Kemaskini terakhir : 25/10/2021 11:41     

CIRI-CIRI TAMBAHAN KEPADA i-INVEST KWSP BERI AKSES MUDAH KEPADA AHLI UNTUK PILIHAN DANA

•    Ahli kini boleh membeli dana daripada lima IPD dalam satu transaksi
•    Penilaian kesesuaian pelaburan juga diperkenalkan untuk pengguna i-Invest


KUALA LUMPUR, 25 Oktober 2021:
Ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang menggunakan kemudahan layan diri i-Invest KWSP, kini boleh membeli sehingga lapan dana unit amanah daripada maksimum lima Institusi Pengurusan Dana (IPD) dalam satu transaksi pembelian. Sebelum ini, ahli dibenarkan untuk membeli beberapa dana unit amanah daripada satu IPD sahaja dalam satu transaksi pembelian. Ciri baharu i-Invest ini membolehkan ahli untuk mengakses kemudahan ini dengan lebih baik ketika membuat pilihan pelaburan. 

Walaupun ahli boleh membeli dana unit amanah daripada lebih daripada satu IPD, transaksi yang melibatkan beberapa IPD ini hanya boleh dilakukan melalui Institutional Unit Trust Scheme Advisers (IUTA) yang dilantik dan menawarkan dana dari pelbagai IPD. Ahli masih diberi pilihan untuk membeli dana daripada setiap IPD individu.

Tambahan lagi, pengguna kemudahan i-Invest kini juga perlu menjalani penilaian kesesuaian pelaburan sebelum melakukan sebarang transaksi. Penilaian ini akan memprofil tahap toleransi risiko ahli bagi membolehkan mereka membuat pilihan pelaburan yang lebih termaklum. 

Kemudahan i-Invest KWSP, yang dilancarkan pada Ogos 2019, merupakan platform digital yang menawarkan pelbagai fungsi, fleksibiliti, dan kemudahan untuk ahli membuat pelaburan dan transaksi serta memantau pelaburan unit amanah pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja. Melalui kemudahan ini, ahli boleh membuat perbandingan antara dana unit amanah yang ditawarkan oleh IPD, melihat senarai gabungan pegangan pelaburan mereka dan maklumat berkaitan kos pelaburan, sejarah prestasi dana serta maklumat statutori yang berkaitan dengan IPD tersebut.

Sebagai kemudahan layan diri yang memperkasakan ahli untuk menguruskan sendiri masa depan kewangan mereka, KWSP memastikan garis panduan tadbir urus berkaitan kemudahan tersebut dipatuhi oleh semua badan yang terlibat. 

Dikeluarkan oleh EPF Media Desk
Jabatan Hal Ehwal Korporat
25 Oktober 2021
 

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan antara dana persaraan tertua di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1951, KWSP terus mendokong misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Terbaharu, selaras dengan visi untuk membantu ahli mencapai masa depan yang lebih baik, KWSP telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh. Kini, KWSP terus komited kepada ahli melalui usaha-usaha tekal untuk mengemaskini dan menambahbaik, agar dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.