Kemaskini terakhir : 23/03/2020 7:58     

KWSP AKTIFKAN KEMUDAHAN PENGELUARAN I-LESTARI DARIPADA AKAUN 2 AHLI

KUALA LUMPUR, 23 Mac 2020: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memaklumkan bahawa ahli KWSP boleh membuat permohonan pengeluaran i-Lestari daripada Akaun 2 bermula 1 April 2020. Ahli dijangka menerima wang pengeluaran tersebut melalui akaun bank masing-masing pada 1 Mei 2020.

 

Ketua Pegawai KWSP Alizakri Alias berkata, “Diharapkan kemudahan i-Lestari akan memberikan kelegaan dari segi kewangan kepada mereka yang terjejas dalam keadaan semasa yang tidak menentu. Sebagai sebuah institusi dana persaraan, KWSP perlu mengimbangi mandatnya untuk melindungi simpanan persaraan ahli dan pada masa yang sama menjaga kesejahteraan mereka dalam waktu getir sebegini. "

 

Tambah beliau, kelonggaran untuk membuat pengeluaran daripada Akaun 2 ahli akan memerlukan pindaan kepada Akta KWSP 1991 di bawah Seksyen 54 (6). Katanya lagi, “Kami meletakkan i-Lestari sebagai keutamaan untuk dilancarkan secepat mungkin. Emel khas bagi i-Lestari juga telah disediakan iaitu ilestari@epf.gov.my untuk ahli menghantar sebarang pertanyaan yang berkaitan. Soalan berserta maklum balas ini kemudiannya akan dikemaskini dalam senarai soalan lazim (FAQ) sedia ada yang telah dimuat naik ke laman sesawang www.kwsp.gov.my.”

 

Alizakri juga mengingatkan ahli tentang kepentingan menggunakan pertimbangan wajar apabila membaca tentang sesuatu berita atau paparan media sosial. "Terdapat pelbagai unsur penipuan dan berita palsu yang disebarkan terutamanya melalui WhatsApp, Facebook dan Twitter. Para ahli diingatkan bahawa KWSP hanya membuat makluman kepada ahli melalui laman sesawang dan saluran media sosial rasmi. "

 

Dikeluarkan oleh EPF Media Desk

Jabatan Hal Ehwal Korporat

23 Mac 2020

 

 

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan antara dana persaraan tertua di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1951, KWSP terus mendokong misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Terbaharu, selaras dengan visi untuk membantu ahli mencapai masa depan yang lebih baik, KWSP telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh. Kini, KWSP terus komited kepada ahli melalui usaha-usaha tekal untuk mengemaskini dan menambahbaik, agar dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.

 

LAMPIRAN

Fasiliti Pengeluaran i-Lestari Akaun 2 KWSP

  1. Kemudahan pengeluaran i-Lestari:

    1. Fasiliti pengeluaran dari Akaun 2 ahli

    2. Sehingga jumlah maksimum RM500 sebulan

    3. Amaun pengeluaran akan dikreditkan ke dalam akaun bank ahli bermula Mei 2020

    4. Untuk tempoh maksimum 12 bulan

  1. Pendaftaran:

    1. Bermula dari 1 April 2020 secara emel dan pos

    2. Bermula dari 1 Mei 2020 secara dalam talian

  1. Permohonan Pengeluaran

    1. Disarankan untuk membuat permohonan secara dalam talian kerana proses yang mudah dan cepat (dalam masa 3 hari)

    2. Permohonan secara  manual  akan mengambil masa kerana proses pengesahan akan dilaksanakan secara manual

  1. Butiran selanjutnya akan dipaparkan di laman sesawang, Facebook dan Twitter KWSP dalam masa terdekat.

  1. Ahli KWSP diingatkan untuk sentiasa berwaspada akan sebarang skim penipuan dan hanya berurusan secara terus dengan pihak KWSP.