Kemaskini terakhir : 11/02/2021 8:02     

KWSP SEDANG DALAM PROSES MEMANSUHKAN KRITERIA i-SINAR

KUALA LUMPUR, 11 Februari 2021: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengambil maklum pengumuman yang dibuat oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz hari ini berkenaan pemansuhan kriteria kemudahan i-Sinar bagi memberi lebih ramai ahli bantuan kewangan melalui simpanan Akaun 1 KWSP mereka.

Pemansuhan kriteria i-Sinar ini akan melibatkan perubahan kepada sistem, proses dan tadbir urus i-Sinar Online. Ini bagi memastikan permohonan boleh dibuat secara mudah dan selamat bagi membantu ahli bertahan ketika tempoh mencabar ini. Oleh itu, KWSP amat menghargai kesabaran dan pertimbangan ahli sementara perubahan ini dilaksanakan.

Maklumat lanjut berkenaan perkara ini akan diumumkan oleh KWSP di saluran-saluran komunikasi rasminya. Ahli juga dinasihatkan agar merujuk maklumat sahih daripada KWSP dan sentiasa berwaspada dengan maklumat yang mengelirukan dan tidak sahih.


Dikeluarkan oleh EPF Media Desk
Jabatan Hal Ehwal Korporat
11 Februari 2021

 

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan antara dana persaraan tertua di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1951, KWSP terus mendokong misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Terbaharu, selaras dengan visi untuk membantu ahli mencapai masa depan yang lebih baik, KWSP telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh. Kini, KWSP terus komited kepada ahli melalui usaha-usaha tekal untuk mengemaskini dan menambahbaik, agar dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.