Members Login
e-Pengeluaran


Business Partners Login
Print

KWSP Catat RM10.4 Bilion Pendapatan Pelaburan Pada S2 2014

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini melaporkan pertumbuhan dua angka pendapatan pelaburannya dengan mencatat RM10.40 bilion pada suku tahun kedua berakhir 30 Jun 2014, peningkatan sebanyak 13.47 peratus berbanding RM9.16 bilion pada S2 2013.
 
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini mengenai prestasi Pelaburan S2 2014, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, “KWSP berpuas hati dengan prestasi S2 2014 kerana KWSP dapat mengekalkan momentum suku tahun lepas bersandarkan ekonomi Malaysia yang stabil dan memberangsangkan. Persekitaran pelaburan global yang bertambah baik, terutamanya dalam pasaran baru muncul juga membolehkan KWSP menjalankan aktiviti pelaburan dan pengambilan untung.
 
“Bagaimanapun, sebagai dana simpanan persaraan, KWSP memberikan lebih tumpuan untuk meraih pulangan jangka panjang yang mampan berbanding hanya pulangan jangka pendek.”
 
Berpandukan Alokasi Aset Strategik (SAA) dan polisi pelaburan yang ketat, KWSP mensasarkan untuk memberikan sekurang-kurangnya dua (2) peratus pulangan benar untuk tempoh purata tiga tahun kepada ahlinya, selaras dengan objektif KWSP untuk melindungi dan menambah nilai simpanan ahli.
 
“Kadar inflasi berdepan dengan aliran meningkat sejak 2009 dan dijangka terus meningkat untuk tempoh sementara pada 2015. Dengan mengambil kira faktor ini, KWSP akan terus meneroka dan melabur dalam pelaburan alternatif iaitu aset benar yang terdiri daripada Hartanah dan Infrastruktur. Kelas aset ini merupakan mekanisme lindung nilai inflasi yang berkesan,” kata Datuk Shahril.
 
Setakat 30 Jun 2014, pelaburan dalam Hartanah dan Infrastruktur mewakili RM14.92 bilion atau 2.44 peratus daripada jumlah aset pelaburan KWSP.
 
Pada suku tahun dikaji, pelaburan ekuiti kekal sebagai penyumbang utama kepada prestasi S2 2014 KWSP. Kedua-dua Ekuiti luar negara dan domestik menjana pulangan pelaburan sebanyak RM6.49 bilion, mencatatkan peningkatan 16.06 peratus atau RM898.50 juta, berbanding dengan tempoh sama pada 2013. Portfolio luar negara menyumbang sebanyak 42 peratus daripada jumlah pulangan pelaburan ekuiti. 
 
Pada S2 2014 menyaksikan pelaburan berpendapatan tetap dan berisiko rendah terus memberikan aliran pendapatan yang mantap. Pinjaman dan Bon adalah penyumbang pendapatan pelaburan kedua terbesar bagi KWSP dengan menjana pulangan sebanyak RM1.85 bilion. Ini mewakili peningkatan sebanyak RM323.80 juta atau 21.23 peratus berbanding RM1.53 bilion pada suku tahun sama 2013. Sekuriti Kerajaan Malaysia dan Bon Sama Taraf menjana pendapatan RM1.74 bilion, naik 13.77 peratus berbanding  S2 2013.
 
Pada tempoh sama, Hartanah dan Infrastruktur mencatatkan pendapatan sebanyak RM184.12 juta, berbanding RM296.28 juta pada S2 2013 manakala Instrumen Pasaran Wang menyumbang RM107.32 juta pendapatan pelaburan pada suku kedua 2014.
 
Setakat 30 Jun 2014, aset pelaburan KWSP terus mencatatkan pertumbuhan sihat sebanyak RM58.49 bilion, daripada RM553.92 bilion pada S2 2013 kepada RM612.41 bilion. Daripada jumlah itu, 22 peratus telah dilaburkan di pasaran global. Pendedahan luar negara meliputi ekuiti global (17 peratus), bon (3 peratus), ekuiti persendirian (1 peratus) dan hartanah (1 peratus).
 
“Sebahagian daripada strategi diversifikasi KWSP termasuk mengembangkan portfolio pelaburan luar negara dan penyumberan luar dana kepada pengurus dana luaran. Langkah ini membolehkan KWSP mengambil peluang pelaburan dalam pasaran negara maju dan baru muncul serta menangani risiko yang mungkin berlaku sekiranya hanya memberikan tumpuan dalam pasaran tunggal.
 
“Setakat ini, pelaburan luar negara dan pengurus dana luaran telah menambah nilai kepada pulangan keseluruhan KWSP dengan masing-masing menyumbangkan 28 peratus dan 14 peratus kepada jumlah pendapatan KWSP untuk setengah tahun pertama,” kata Datuk Shahril.
 
Dalam tempoh yang dikaji, KWSP telah menyuntik RM3.40 bilion kepada pengurus dana luaran di mana USD350 juta disalurkan ke dalam mandat ekuiti global dan USD300 juta untuk mandat sukuk global. Bagi mandat domestik, RM800 juta telah disalurkan ke dalam bon domestik dan RM500 juta untuk ekuiti. Sehingga kini, pendedahan KWSP yang diuruskan oleh pengurus dana luaran ialah 12.77 peratus, merangkumi ekuiti dan instrumen berpendapatan tetap untuk kedua-dua mandat global dan domestik.
 
“Walaupun KWSP aktif dalam meningkatkan pelaburannya dalam pasaran antarabangsa dan penyumberan luar dana kepada pengurus dana luaran, pelaburan domestik dan pengurus dana dalaman kekal penting dalam struktur pelaburan KWSP. Ini kerana kedua-duanya terus mencatatkan peningkatan positif dalam saiz portfolio KWSP setiap tahun.
 
“KWSP akan terus berpegang teguh kepada komitmen untuk menguruskan simpanan persaraan ahli berpandukan kepada prinsip pelaburan yang kukuh dan amalan tadbir urus korporat yang tegas,” kata Datuk Shahril.
 
Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) 
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah dana simpanan persaraan terulung di Malaysia yang menyediakan jaminan asas kewangan bagi persaraan. KWSP sentiasa komited dalam menjamin dan meningkatkan simpanan ahlinya melalui amalan terbaik pelaburan dan tadbir urus korporat. Langkah berhemah sentiasa menjadi panduan dalam setiap keputusan pelaburannya.
 
Sebagai sebuah organisasi yang berfokuskan pelanggan, KWSP memberikan perkhidmatan yang cekap dan berkesan untuk keselesaan ahli dan majikan berdaftar.
 
KWSP akan terus memainkan peranannya sebagai pemangkin kepada pembangunan ekonomi negara, selaras dengan kedudukannya sebagai institusi simpanan terkemuka di Malaysia. 
 
Tarikh: 2 September 2014
 
Jumlah pelawat :