Kemaskini terakhir : 28/06/2021 5:41     

KWSP PERKENALKAN PENGELUARAN i-CITRA

KUALA LUMPUR, 28 Jun 2021: Berikutan pengumuman oleh YAB Perdana Menteri Malaysia, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menyokong inisiatif Kerajaan untuk membantu rakyat Malaysia yang terjejas akibat pandemik dengan memperkenalkan kemudahan pengeluaran i-Citra untuk membantu ahli KWSP mendepani cabaran kesan daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam jangka masa pendek.

Ahli boleh mula memohon kemudahan tersebut di portal dalam talian i-Citra di icitra.kwsp.gov.my mulai 15 Julai 2021, dengan pembayaran pertama dijangka akan dikreditkan dalam akaun ahli pada bulan Ogos 2021. Semua ahli di bawah umur 55 tahun layak untuk memohon i-Citra, yang membolehkan mereka mengeluarkan sehingga maksimum RM5,000 tertakluk kepada jumlah baki di kedua-dua Akaun 1 dan 2. Jumlah pengeluaran yang diluluskan akan dibayar untuk tempoh sehingga lima bulan dengan bayaran bulanan sebanyak RM1000 sebulan tertakluk kepada baki simpanan atau minimum RM50.  Ahli digalakkan untuk menggunakan nombor telefon bimbit yang sepadan dengan rekod KWSP bagi mendapatkan One-Time Password (OTP) dan memastikan akaun bank milik ahli adalah aktif.

i-Citra diperkenalkan sebagai inisiatif bagi membantu ahli menghadapi cabaran dan diusahakan setelah dipertimbangkan dengan teliti cara terbaik untuk membantu ahli yang terjejas sekaligus berpegang kepada mandat KWSP. Walaupun KWSP tetap komited untuk membantu melindungi dana persaraan ahli, kami maklum perlunya keseimbangan bagi keperluan semasa dengan simpanan masa depan dan kemudahan sementara bagi membantu ahli dalam menghadapi pandemik ini.

Untuk maklumat lebih lanjut, ahli boleh merujuk laman web KWSP di www.kwsp.gov.my, atau menghubungi Hotline i-Citra di talian 03-8922 4848.

Dikeluarkan oleh EPF Media Desk
Jabatan Hal Ehwal Korporat
28 Jun 2021

 

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan antara dana persaraan tertua di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1951, KWSP terus mendokong misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Terbaharu, selaras dengan visi untuk membantu ahli mencapai masa depan yang lebih baik, KWSP telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh. Kini, KWSP terus komited kepada ahli melalui usaha-usaha tekal untuk mengemaskini dan menambahbaik, agar dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.