Kemaskini terakhir : 26/02/2021 11:32     

KWSP LANCARKAN DANA SMA EKUITI PERSENDIRIAN PATUH SYARIAH PERTAMA DAN TERBESAR DI DUNIA

Peruntukan sejumlah AS$600 juta

KUALA LUMPUR, 26 Februari 2021: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah melancarkan dana Akaun Terurus Berasingan (SMA) pelaburan langsung / pelaburan bersama Ekuiti Persendirian (PE) patuh Syariah yang pertama dan terbesar di dunia dengan peruntukan sebanyak AS$600 juta.

Menerusi peruntukan tersebut, KWSP telah menubuhkan tiga dana SMA bernilai AS$200 juta setiap satu yang akan dikendalikan oleh tiga Pengurus Dana Ekuiti Persendirian - BlackRock, HarbourVest Partners LLC, dan Partners Group AG - dengan mandat global yang memberi fokus kepada strategi pelaburan langsung dan pelaburan bersama ke dalam urus niaga pertumbuhan dan pembelian.

Tempoh pelaburan bagi dana SMA tersebut adalah dari 2021 hingga 2025, sementara tempoh hayat dana akan berlangsung dari 2021 hingga 2031, tertakluk kepada tempoh lanjutan seterusnya dengan persetujuan KWSP.

Ketua Pegawai KWSP, Alizakri Alias berkata, “Kami berbesar hati menjadi pelabur institusi pertama yang mewujudkan dana pelaburan langsung / pelaburan bersama ekuiti persendirian patuh Syariah dan ianya adalah yang terbesar di dunia, dengan mandat pelaburan global. Usaha ini bermula pada tahun 2018 untuk mempelbagaikan portfolio pelaburan demi memastikan bahawa kami dapat memberikan pulangan pelaburan yang mampan kepada ahli.”

"KWSP yakin dengan ketiga-tiga Pengurus Dana tersebut untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti pelaburan langsung dan pelaburan bersama, kerana mereka berpengalaman luas dalam mengendalikan pelaburan ekuiti persendirian dan telah mempunyai pendedahan dalam menguruskan mandat patuh Syariah."

Bahagian pelaburan ekuiti persendirian KWSP mempunyai pendedahan terhadap pelaburan di peringkat global, dengan strategi yang meliputi pertumbuhan, pembelian, permodalan pasaran sederhana dan permodalan pasaran besar, ke dalam 106 pelaburan aktif dengan komitmen keseluruhan sebanyak AS$12.05 bilion. Setakat suku kedua tahun 2020, Amerika Utara (42%), Eropah (21%) dan China (12%) merupakan tiga pecahan geografi terbesar di mana KWSP telah melabur di bawah mandat ekuiti persendirian.

Dana-dana SMA ini telah melantik Amanie Advisors Ltd, Dubai dan ZICO Shariah Advisory Services Sdn Bhd sebagai penasihat Syariah untuk memastikan agar semua pelaburan yang dilakukan adalah patuh Syariah. Dana-dana SMA ini telah dibentuk berdasarkan struktur Wakalah, atau gabungan struktur Wakalah dan Murabahah mengikut garis panduan pelaburan Syariah.

 

Dikeluarkan oleh EPF Media Desk
Jabatan Hal Ehwal Korporat
26 Februari 2021

 

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan antara dana persaraan tertua di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1951, KWSP terus mendokong misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Terbaharu, selaras dengan visi untuk membantu ahli mencapai masa depan yang lebih baik, KWSP telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh. Kini, KWSP terus komited kepada ahli melalui usaha-usaha tekal untuk mengemaskini dan menambahbaik, agar dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.