Kemaskini terakhir : 13/05/2020 5:08     

PELANJUTAN TARIKH PEMBAYARAN CARUMAN WAJIB BULAN MEI, JUN DAN JULAI 2020

KUALA LUMPUR, 13 Mei 2020: Berikutan pelanjutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan kesannya terhadap perniagaan di Malaysia, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan melanjutkan tarikh untuk majikan membuat bayaran caruman bulan Mei 2020 hingga caruman bulan Julai 2020, daripada 15 haribulan kepada 30 haribulan bagi bulan yang berkenaan.

Ketua Pegawai KWSP Alizakri Alias berkata, “Sejak bermulanya PKP pada bulan Mac lalu, kami telah menerima banyak maklum balas, terutamanya mengenai kerisauan para majikan serta tekanan yang mereka hadapi berikutan pemberhentian aktiviti perniagaan. Bagi meringankan beban para majikan di samping memelihara mandat KWSP untuk melindungi dana persaraan ahli, KWSP akan terus memberi pertimbangan tertentu yang munasabah, sebagaimana pelaksanaan pelanjutan tarikh bayaran caruman untuk bulan Mei, Jun dan Julai 2020 ini.”

“Dengan sokongan dan fleksibiliti yang kami tawarkan ini, KWSP berharap para majikan akan terus menjalankan tanggungjawab mereka dengan membayar caruman syer majikan dan pekerja, dalam keadaan COVID-19 yang semakin hari beransur pulih.”

Majikan boleh membuat bayaran caruman melalui portal i-Akaun (Majikan) dalam laman sesawang KWSP, perbankan Internet ataupun di kaunter bank yang dilantik.
 

Dikeluarkan oleh EPF Media Desk

Jabatan Hal Ehwal Korporat

13 Mei 2020

 

 

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan antara dana persaraan tertua di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1951, KWSP terus mendokong misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Terbaharu, selaras dengan visi untuk membantu ahli mencapai masa depan yang lebih baik, KWSP telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh. Kini, KWSP terus komited kepada ahli melalui usaha-usaha tekal untuk mengemaskini dan menambahbaik, agar dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.