Mendaftarkan Pekerja Sebagai Ahli KWSP

Majikan adalah bertanggungjawab untuk mendaftarkan mana-mana pekerjanya yang belum berdaftar dengan KWSP sebelum caruman pertama dibuat.

Pendaftaran ahli boleh dibuat melalui cara-cara berikut:

1.    Pendaftaran Ahli menggunakan Borang KWSP 3 (di kaunter KWSP atau melalui mel)

        Pekerja yang bertaraf warganegara Malaysia hendaklah memberikan butir-butir dan mengemukakan kad pengenalan kepada majikan. Bagi pekerja bukan warganegara Malaysia, pekerja tersebut dikehendaki mengemukakan pasport, permit kerja atau visa yang sah serta Borang KWSP 16B kepada majikan. Majikan bertanggungjawab melengkapkan Borang KWSP 3 dan mengemukakan kepada mana-mana kaunter KWSP atau melalui mel untuk pendaftaran.

2.    Pendaftaran Ahli melalui borang caruman bulanan (Borang A) tanpa menggunakan Borang KWSP 3

Majikan dikehendaki memasukkan butiran nama dan nombor kad pengenalan yang tepat pada borang caruman (Borang A) semasa pembayaran caruman dibuat.  KWSP akan mendaftarkan ahli secara ‘auto' jika maklumat yang diterima melalui Borang A adalah lengkap. Pendaftaran melalui kaedah ini hanya terpakai bagi pekerja warganegara dan pemastautin tetap Malaysia yang mempunyai kad pengenalan 7 dan 12 digit sahaja.

Nota:     Bagi membolehkan pendaftaran secara ‘auto' dibuat oleh KWSP, majikan dikehendaki mengemukakan maklumat yang tepat seperti mana yang terdapat dalam kad pengenalan pekerja tersebut.

3.    Pendaftaran Ahli KWSP melalui MyKad (tanpa Borang KWSP 3) di kaunter

Pekerja perlu mengemukakan MyKad ketika berurusan di kaunter dan semua maklumat peribadi pekerja itu akan diekstrak dari maklumat peribadi di cip MyKad. Maklumat ini akan disimpan secara automatik di dalam sistem KWSP tanpa melalui proses mengunci masuk maklumat tersebut oleh petugas kaunter.

Setelah pengesahan diperoleh dari pihak Jabatan Pendaftaran Negara, pekerja tersebut akan diperuntukkan dengan nombor ahli KWSP.

Sekiranya pekerja berkenaan telah mendaftar dengan KWSP, nombor ahli KWSP pekerja berkenaan hendaklah diperolehi daripada pekerja itu sendiri atau dari mana-mana pejabat KWSP yang berhampiran.

Nombor ahli KWSP yang diperuntukkan bagi setiap pekerja hendaklah digunakan untuk membayar caruman kepada KWSP serta dalam sebarang urusan dengan KWSP sekiranya berkenaan.