Jumlah pelawat :  

Komunikasi Dengan Pihak Berkepentingan

KWSP percaya bahawa komunikasi dengan pihak berkepentingan adalah satu bahagian penting dalam rangka kerja tadbir urus korporat dalam memastikan maklumat yang tepat dan menyeluruh mengenai KWSP disampaikan kepada pihak yang berkepentingan. KWSP mengakui keperluan untuk bersikap telus kepada pihak-pihak berkepentingan, khususnya ahli KWSP. 
 
KWSP mendedahkan laporan suku tahun mengenai aktiviti pelaburan yang merupakan maklumat mengenai peruntukan aset, hasil yang dijana daripada setiap aset, jumlah saiz dana dan prospek bagi suku tahun berikut. Di samping itu, senarai 30 syarikat teratas pelaburan ekuiti KWSP juga dikeluarkan pada setiap suku tahun untuk memberikan maklumat kepada pihak berkepentingan mengenai pegangan KWSP dalam syarikat-syarikat tersenarai awam di Malaysia. 
 
Selaras dengan perkembangan teknologi maklumat, KWSP telah meningkatkan kualiti dan mutu laman webnya untuk memberi akses kepada maklumat berkenaan organisasi KWSP. Semua perubahan utama dan maklumat penting seperti tanggungjawab untuk mencarum, pengeluaran dan manfaat, prosedur, saluran perkhidmatan baru dan perkara lain yang berkaitan sentiasa dimaklumkan kepada ahli secara tetap.
 
Selain daripada itu, KWSP terus mengadakan dialog dengan syarikat-syarikat pelaburan. KWSP juga telah menghadiri dan mengundi secara aktif dalam Mesyuarat Agung Tahunan dan Mesyuarat Agung Luar Biasa syarikat di mana KWSP melabur. 
 
Memandangkan KWSP aktif dalam mengawal selia pelaburannya, KWSP telah melantik wakilnya dalam Lembaga Pengarah syarikat tersenarai dan tidak tersenarai.  
 


Tarikh Kemaskini: 19 Jun 2015

Tarikh Semakan: 30 Disember 2016