New Minimum Statutory Rate For Employees Above Age 60 Takes Effect
KUALA LUMPUR, 7 Januari 2019: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan bahawa kadar minimum caruman berkanun syer Majikan untuk pekerja wajib mencarum yang berumur 60 tahun ke atas akan dikurangkan kepada empat (4) peratus sebulan, manakala kadar caruman syer Pekerja adalah kosong peratus.
Kadar caruman minimum baru ini akan bermula dengan gaji/upah bulan Januari untuk potongan caruman bulan Februari 2019.
Langkah untuk mengurangkan kadar caruman berkanun ini adalah berikutan cadangan Kerajaan semasa pembentangan Bajet 2019 pada 2 November 2018, bagi membantu meningkatkan pendapatan boleh guna pekerja yang masih bekerja selepas mencapai umur 60 tahun. Pengurangan syer Majikan kepada minimum empat (4) peratus pula dapat menggalakkan peluang pekerjaan bagi Pekerja yang melebihi umur 60 tahun seterusnya membolehkan penduduk yang berumur 60 tahun ke atas terus produktif dan aktif dalam ekonomi.
Untuk maklumat lanjut, sila rujuk laman web KWSP di www.kwsp.gov.my atau hubungi Pusat Pengurusan Pelanggan KWSP di 03-89226000.
Dikeluarkan oleh:
Jabatan Hal Ehwal Korporat
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja
Tarikh: 7 Januari 2019