Members Login
e-Pengeluaran


Business Partners Login
Print

KWSP : Pendapatan Pelaburan S3 2014 RM10.32 Bilion

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengekalkan momentum suku tahun yang lepas dengan memperoleh pendapatan pelaburan sebanyak RM10.32 bilion pada suku tahun ketiga 2014 yang berakhir 30 September 2014. Jumlah tersebut adalah RM205.58 juta lebih tinggi berbanding RM10.11 bilion yang dicatatkan dalam tempoh sama pada 2013.
 
Prestasi S3 2014 didorong terutamanya daripada pelaburan ekuiti di mana kelas aset ini menyumbang 61 peratus kepada jumlah pendapatan pelaburan suku tahun tersebut.
 
Dalam satu kenyataan hari ini berhubung dengan prestasi Pelaburan S3 2014, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, “Portfolio ekuiti terus mempamerkan prestasi kukuh untuk dua suku tahun berturut-turut. Bagaimanapun, pasaran ekuiti domestik dan global telah mula menunjukkan tanda-tanda pergerakan tidak menentu, terutamanya FBMKLCI mencapai tahap rendah tahun ini, di bawah paras 1,800 mata pada Oktober. Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) juga telah menurunkan jangkaan pertumbuhan ekonomi global bagi 2015, menunjukkan keadaan yang sukar sekitar pasaran pada suku tahun keempat 2014.
 
“KWSP menjangka tahun-tahun kewangan akan datang lebih mencabar dan kami akan terus berpegang kepada strategi pelaburan jangka panjang bagi memastikan pulangan benar yang mampan dan stabil untuk ahli KWSP.”
 
Pendapatan pelaburan daripada Ekuiti bagi S3 2014 berjumlah RM6.34 bilion, peningkatan sebanyak RM637.05 juta daripada RM5.71 bilion pada S3 2013. Pertumbuhan ini adalah disumbangkan oleh portfolio domestik dan global. Selain daripada aliran stabil pendapatan dividen diterima pada S3 2014, kedua-dua portfolio juga mendapat manfaat daripada keadaan pasaran yang bertambah baik di mana ia memberikan peluang kepada pengurus-pengurus dana untuk memperoleh pendapatan urus niaga yang lebih tinggi.
 
Dalam suku tahun dikaji, pelaburan berisiko rendah dan tetap terus menjadi sumber pendapatan stabil kepada pelaburan KWSP. Pinjaman dan Bon menjana pendapatan RM1.71 bilion berbanding RM2.27 bilion pada S3 2013. Penurunan ini disebabkan aset-aset matang dilaburkan semula dalam persekitaran kadar faedah semasa yang rendah. Sekuriti Kerajaan Malaysia dan Bon Sama Taraf mencatatkan pendapatan RM1.62 bilion, meningkat sedikit sebanyak 4.06 peratus, berbanding dengan tempoh yang sama 2013.
       
Instrumen Pasaran Wang mencatatkan pendapatan sebanyak RM197 juta, naik 35.65 peratus, berbanding RM145.23 juta pada S3 2013, manakala Hartanah dan Infrastruktur menyumbang pendapatan pelaburan sebanyak RM439.09 juta pada suku ketiga 2014.
 
Sebagai dana simpanan persaraan jangka panjang, KWSP telah mempelbagaikan portfolio pelaburannya dengan melaburkan asetnya menggunakan pendekatan kelas aset pelbagai (multi-asset class) berpandukan Alokasi Aset Strategik KWSP (SAA). Setakat 30 September 2014, jumlah aset pelaburan KWSP terus berkembang pada kadar positif, mencatatkan peningkatan sebanyak RM54.74 bilion daripada RM568.04 bilion pada S3 2013 kepada RM622.78 bilion. KWSP juga melaburkan lebih daripada 40 peratus pelaburannya dalam aset patuh Syariah.  
 
Setakat ini, jumlah pendedahan luar negara KWSP ialah 23 peratus daripada jumlah aset pelaburannya. Daripada jumlah itu, 18 peratus dilaburkan dalam ekuiti global, tiga (3) peratus dalam bon dan bakinya dalam aset benar dan ekuiti persendirian. Pada masa ini, KWSP mempunyai pelaburan di lebih 30 negara, meliputi pasaran negara maju dan baru muncul.
 
Sebagai pemegang amanah simpanan persaraan bagi 14 juta ahli, KWSP mensasarkan sekurang-kurangnya dua (2) peratus pulangan melebihi kadar inflasi untuk purata tiga tahun berturut-turut selaras dengan objektif KWSP untuk melindungi dan menambah nilai simpanan ahli.
 
Datuk Shahril menekankan bahawa KWSP mematuhi dengan ketat SAA yang telah dirangka mengikut profil risiko-pulangan dan lebih penting lagi, KWSP mengguna pakai amalan pelaburan beretika dalam semua pelaburannya bagi memastikan pulangan konsisten pada jangka panjang.
 
“Mulai tahun hadapan, KWSP akan mengguna pakai prinsip Environmental, Social and Governance (ESG), bermula dengan instrumen berpendapatan tetap dan diikuti kelas-kelas aset lain selaras dengan strategi pelaburan yang beretika, bertanggungjawab dan diversifikasi jangka panjang,” kata Datuk Shahril.  
 
Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)  
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah dana simpanan persaraan terulung di Malaysia yang menyediakan jaminan asas kewangan bagi persaraan. KWSP sentiasa komited dalam menjamin dan meningkatkan simpanan ahlinya melalui amalan terbaik pelaburan dan tadbir urus korporat. Langkah berhemah sentiasa menjadi panduan dalam setiap keputusan pelaburannya.
 
Sebagai sebuah organisasi yang berfokuskan pelanggan, KWSP memberikan perkhidmatan yang cekap dan berkesan untuk keselesaan ahli dan majikan berdaftar.
 
KWSP akan terus memainkan peranannya sebagai pemangkin kepada pembangunan ekonomi negara, selaras dengan kedudukannya sebagai institusi simpanan terkemuka di Malaysia.
 
Tarikh: 24 November 2014
Jumlah pelawat :