Kemaskini terakhir : 13/03/2019 1:57     

KWSP Mengemaskini Senarai Dana Amanah Untuk 2018/2019

KWSP Mengemaskini Senarai Dana Amanah untuk 2018/2019

 

KUALA LUMPUR, 28 Februari 2018: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini mengumumkan senarai Institusi Pengurusan Dana (IPD) dan dana-dana unit amanah yang layak ditawarkan di bawah Skim Pelaburan Ahli KWSP (SPA KWSP), berkuatkuasa dari 1 Mac 2018 hingga 28 Februari 2019. 

 

Bagi tempoh 2018/2019, daripada 367 dana yang diluluskan di bawah SPA KWSP, 268 dana unit amanah dari 22 IPD layak ditawarkan berbanding dengan tempoh 2017/2018 di mana daripada 373 dana yang diluluskan, 278 dana daripada 22 IPD layak ditawarkan.

 

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pelaburan) KWSP Dato’ Mohamad Nasir Ab Latif berkata, “Senarai dana unit amanah yang ditawarkan di bawah SPA KWSP adalah dana-dana yang telah diteliti di bawah proses penilaian tahunan berdasarkan kriteria yang ditetapkan oleh KWSP dan diluluskan oleh Kementerian Kewangan Malaysia.

 

“Mana-mana dana yang tidak mencapai skor minimum penilaian tahunan tersebut akan digantung dan tidak boleh ditawarkan dalam tempoh tersebut.”

 

Senarai Dana dan IPD Mengikut Kategori

 

Kategori Dana

2017/2018

 (Setakat 28 Februari 2018)

2018/2019

(Berkuatkuasa 1 Mac 2018)

Dana yang Layak Ditawarkan

IPD

Dana yang Layak Ditawarkan

IPD

Ekuiti

153

21

146

20

Aset Campuran

59

17

59

16

Bon

36

12

35

11

Pasaran Wang

29

18

27

18

Amanah Hartanah

1

1

1

1

 

278

-

268

-

 

 

Bagi tempoh tawaran 2018/2019, skor kelayakan minimum pengiraan “Purata Mudah Untuk Pulangan Konsisten/Simple Average Consistent Return (SACR)” yang mesti dicapai dikekalkan pada 2.33. SACR yang diperkenalkan oleh KWSP pada tahun 2010 telah ditingkatkan kepada 2.33  daripada 2.00 pada tahun 2017 bagi meningkatkan perlindungan kepada pelabur dengan menyaring dana-dana berprestasi rendah. SACR dikira berdasarkan prestasi agregat sesebuah dana dalam tempoh tiga tahun dan dibandingkan dengan prestasi dana yang setara.

 

SPA KWSP memberi pilihan kepada ahli untuk memindahkan sebahagian simpanan Akaun 1 untuk membuat pelaburan melalui IPD yang dilantik. Ianya memberikan fleksibiliti untuk mempelbagaikan portfolio persaraan dan potensi untuk meningkatkan simpanan persaraan mereka. Ahli yang memenuhi kriteria Simpanan Asas layak memindahkan sebahagian daripada simpanan Akaun 1 kepada IPD pilihan mereka.

 

Jumlah yang layak dipindahkan telah dinaikkan kepada tidak melebihi 30 peratus (sebelum ini tidak melebihi 20 peratus) setiap tiga bulan daripada jumlah yang melebihi Simpanan Asas dalam Akaun 1.

 

Simpanan Asas merujuk kepada jumlah simpanan dalam Akaun 1 yang ditetapkan mengikut umur bagi memastikan ahli mempunyai simpanan minimum sekurang-kurangnya RM228,000 apabila mencapai umur 55 tahun. Kuantum Simpanan Asas ini menggunakan kadar pencen minimum pesara awam bersamaan RM950 sebulan untuk tempoh 20 tahun dari umur 55 tahun hingga 75 tahun sebagai tanda aras.

