Print

24,000 Ahli KWSP Daftar Untuk Mengerjakan Haji

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini memaklumkan bahawa kemudahan Pendaftaran Haji Ahli KWSP yang diperkenalkan bagi membolehkan ahli yang mempunyai sekurang-kurangnya RM1,300 dalam Akaun 1 KWSP mendaftar giliran untuk mengerjakan haji di Tabung Haji (TH) telah mendapat sambutan baik.

“KWSP sukacita memaklumkan bahawa kemudahan ini yang bertujuan membantu ahli beragama Islam, terutamanya mereka yang berpendapatan rendah menunaikan tuntutan agama dengan membuat pendaftaran awal untuk mengerjakan haji, telah berjaya menarik lebih 24,000 pendaftaran sehingga Februari sejak ia mula dilaksanakan pada 3 Januari 2012,” kata Pengurus Besar Perhubungan Awam KWSP Encik Nik Affendi Jaafar.

Untuk melayakkan diri membuat pendaftaran haji, ahli KWSP mesti warganegara Malaysia atau pemastautin tetap beragama Islam. Mereka juga belum mencapai umur 55 tahun dan mempunyai akaun simpanan di TH manakala bagi ahli yang tidak mempunyai akaun simpanan di TH boleh membuka akaun tersebut dengan deposit minimum sebanyak RM2 sahaja.

“Ahli KWSP yang ingin membuat pendaftaran haji dengan TH hanya perlu mengemukakan MyKad dan Penyata KWSP terkini sebagai bukti untuk mengesahkan mereka mempunyai minimum RM1,300 dalam Akaun 1. Bagaimanapun, KWSP ingin menjelaskan bahawa kemudahan ini tidak melibatkan pengeluaran simpanan KWSP,” tambah beliau.

Pendaftaran bagi kemudahan ini boleh dibuat di semua kaunter TH, cawangan Bank Rakyat dan Bank Islam seluruh negara dan prosesnya mengikut prosedur yang ditetapkan oleh TH.

“Ahli perlu maklum bahawa kemudahan ini tidak mempercepatkan tarikh mengerjakan haji. Tarikh untuk mengerjakan haji akan ditentukan oleh TH.

”Selain itu, ahli KWSP yang telah mendaftar haji di bawah prosedur TH sebelum ini boleh menukarkannya kepada kemudahan Pendaftaran Haji Ahli KWSP tanpa melibatkan pertukaran tarikh giliran haji yang telah diberikan sebelum ini.” kata beliau.

Untuk maklumat lanjut mengenai kemudahan ini, ahli boleh melayari laman web myEPF www.kwsp.gov.my atau laman web Tabung Haji www.tabunghaji.gov.my. Sebagai pilihan, ahli boleh menghubungi Pusat Panggilan KWSP di talian 03 - 8922 6000 atau Tabung Haji Contact Centre di talian 03 – 6207 1919.

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah dana simpanan persaraan terulung di Malaysia yang menyediakan jaminan asas kewangan bagi persaraan. KWSP sentiasa komited dalam menjamin dan meningkatkan simpanan ahlinya melalui amalan terbaik pelaburan dan tadbir urus korporat. Langkah berhemah sentiasa menjadi panduan dalam setiap keputusan pelaburannya.

Sebagai sebuah organisasi yang berfokuskan pelanggan, KWSP memberikan perkhidmatan yang cekap dan berkesan untuk keselesaan ahli dan majikan berdaftar.

KWSP akan terus memainkan peranannya sebagai pemangkin kepada pembangunan ekonomi negara, selaras dengan kedudukannya sebagai institusi simpanan terkemuka di Malaysia.

Tarikh: 26 Mac 2012

Jumlah pelawat :