Kemaskini terakhir : 08/06/2021 11:51     

KWSP MENCATATKAN PULANGAN MEMBERANGSANGKAN BAGI S1 2021 DENGAN PENDAPATAN PELABURAN KASAR RM19.29 BILION

KUALA LUMPUR, 8 Jun 2021: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatatkan pendapatan pelaburan kasar sebanyak RM19.29 bilion bagi suku tahun pertama berakhir 31 Mac 2021, meskipun berdepan dengan persekitaran tidak menentu berikutan pandemik COVID-19 yang masih berlarutan.

Ekuiti, yang menyumbang 74% kepada jumlah pendapatan kasar, mencatatkan pendapatan pelaburan sebanyak RM14.28 bilion, manakala instrumen Pendapatan Tetap menyumbang sebanyak RM3.92 bilion. Kelas aset Hartanah dan Infrastruktur serta instrumen Pasaran Wang masing-masing menyumbang RM0.71 bilion dan RM0.38 bilion.

Selepas mengambil kira turun nilai kos atas ekuiti tersenarai, yang merupakan amalan berhemah KWSP dalam memastikan portfolio pelaburan jangka panjang kekal sihat, pendapatan pelaburan bersih adalah sebanyak RM19.24 bilion.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata: “Prestasi memberangsangkan suku pertama KWSP disokong oleh pemulihan ekonomi global yang bermula sejak separuh kedua tahun lalu. KWSP yakin bahawa pelaksanaan program vaksinasi serta sokongan daripada dasar fiskal dan kewangan di seluruh dunia akan memainkan peranan penting dalam menggerakkan aktiviti dan pertumbuhan ekonomi.”

“Walaupun terdapat kebimbangan berkaitan inflasi, ia tidak menjejaskan tren positif dalam pasaran ekuiti. KWSP mengambil peluang untuk menstruktur pegangan portfolio ekuiti kami kepada saham yang pada asasnya kuat tetapi dinilai rendah,” tambah beliau.

Pada akhir Mac 2021, jumlah aset pelaburan KWSP adalah RM981.71 bilion, yang mana 36% diperuntukkan dalam pasaran luar negara. Diversifikasi merentasi kepelbagaian kelas aset, pasaran dan mata wang terus menjana pulangan yang stabil dan menambah nilai kepada pulangan keseluruhan KWSP. Bagi suku tahun pertama, pelaburan luar negara KWSP telah menyumbang sebanyak RM11.15 bilion atau 58% kepada jumlah pendapatan pelaburan kasar yang direkodkan, terutamanya oleh ekuiti luar negara.

Berdasarkan kelas aset, instrumen Pendapatan Tetap merangkumi 46% daripada pelaburan, manakala Ekuiti sebanyak 44%. Hartanah dan Infrastruktur dan instrumen Pasaran Wang masing-masing merangkumi 4% dan 6% daripada pelaburan. Portfolio ini mencerminkan strategi diversifikasi KWSP untuk memastikan pulangan optimum dalam lingkungan had risiko yang boleh diterima berpandukan Alokasi Aset Strategik (SAA), yang telah terbukti berdaya tahan dalam menghadapi persekitaran pasaran yang mencabar, terutama semasa krisis pandemik COVID-19.

Menyedari pelbagai cabaran yang dihadapi oleh ahli disebabkan pandemik COVID-19, KWSP telah memperkenalkan kemudahan i-Sinar dan i-Lestari untuk membolehkan ahli yang terkesan membuat pengeluaran bagi membantu mengurangkan beban kewangan mereka. Setakat ini, sejumlah RM50.93 bilion telah dikeluarkan daripada RM57.97 bilion pengeluaran i-Sinar yang diluluskan bagi 6.49 juta pemohon, manakala RM20.80 bilion telah dibayar kepada 5.27 juta ahli di bawah kemudahan i-Lestari.

Tambah Datuk Seri Amir, "Pendekatan pelaburan berdisiplin dan pengurusan kecairan yang mantap oleh KWSP yang berpandukan SAA telah berjaya mengurangkan impak daripada jumlah pengeluaran yang besar ke atas portfolio KWSP, yang membolehkan prestasi yang kukuh dalam waktu yang mencabar ini dikekalkan. Ini mencerminkan komitmen KWSP untuk melindungi simpanan persaraan ahli dengan memelihara dan meningkatkan nilai simpanan mereka, dan pada masa yang sama memastikan keperluan jangka pendek mereka dipenuhi tanpa menjejaskan kepentingan jangka panjang.”

“Walaupun KWSP kekal berhati-hati dalam menghadapi suku seterusnya, berikutan risiko berkaitan varian COVID-19 terbaharu yang lebih mudah tersebar, kami ingin meyakinkan ahli bahawa KWSP akan terus mengambil langkah-langkah wajar bagi melindungi simpanan persaraan, melalui pelaksanaan rangka kerja tadbir urus KWSP yang mantap, demi memastikan mandat dan sasaran strategik untuk memberi ahli sebuah persaraan yang mampan,” tambah Datuk Seri Amir Hamzah.

Ringkasan Prestasi S1 2021

S1 2021

Portfolio

% Aset dalam Jumlah Aset Pelaburan

Pendapatan pelaburan kasar

(RM bilion)

% Keuntungan

Ekuiti

44%

14.28

74

Instrumen Pendapatan Tetap*

46%

3.92

20

Instrumen Pasaran Wang

6%

0.38

2

Hartanah dan Infrastruktur

4%

0.71

4

Jumlah

100%

19.29

100%

* Sumbangan daripada Sekuriti Kerajaan Malaysia dan Bon Sama Taraf

 


Dikeluarkan oleh EPF Media Desk
Jabatan Hal Ehwal Korporat
8 Jun 2021

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan antara dana persaraan tertua di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1951, KWSP terus mendokong misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Terbaharu, selaras dengan visi untuk membantu ahli mencapai masa depan yang lebih baik, KWSP telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh. Kini, KWSP terus komited kepada ahli melalui usaha-usaha tekal untuk mengemaskini dan menambahbaik, agar dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.