Kemaskini terakhir : 19/09/2020 7:40     

KWSP CATAT RM15.12 BILION PENDAPATAN PELABURAN KASAR BAGI S2 2020

KUALA LUMPUR, 19 September 2020: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatatkan pendapatan pelaburan kasar sebanyak RM15.12 bilion bagi suku tahun kedua berakhir 30 Jun 2020.

Ekuiti, yang menyumbang 54% kepada jumlah pendapatan kasar, mencatatkan RM8.11 bilion. Instrumen Pendapatan Tetap menyumbang sebanyak RM6.17 bilion manakala sektor Hartanah dan Infrastruktur serta Instrumen Pasaran Wang masing-masing menyumbang RM0.47 bilion dan RM0.37 bilion. Pendapatan pelaburan bersih adalah sebanyak RM13.46 bilion selepas mengambil kira turun nilai kos atas ekuiti tersenarai, yang merupakan amalan berhemah KWSP dalam memastikan portfolio pelaburan jangka panjang kekal sihat.

Ketua Pegawai KWSP, Alizakri Alias berkata, “Keadaan yang mencabar serta tidak menentu bermula awal 2020 lalu tidak menunjukkan tanda ia akan pulih kepada sediakala berikutan isu-isu seperti ketegangan perdagangan antara AS dan China dan penurunan harga minyak yang masih lagi berterusan tanpa jalan penyelesaian. Malah, memburukkan lagi keadaan apabila COVID-19 melanda negara-negara yang kurang bersedia untuk menghadapinya. Perintah berkurung yang dilaksanakan oleh ekonomi utama dunia serta penutupan sempadan turut menjejaskan rangkaian bekalan, seterusnya mengakibatkan kemerosotan dalam pelbagai sektor dan industri.”

“Alokasi Aset Strategik (SAA) KWSP, yang menjadi panduan kami untuk menstruktur pelaburan dan portfolio, telah membantu dalam mengharungi tempoh separuh tahun pertama yang sangat tidak menentu. Sebagai contoh, pendedahan pelaburan dalam Instrumen Pendapatan Tetap telah membolehkan kami menahan teguh semasa tempoh kemerosotan pada permulaan suku tahun kedua. Ini diikuti dengan kenaikan indeks FBM KLCI dan pemulihan pasaran global pada penghujung suku tahun kedua berikutan pembukaan semula ekonomi secara berperingkat. Di masa hadapan, kami akan kekal berwaspada kerana kemungkinan gelombang kedua COVID-19 akan berlaku. Ini akan memburukkan lagi keadaan ekonomi yang lemah di negara-negara yang masih lagi bergelut dengan impak daripada gelombang pertama.”

SAA KWSP memperuntukkan sebanyak 51% kepada instrumen Pendapatan Tetap, 36% kepada Ekuiti, 10% kepada Hartanah dan Infrastruktur serta 3% kepada instrumen Pasaran Wang, sebagai satu rangka kerja untuk mengoptimumkan pulangan jangka panjang dalam lingkungan had risiko yang boleh diterima.

Strategi pelaburan ke luar negara yang berpandukan SAA telah membantu menambah nilai prestasi keseluruhan bagi suku tersebut. Pada akhir Jun 2020, aset pelaburan KWSP adalah sebanyak RM929.64 bilion dan 30% daripadanya dilaburkan di luar negara. Setakat suku tahun kedua, sebanyak 39% daripada jumlah pendapatan pelaburan kasar yang dicatatkan hasil sumbangan pelaburan KWSP di luar negara.

Pendapatan dari luar negara ini didorong oleh pemulihan dalam pasaran ekuiti global pada suku tahun kedua. Ini membolehkan KWSP kekal berdaya tahan berikutan kemelesetan pada suku tahun pertama. Instrumen Pendapatan Tetap turut menyumbangkan pendapatan yang lebih tinggi dalam persekitaran kadar faedah rendah yang memberikan lebih banyak peluang kepada KWSP untuk meraih keuntungan.

Langkah-langkah untuk meringankan beban kewangan

Semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), KWSP telah menyediakan beberapa langkah bantuan kecemasan untuk membantu meringankan beban kewangan yang dihadapi oleh ahli dan majikan.

Ini termasuk kemudahan Pengeluaran i-Lestari, yang membenarkan ahli membuat pengeluaran bulanan antara RM50 hingga RM500 bermula April 2020 hingga Mac 2021, tertakluk kepada baki di dalam Akaun 2 mereka. Setakat 30 Jun 2020, KWSP telah meluluskan sebanyak 4.35 juta permohonan dengan jumlah pengeluaran kumulatif antara bulan April dan Jun 2020 bernilai RM3.79 bilion.

Di samping itu, KWSP juga telah menerima sebanyak 37,888 permohonan (sehingga 3 Julai 2020) untuk Program Bantuan Majikan COVID-19 (e-CAP) yang membolehkan majikan memohon untuk menangguhkan dan menstruktur semula caruman syer majikan. Sebanyak 10,528 permohonan berjumlah RM70.4 juta telah diluluskan. Kemudahan ini adalah berikutan daripada pelanjutan tarikh akhir untuk majikan membayar caruman wajib bagi bulan Mac 2020 dan seterusnya untuk bulan Mei hingga Disember 2020.

Dalam tempoh yang sama, KWSP juga telah mengurangkan caj jualan yang dikenakan oleh Institusi Pengurusan Dana (IPD) untuk tempoh 12 bulan sehingga 30 April 2021. Bagi pelaburan yang dilaksanakan melalui ejen, kadar caj jualan dikurangkan daripada kadar maksimum 3% kepada kadar maksimum 1.5% sementara pelaburan yang dilaksanakan melalui i-Invest dalam i-Akaun (Ahli) tidak akan dikenakan sebarang caj jualan.

Prospek bagi separuh tahun kedua 2020

Dalam tempoh separuh tahun kedua 2020, Alizakri berkata, “Kami masih mengambil langkah berhati-hati. Walaupun semakin banyak negara telah melonggarkan perintah kuarantin dan membuka semula pasaran mereka, vaksin COVID-19 tidak akan siap sedia dalam masa terdekat. Kita telah melihat bagaimana negeri Victoria di Australia terpaksa kembali kepada perintah berkurung pada awal Julai lalu. Manakala di New Zealand dan Hong Kong pula, mereka terpaksa mengkaji semula langkah-langkah kawalan yang perlu diambil.”

“Melihat kepada situasi di luar jangkaan ini, kami berpuas hati kerana berjaya mencatat prestasi yang kukuh, di samping mengimbangkan keperluan aliran tunai segera dengan kepentingan jangka panjang untuk memastikan kecukupan simpanan persaraan ahli KWSP serta pulangan pelaburan yang mampan. Di masa hadapan, adalah amat penting bagi KWSP untuk terus melabur dalam aset yang kukuh, khususnya dalam syarikat-syarikat yang telah menunjukkan keupayaan untuk menyesuaikan diri dengan norma baharu.”

Sebagai kesimpulan, beliau berkata, “Kami juga komited dalam penggunaan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) sebagai teras dalam proses membuat keputusan pelaburan kami. Mengambil kira tahap ketidaktentuan dan ketidakpastian yang kian meningkat dan menjadi satu kebiasaan, amalan ESG yang teguh akan menjadi satu keperluan kerana kami yakin ia akan membolehkan ekonomi, industri, dan syarikat untuk menyesuaikan diri dan menjadi lebih berdaya tahan dalam menghadapi krisis.”

Rumusan Prestasi S2 2020

 

S2

Portfolio

% Aset dalam Jumlah Pelaburan Aset

Pendapatan pelaburan kasar (RM bilion)

% keuntungan

Ekuiti

38.2%

8.11

54

Instrumen Pendapatan Tetap*

49.2%

6.17

41

Instrumen Pasaran Wang

7.2%

0.37

2

Hartanah & Infrastruktur

5.4%

0.47

3

Jumlah

100%

15.12

100%

* Sumbangan dari Sekuriti Kerajaan dan Bon Sama Taraf

Dikeluarkan oleh EPF Media Desk

Jabatan Hal Ehwal Korporat

19 September 2020

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan antara dana persaraan tertua di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1951, KWSP terus mendokong misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Terbaharu, selaras dengan visi untuk membantu ahli mencapai masa depan yang lebih baik, KWSP telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh. Kini, KWSP terus komited kepada ahli melalui usaha-usaha tekal untuk mengemaskini dan menambahbaik, agar dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.