Pengecaman Cap Ibu Jari)
Kelulusan secara automatik selepas ahli hadir ke kaunter untuk pengecaman Cap Ibu Jari.
d. e-Bayaran
Bayaran secara Pengkreditan Terus ke akaun ahli atau Institusi Pemberi Pinjaman.
e. e-Komunikasi
Makluman kepada ahli melalui SMS dan Mesej Sekuriti Inbox di i-Akaun.
 
» Mengapakah ahli perlu mempunyai i-Akaun untuk menggunakan e-Pengeluaran?
Ahli perlu mempunyai i-Akaun untuk menggunakan kemudahan e-Pengeluaran kerana ciri-ciri keselamatan yang dibina (built-in) pada i-Akaun menjamin keutuhan data dan maklumat ahli dilindungi serta dikawal sulit. 
 
» Mengapakah institusi pemberi pinjaman perumahan yang dibenarkan di bawah e-Pengeluaran terhad kepada bank tertentu sahaja?
Bank tersebut merupakan antara institusi Pemberi Pinjaman yang telah bekerjasama dalam projek e-Pengeluaran. Namun demikian, KWSP sedang berusaha untuk melibatkan Institusi Pemberi Pinjaman.
 
» Mengapakan syarat kelayakan e-Pengeluaran dihadkan kepada pembeli/pemilik harta yang tidak lebih daripada dua orang?
Ini kerana sistem pengesahan maklumat daripada pihak ketiga buat masa ini hanya dapat mengesahkan maklumat bagi dua orang sahaja.
 
» Mengapakah syarat kelayakan e-Pengeluaran tidak membenarkan pengeluaran membantu pasangan?
Fasa awal pembangunan e-Pengeluaran ini menfokuskan kepada permohonan Mengurang/ Menyelesaikan Baki Pinjaman Perumahan untuk diri sendiri sahaja iaitu ahli mestilah pembeli, pemilik dan peminjam untuk harta berkenaan. 
Permohonan Mengurang/Menyelesaikan Baki Pinjaman Perumahan untuk membantu pasangan memerlukan dokumen dan semakan tambahan oleh Pegawai KWSP berbanding permohonan untuk diri sendiri yang akan diproses secara automatik. 
 
Bagaimanapun, KWSP akan menambahbaik kemudahan e-Pengeluaran untuk fasa pembangunan masa hadapan bagi membolehkan jenis pengeluaran membantu pasangan dibenarkan.
 
» Mengapakah syarat kelayakan permohonan Mengurang/Menyelesaikan Baki Pinjaman Perumahan di bawah e-Pengeluaran terhad kepada yang mempunyai rekod kelulusan selepas 1 Januari 2011 sahaja?
Syarat ini diadakan bagi memastikan pengeluaran yang dibuat merujuk kepada maklumat harta terkini di KWSP.
 
» Mengapakah ahli masih perlu hadir ke kaunter untuk pengecaman Cap Ibu Jari (CIJ) sedangkan permohonan dibuat secara online?
Ahli perlu hadir ke kaunter untuk pengecaman CIJ bagi menentukan kesahihan identiti ahli sebagai pemohon dan menurunkan CIJ pada notis pengesahan sebagai bukti mengemukakan permohonan.
 
» Apa yang akan berlaku sekiranya ahli tidak hadir melakukan pengecaman Cap Ibu Jari?
Ahli diberi tempoh selama empat belas (14) hari untuk melakukan pengecaman Cap Ibu Jari di kaunter KWSP. Jika ahli tidak hadir dalam tempoh tersebut, permohonan akan direjek secara automatik.
 
» Bagaimana caranya untuk ahli membuat permohonan secara online?
Ahli perlu login ke i-Akaun ahli, klik Tab Pengeluaran, e-Pengeluaran  dan klik Permohonan Baru untuk memulakan transaksi.
 
 
» Berapa tempoh masa yang diambil oleh KWSP untuk meluluskan permohonan Pengeluaran Mengurang / Menyelesaikan Baki Perumahan dan Ansuran Bulanan Pinjaman Perumahan secara e-Pengeluaran?
KWSP akan meluluskan permohonan e-Pengeluaran secara automatik selepas ahli hadir ke kaunter untuk tujuan pengecaman CIJ.
 
» Berapa tempoh masa yang diambil oleh KWSP untuk meluluskan permohonan Pengeluaran Membeli / Membina Rumah secara e-Pengeluaran?
KWSP akan memproses permohonan e-Pengeluaran yang lengkap dan membuat bayaran dalam tempoh tidak melebihi 15 hari bekerja dari tarikh ahli hadir di kaunter KWSP untuk pengecaman CIJ dan penyerahan dokumen sokongan.
 
» Bolehkah individu lain menghantar permohonan secara e-Pengeluaran bagi pihak ahli?
Tidak boleh. Permohonan e-Pengeluaran adalah melalui i-Akaun ahli yang memerlukan kata laluan. Bagi tujuan keselamatan, ahli dinasihati untuk tidak berkongsi kata laluan dengan individu lain.  
 
» Apakah dokumen yang perlu dibawa semasa pengecaman Cap Ibu Jari (CIJ) di kaunter?
a. Kad pengenalan diri (MyKad/MyPR/KP Polis/ KP Tentera) asal bagi tujuan pengecaman dan pengesahan identiti ahli.
b. Dokumen sokongan lain – Jika dokumen sokongan lain diperlukan, ahli akan dimaklumkan melalui Mesej Sekuriti di i-Akaun.
 
» Bolehkah ahli KWSP berstatus bukan warganegara memohon secara e-Pengeluaran?
Tidak boleh.
 
» Bagaimana cara ahli boleh menyemak status permohonan dan bayaran mereka?
a. i-Akaun (semakan di ‘Status Pengeluaran'); atau
b. Hubungi Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP (03-89226000); atau
c. Kunjungi kaunter KWSP yang berdekatan 
 
» Adakah kemudahan ini dibuka 24 jam setiap hari?
Ya. Bagaimanapun, permohonan yang dibuat selepas jam 7.00 petang (hari bekerja) atau 5.00 petang (hari Sabtu, Ahad dan cuti umum Negeri Selangor), permohonan hanya akan diproses pada hari berikutnya.
 
» Di manakah pengecaman CIJ dan penyerahan dokumen sokongan boleh dilakukan?
Pengecaman CIJ dan penyerahan dokumen sokongan boleh dilakukan di mana-mana pejabat KWSP yang berhampiran.
 

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP di talian 03-89226000 atau akses enquiry KWSP

 

Tarikh Kemaskini: 30 Disember 2015

Tarikh Semakan: 17 Ogos 2017