Kemaskini terakhir : 28/09/2021 12:04     

IWAN AZLAN MOKHTAR DILANTIK SEBAGAI KETUA PEGAWAI SUMBER MANUSIA KWSP

KUALA LUMPUR, 28 September 2021: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan pelantikan baru Iwan Azlan Mokhtar sebagai Ketua Pegawai Sumber Manusia, berkuat kuasa 24 September 2021.

Iwan Azlan akan bertanggungjawab memacu inisiatif-inisiatif sumber manusia ke arah transformasi organisasi di samping membangunkan hala tuju strategik Bahagian Sumber Manusia. Beliau juga akan menyelia pengurusan dua jabatan, iaitu People Matters Department dan EPF Learning Campus.

Iwan Azlan membawa bersamanya pengalaman selama 29 tahun di dalam bidang sumber manusia. Sebelum menyertai KWSP, beliau berkhidmat sebagai Naib Presiden, Sumber Manusia di MISC Berhad dari tahun 2009 hingga 2020 sebelum menyertai Tenaga Nasional Berhad sebagai Ketua Pegawai Sumber Manusia pada tahun 2020. Sebelum itu, beliau bersama Kumpulan Shell selama 17 tahun, berperanan dalam pelbagai bidang sumber manusia. Beliau merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari University of Nottingham, United Kingdom.

Iwan Azlan kini menyertai barisan pengurusan kanan KWSP, diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Ketua Pegawai Pelaburan Rohaya Mohammad Yusof, Ketua Pegawai Operasi Sazaliza Zainuddin, Ketua Pegawai Strategi Nurhisham Hussein, Ketua Pegawai Kewangan Mohamad Hafiz Kassim dan Ketua Pegawai Teknologi Digital Muhammad Afhzal Abdul Rahman.

Dikeluarkan oleh EPF Media Desk
Jabatan Hal Ehwal Korporat
28 September 2021

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan antara dana persaraan tertua di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1951, KWSP terus mendokong misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Terbaharu, selaras dengan visi untuk membantu ahli mencapai masa depan yang lebih baik, KWSP telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh. Kini, KWSP terus komited kepada ahli melalui usaha-usaha tekal untuk mengemaskini dan menambahbaik, agar dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.