 

Dato’ Mohamad Nasir berkata, “Berkuatkuasa daripada tahun 2017, had 30 peratus pendedahan kepada pelaburan asing telah dimansuhkan supaya ahli yang menyertai skim berpeluang melanggani dana yang mempunyai potensi pertumbuhan tinggi serta memanfaatkan pelbagai peluang yang terdapat di pasaran-pasaran asing. Penambahbaikan ini mengambil kira jangkaan ahli yang berubah serta perkembangan dalam industri pengurusan dana.”

 

“KWSP kini sedang membangunkan portal elektronik SPA (e-Members Investment Scheme – e-MIS) di mana ahli boleh melakukan transaksi secara dalam talian dengan kos yang lebih rendah. Kemudahan ini menyediakan lebih fleksibiliti kepada ahli untuk melabur di dalam dana unit amanah. Platform e-MIS ini juga akan memberikan ahli lebih akses dan meningkatkan ketelusan untuk mendapatkan maklumat dana yang ditawarkan, harga serta prestasi dana di bawah skim SPA agar ahli boleh membuat perbandingan dan membuat keputusan pelaburan terbaik berdasarkan keperluan dan selera risiko masing-masing”, kata beliau. Dato’ Mohamad Nasir juga menambah bahawa kemudahan dalam talian itu bakal diperkenalkan menjelang hujung tahun 2019.

 

Pada masa ini, ahli juga boleh menggunakan Portal Maklumat Dana yang boleh diakses menerusi i-Akaun. Portal Maklumat ini disediakan kepada ahli bagi mendapatkan maklumat mengenai dana unit amanah yang ditawarkan di bawah SPA serta IPD yang menguruskan dana-dana tersebut. Kemudahan ini disediakan supaya ahli dapat menjalankan penyelidikan sendiri sebelum membuat keputusan pelaburan yang terbaik.

 

Ahli juga diingatkan bahawa pelaburan di bawah SPA KWSP adalah pilihan ahli sendiri dan menjadi tanggungjawab ahli sepenuhnya untuk membuat sebarang keputusan bagi menyertai skim tersebut. KWSP tidak mengesyor atau mencadangkan mana-mana dana kepada ahli dalam membuat pilihan untuk melabur. KWSP menggalakkan ahli supaya mendapatkan khidmat nasihat daripada penasihat kewangan yang bertauliah sebelum membuat keputusan untuk menyertai skim ini.

 

Untuk melindungi integriti skim dan kepentingan ahli yang melabur melaluinya, KWSP telah mengeluarkan garis panduan kepada IPD bagi memastikan mereka menjalankan tugas dan tanggungjawab secara berhemah. KWSP juga melantik juruaudit bebas bagi menjalankan pengauditan tahunan ke atas IPD. KWSP boleh mengenakan tindakan seperti memberi amaran, mengenakan denda, menggantung atau menarik balik pelantikan sekiranya mana-mana IPD gagal mematuhi arahan-arahan dan garis panduan yang dikeluarkan.

 

Bagi mendapatkan senarai penuh dana yang ditawarkan di bawah setiap IPD yang dilantik, ahli boleh melayari laman web KWSP di pautan http://www.kwsp.gov.my/ms/member/investment.

 

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan dana persaraan terulung Malaysia yang ditubuhkan untuk membantu ahli mencapai simpanan yang cukup untuk persaraan yang selesa.  Ini selaras dengan visi KWSP untuk membantu ahli mencapai masa depan yang baik serta misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. KWSP telah berkembang daripada sebuah organisasi berpaksikan transaksi kepada sebuah organisasi pengurusan dana professional dengan tumpuan terhadap jaminan persaraan. KWSP berpandukan rangka kerja tadbir urus yang mantap dan profesional dalam membuat keputusan pelaburan. Ia terus memainkan peranan sebagai pemangkin dalam pertumbuhan ekonomi negara dan bertujuan untuk memupuk budaya menabung dan melabur di kalangan ahli untuk meningkatkan tahap celik kewangan di peringkat negara.