Kemaskini terakhir : 11/07/2021 2:29     

KWSP BUKA PERMOHONAN PENGELUARAN i-CITRA

Ahli yang layak boleh mohon secara dalam talian bermula 12 Julai 2021
 

KUALA LUMPUR, 11 Julai 2021: Ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang berumur di bawah 55 tahun boleh membuat permohonan pengeluaran i-Citra bermula 12 Julai 2021 melalui icitra.kwsp.gov.my, tiga hari lebih awal daripada tarikh jangkaan asal.

Bagi memudahkan ahli mengemukakan permohonan dalam talian i-Citra, ahli dinasihatkan untuk memastikan nombor telefon bimbit mereka adalah sama seperti dalam rekod KWSP bagi urusan penerimaan One-Time Password (OTP), di samping mempunyai akaun bank yang masih aktif untuk bayaran pengeluaran tersebut.

i-Citra membolehkan ahli yang layak untuk membuat pengeluaran simpanan KWSP mereka sehingga jumlah maksimum RM5,000 tertakluk kepada jumlah baki simpanan dalam kedua-dua Akaun 1 dan 2. Jumlah pengeluaran yang diluluskan akan dibayar secara sehingga lima kali bayaran bulanan sebanyak RM1,000 sebulan tertakluk kepada baki simpanan. Pembayaran pertama i-Citra dijangka akan dikreditkan ke dalam akaun bank ahli bermula dari bulan Ogos 2021.

Pengeluaran i-Citra ini diperkenalkan selaras dengan pengumuman Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 28 Jun 2021, sebagai inisiatif jangka masa pendek bagi membantu ahli yang terkesan dengan cabaran ekonomi akibat pandemik COVID-19, serta mengimbangi keperluan hari ini dan masa depan ahli.

Untuk maklumat lanjut berkenaan i-Citra serta cara-cara membuat permohonan, ahli boleh merujuk laman komunikasi rasmi KWSP, laman web di www.kwsp.gov.my, atau hubungi talian hotline i-Citra di 03-8922 4848.

 

Dikeluarkan oleh EPF Media Desk
Jabatan Hal Ehwal Korporat
11 Julai 2021

 

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan antara dana persaraan tertua di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1951, KWSP terus mendokong misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Terbaharu, selaras dengan visi untuk membantu ahli mencapai masa depan yang lebih baik, KWSP telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh. Kini, KWSP terus komited kepada ahli melalui usaha-usaha tekal untuk mengemaskini dan menambahbaik, agar dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.