Print

KWSP Perluaskan Senarai Penyakit Kritikal Kepada 55 Dan Benarkan Pembelian Peralatan Bantuan Kesihatan Di Bawah Pengeluaran Kesihatan

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini mengumumkan senarai penyakit kritikal yang diperluaskan di bawah Pengeluaran Kesihatan daripada 39 penyakit kepada 55 dan turut membenarkan ahli membeli peralatan bantuan kesihatan untuk penyakit tersebut berkuatkuasa 15 Julai 2011.

Kali terakhir KWSP memperluaskan senarai penyakit kritikal di bawah Pengeluaran Kesihatan daripada 13 ke 39 pada 15 Jun 2010.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Tan Sri Azlan Zainol berkata, “Sebagai sebuah organisasi yang prihatin terhadap kesejahteraan ahlinya, KWSP telah mengambil inisiatif untuk memperluaskan lagi senarai penyakit kritikal di bawah Pengeluaran Kesihatan bagi membantu mengurangkan beban kewangan ahli dalam mendapatkan segera rawatan perubatan yang diperlukan. Sebagai tambahan, ahli kini boleh mengeluarkan simpanan untuk membeli peralatan bantuan kesihatan.”

Faedah Pengeluaran Kesihatan yang dikaji semula ini meliputi tambahan 16 jenis penyakit termasuk penyakit pulmonari obstruktif kronik teruk (COPD), fibrosis paru-paru, penyakit radang usus kronik, sklerosis sistemik dengan hipertensi pulmonari, AIDS dan juga tiga jenis penyakit mental di mana jika tidak dirawat dengan segera akan memudaratkan pesakit. (Rujuk senarai penuh penyakit kritikal di bawah Pengeluaran Kesihatan KWSP yang disertakan.)

Pengeluaran untuk pembelian peralatan bantuan kesihatan kini dibenarkan untuk merawat pesakit yang menghidapi kanser, penyakit kardiovaskular, sistem respiratori, sistem saraf, sistem muskuloskeletal dan telinga.

Di bawah Pengeluaran Kesihatan, ahli boleh mengeluarkan simpanan dari Akaun 2 bagi membayar kos rawatan perubatan penyakit kritikal untuk diri sendiri atau ahli keluarga.

Ahli keluarga termasuk pasangan, anak-anak, anak tiri atau anak angkat yang sah, ibu bapa, ibu bapa mertua, ibu bapa tiri atau ibu bapa angkat yang sah dan adik beradik.

Ahli juga boleh membuat pengeluaran bersama dengan ahli keluarga yang lain bagi membiayai kos perubatan tertakluk kepada baki dalam Akaun 2 dan kos keseluruhan rawatan perubatan berkenaan.

Semua pengeluaran adalah bergantung kepada kesahihan laporan perubatan, bil dan resit yang tidak melebihi satu tahun dari tarikh permohonan pengeluaran dikemukakan. Semua bil dan resit juga mesti di atas nama pesakit atau pemohon.

Ahli tidak layak memohon pengeluaran ini jika penyakit berkenaan tidak termasuk dalam senarai penyakit kritikal yang diluluskan KWSP atau kos rawatan perubatan dibiayai sepenuhnya oleh majikan ahli atau majikan keluarga ahli.

Bagaimanapun, ahli juga tidak layak memohon jika menerima rawatan kesuburan dan rawatan alternatif seperti akupuntur atau perubatan tradisional.

Senarai penyakit kritikal terkini yang diluluskan dan senarai peralatan bantuan kesihatan serta maklumat lanjut mengenai cara memohon Pengeluaran Kesihatan KWSP boleh diperoleh melalui laman web ini. Ahli juga boleh menghubungi Pusat Panggilan KWSP di 03-8922 6000 atau mengunjungi cawangan KWSP berdekatan.

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah dana pencen terulung di Malaysia yang menyediakan jaminan asas kewangan bagi persaraan. KWSP sentiasa komited dalam menjamin dan meningkatkan simpanan ahlinya melalui amalan terbaik pelaburan dan tadbir urus korporat. Langkah berhemah sentiasa menjadi panduan dalam setiap keputusan pelaburannya.

Sebagai sebuah organisasi yang berfokuskan pelanggan, KWSP memberikan perkhidmatan yang cekap dan berkesan untuk keselesaan ahli dan majikan berdaftar.

KWSP akan terus memainkan peranannya sebagai pemangkin kepada pembangunan ekonomi negara, selaras dengan kedudukannya sebagai institusi simpanan terkemuka di Malaysia.

Tarikh: 14 Julai 2011

Jumlah pelawat :