Kemaskini terakhir : 08/01/2021 7:56     

KWSP UTAMAKAN KESELAMATAN AHLI DAN ANGGOTA BERIKUTAN INSIDEN DI KWSP MIRI

KUALA LUMPUR, 8 Januari 2021: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ingin memaklumkan pihak awam bahawa tiada kemalangan jiwa atau kecederaan yang berlaku susulan insiden bom petrol yang dilontarkan ke cawangan KWSP Miri pada pukul 2 petang, hari ini.

KWSP memandang serius insiden tersebut yang bukan sahaja suatu jenayah, malah membahayakan pengunjung ke cawangan dan juga anggota, dan sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk membuat siasatan. KWSP ingin menegaskan bahawa keganasan bukan sebuah jalan penyelesaian bagi apa jua perkara. Malah, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Malaysia telah berjaya mengelakkan sebarang kekacauan awam yang berlaku di pelbagai pelosok dunia. Tindakan seumpama ini bukan sebahagian daripada nilai dan budaya kita.

KWSP juga ingin meyakinkan semua pengunjung ke cawangan serta anggota bahawa keselamatan mereka pada setiap masa sentiasa menjadi keutamaan KWSP. Walaupun kejadian tersebut hanya menyebabkan sedikit kerosakan harta benda di cawangan Miri, KWSP akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk memastikan individu atau kumpulan yang merancang dan melakukan jenayah ini dikenakan tindakan undang-undang yang sewajarnya.

Dikeluarkan oleh EPF Media Desk
Jabatan Hal Ehwal Korporat
8 Januari 2021

 

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan antara dana persaraan tertua di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1951, KWSP terus mendokong misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Terbaharu, selaras dengan visi untuk membantu ahli mencapai masa depan yang lebih baik, KWSP telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh. Kini, KWSP terus komited kepada ahli melalui usaha-usaha tekal untuk mengemaskini dan menambahbaik, agar dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.