Kerajaan Perkukuh Kebajikan Penggiat Industri Kreatif Melalui Kerjasama Strategik FINAS dan KWSP
KWASA DAMANSARA, 19 November 2024 – Menteri Komunikasi, YB Fahmi Fadzil hari ini menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Dato’ Azmir Saifuddin Mutalib dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Encik Zulqarnain Onn.
Menerusi MoU berkenaan, isu-isu kebajikan pencarum menjadi fokus termasuk perlindungan insurans, tatacara permohonan Surat Perakuan Penggambaran (SPP) bagi 'Standard Contract' kerja yang lebih baik, serta promosi berterusan skim caruman KWSP. Usaha ini turut mendapat penglibatan daripada persatuan-persatuan berdaftar di bawah Program Peningkatan Kapasiti Kreatif Malaysia (MyCAP) FINAS.
MoU tersebut bertindak sebagai langkah komprehensif untuk menguruskan pelan simpanan wajib, serta perancangan persaraan penggiat seni dan industri kreatif.
Ini sekaligus membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan kebajikan kumpulan terbabit terbela.
Turut hadir Pengerusi KWSP, Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki Ali; Pengerusi FINAS, Dato’ Kamil Othman serta presiden-presiden persatuan.
Dikeluarkan oleh:
Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS)