Kemaskini terakhir : 14/11/2018 10:05     

KWSP Sangkal Dakwaan Sarawak Report

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menyangkal keras dakwaan portal berita dalam talian, Sarawak Report, dalam catatan blog dan Facebooknya hari ini.  KWSP menegaskan bahawa ia tidak pernah berurusan mahupun memeterai sebarang perjanjian dengan Limage Holdings SA, Limage Southwest Holdings, individu yang dikenali sebagai Mr Matrai atau mana-mana pihak seperti yang dinyatakan oleh Sarawak Report. Justeru, tiada sebarang pemindahan bon atau dana seumpamanya kepada mana-mana syarikat, pihak atau individu seperti yang didakwa.

 

Rentetan peristiwa berdasarkan makluman KWSP adalah seperti berikut:

  • Satu ‘Surat Ganti Rugi’ palsu bertarikh 20 Ogos, 2015, yang dialamatkan kepada Gyorgy Matrai of Limage Holding S.A. yang mendakwa satu perjanjian antara KWSP dan Limage Holdings S.A. sudah dimaklumkan kepada KWSP pada 26 Oktober, 2015. Memandangkan ini merupakan dokumen palsu, KWSP telah membuat laporan polis pada 28 Oktober 2015. 
  • Satu ‘Surat Lantikan’ bertajuk ‘Development and Construction of Integrated Medical City Project For EPF’ daripada TripleNiceTales Sdn. Bhd. bertarikh 18 Mei 2015, dimaklumkan kepada KWSP pada 24 Februari, 2016. Memandangkan terdapat pihak ketiga yang menyalahgunakan nama KWSP dan kecurigaan membabitkan penipuan, KWSP telah membuat laporan polis pada 26 Februari, 2016, menyatakan bahawa KWSP tidak mengetahui langsung mahupun terlibat dalam urus niaga seperti yang dirujukkan dalam ‘Surat Lantikan’ itu.
  • Penglibatan Ladylaw Securities Pte Ltd dan Nic Manikis dimaklumkan kepada KWSP pada 20 Januari, 2017, dan laporan polis dibuat pada 23 Januari, 2017, menyatakan KWSP tidak mengetahui langsung mahupun terlibat dalam mana-mana urus niaga pelaburan dengan Ladylaw Securities ataupun Nik Manikis.

 

KWSP menegaskan sebarang skim seumpama itu tidak akan melepasi rangka kerja tadbir urusnya yang kukuh dan mantap. Sebelum mana-mana keputusan pelaburan dibuat, proses tadbir urus kami memerlukan semua cadangan yang tertakluk kepada penilaian risiko ketat dan kajian terperinci oleh pengurusan. Semua kelulusan perlu melalui Jawatankuasa Pelaburan pengurusan bagi mendapatkan sokongan sebelum dikemukakan kepada Panel Pelaburan bagi kelulusan akhir. Panel Pelaburan ini dianggotai profesional industri, pegawai kanan pengurusan KWSP, Bank Negara Malaysia dan kerajaan.

 

Dikeluarkan oleh:

Jabatan Hal Ehwal Korporat

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja

Tarikh: 28 Februari 2018