Kemaskini terakhir : 13/12/2019 4:03     

KWSP Rekod Prestasi S3 2019 Sederhana Dalam Pasaran Lembab

•    Jumlah pendapatan pelaburan dicatatkan pada RM13.50 bilion
•    Portfolio ekuiti domestik mencatatkan pendapatan sebanyak RM2.57 bilion
•    Portfolio ekuiti menyumbang RM7.47 bilion kepada pendapatan

 

KUALA LUMPUR, 13 Disember 2019: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melaporkan jumlah pendapatan pelaburan RM13.50 bilion untuk suku tahun ketiga yang berakhir pada 30 September 2019 (S3 2019) berikutan pasaran yang semakin tidak menentu sejak tahun 2018.

 

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pelaburan) KWSP Dato' Mohamad Nasir Ab Latif menjelaskan bahawa portfolio ekuiti domestik KWSP menerima kesan akibat pertumbuhan pendapatan yang lemah dalam pasaran ekuiti domestik yang seterusnya menyaksikan pasaran saham Malaysia menurun sebanyak 5.3%. Untuk S3 2019, portfolio tersebut mencatatkan pendapatan sebanyak RM2.57 bilion.

 

Keadaan pasaran lemah, yang disusuli dengan ketidakpastian akibat dicetus olehperang perdagangan AS-China, prospek perjanjian Brexit yang tidak menetu, pergolakan politik di Hong Kong dan ketegangan geo-politik di Timur Tengah, telah menyumbang kepada ketidaktentuan ini.

 

"Pasaran baru muncul terus menerima tempias daripada perang perdagangan AS-China yang masih berlanjutan. Pasaran negara-negara di rantau Asia kekal tidak menentu, dengan pasaran saham Hong Kong adalah yang paling lemah. Keadaan pasaran ekuiti ASEAN pula menyaksikan Singapura dan Thailand mencatatkan prestasi kurang memuaskan, di samping tekanan ke atas Indonesia berikutan pengukuhan dolar AS, manakala pasaran China pula hanya bergantung kepada pelan ransangan Beijing untuk menghalangnya pasaran daripada menjadi semakin lemah.

 

"KWSP terpaksa menghadapi persekitaran pasaran yang mencabar, termasuk kelembapan prestasi KLCI. Walaubagaimanapun, kepelbagaian portfolio KWSP yang merangkumi pendapatan pelaburan daripada aset luar negara, membantu mengurangkan impak ini,“ kata Dato‘Nasir.

 

Beliau menambah bahawa kemerosotan perdagangan bukan sahaja telah menjejaskan pasaran ekuiti, tetapi menyumbang kepada kelembapan ekonomi global, dengan negara-negara yang bergantung kepada eksport di rantau ini seperti Malaysia, Singapura dan Thailand menerima impak paling ketara. Keadaan ini seterusnya menyumbang kepada kemerosotan keyakinan pengguna, dengan Malaysia mencatatkan paras terendah sejak Q4 2017 berikutan kuasa membeli yang lebih rendah dan sektor pekerjaan yang diramalkan semakin lemah.

 

"Peningkatan risiko geo-politik dijangka akan terus memberi tekanan ke atas ekonomi global. Kami mengambil langkah berwaspada ke atas prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia. Sekiranya ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat dan China berlanjutan, ia akan terus memberikan kesan secara langsung ke atas ekonomi negara seperti kita yang bergantung kepada perdagangan.”

 

Beliau maklum bahawa tahun 2019 merupakan tahun yang sukar dan ketidaktentuan pasaran akan berterusan dalam masa terdekat, dan akan memberi impak ke atas pasaran modal. 

 

"Keadaan ketidakpastian ini telah mempengaruhi prestasi KWSP dan kami akan mengambil pendekatan waspada dan berhemah ke atas prospek pasaran.”

 

Walau bagaimanapun, Dato’ Nasir memberi jaminan bahawa KWSP akan terus mengambil mafaat ke atas peluang pembelian yang baik lazimnya berlaku semasa pasaran sedang merosot.

 

"Keadaan tidak menentu ini juga memberikan peluang kepada KWSP kerana kami sentiasa mengesan aset kukuh serta memberikan aliran tunai yang baik dan dapat menambah nilai jangka panjang portfolio kami. Sebagai dana jangka panjang, matlamat kami adalah untuk mencapai prestasi jangka panjang,” kata Dato’ Nasir.

 

Ringkasan Aset dan Pendapatan Pelaburan

Q3

Portfolio

% Aset dalam jumlah pelaburan aset

Pendapatan (RM billion)

 % Keuntungan

Ekuiti

38

7.47

55

Instrumen Pendapatan Tetap*

51

5.33 

40

Instrumen Pasaran Wang

6

0.45

3

Hartanah & Infrastuktur

5

0.25

2

JUMLAH

100

13.50

100

*Sumbangan dari Sekuriti Kerajaan dan Bon Sama Taraf

 

Sebanyak RM1.30 bilion daripada pendapatan pelaburan kasar RM13.50 bilion dijana untuk Simpanan Syariah, dan RM12.20 bilion untuk Simpanan Konvensional. Simpanan Shariah memperoleh pendapatannya daripada bahagian portfolio Syariah manakala pendapatan untuk Simpanan Konvensional dijana oleh sebahagian daripada portfolio Syariah dan konvensional
 

Dikeluarkan oleh Meja Media KWSP
Corporate Affairs Department

mediadesk@epf.gov.my
13 Disember 2019 
 

 

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan dana persaraan terulung Malaysia yang ditubuhkan untuk membantu ahli mencapai simpanan yang cukup untuk persaraan yang selesa. Ini selaras dengan visi KWSP untuk membantu ahli mencapai masa depan yang baik serta misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. KWSP telah berkembang daripada sebuah organisasi berpaksikan transaksi kepada sebuah organisasi pengurusan dana profesional dengan tumpuan terhadap jaminan persaraan. KWSP berpandukan rangka kerja tadbir urus yang mantap dan profesional dalam membuat keputusan pelaburan. Ia terus memainkan peranan sebagai pemangkin dalam pertumbuhan ekonomi negara dan bertujuan untuk memupuk budaya menabung dan melabur dalam kalangan ahli untuk meningkatkan tahap celik kewangn di peringkat negara.