Kemaskini terakhir : 14/04/2020 9:43     

PENGELUARAN LEBIH MUDAH MELALUI i-LESTARI ONLINE

KUALA LUMPUR, 14 April 2020: Ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kini boleh membuat Pengeluaran i-Lestari (Pengeluaran  Akaun 2) melalui kemudahan i-Lestari Online yang baru sahaja dilancarkan. Kemudahan i-Lestari Online menawarkan pengalaman yang lebih baik di mana ahli boleh memohon dengan lebih mudah, menyemak status permohonan dan mengakses soalan-soalan lazim hanya dengan melayari laman sesawang KWSP melalui komputer atau peranti mudah alih yang boleh mengakses internet.    

 

Ketua Pegawai KWSP Alizakri Alias berkata, "Sebaik sahaja melancarkan Pengeluaran i-Lestari awal April lalu, kami menyedari bahawa proses permohonan pada masa tersebut agak rumit dan telah menyebabkan pelbagai kekeliruan. Tambahan pula, masih ramai ahli KWSP yang tidak mempunyai i-Akaun dan ini menyukarkan mereka untuk memohon kerana ia adalah antara saluran utama bagi penghantaran permohonan Pengeluaran i-Lestari.

 

“Bagi memastikan keselamatan ahli, majikan dan anggota KWSP, kami telah  membuat  keputusan yang sangat sukar apabila  perlu menutup cawangan-cawangan KWSP mulai bulan  Mac yang lalu dan memindahkan transaksi serta perkhidmatan kami, termasuk permohonan Pengeluaran i-Lestari, ke platform digital.”

 

Sejak dilancarkan, KWSP telah menerima lebih 1.4 juta permohonan Pengeluaran i-Lestari setakat jam 6 petang, 13 April 2020. Jumlah permohonan yang tinggi ini telah menyebabkan portal i-Akaun KWSP menerima permintaan untuk mengakses  ke laman web secara purata 60,000-70,000 seminit, kenaikan 15 kali ganda berbanding 4,000-7,000  seminit pada hari biasa.  KWSP juga menerima emel pertanyaan berkenaan Pengeluaran i-Lestari secara purata 20,000 sehari. Sehingga kini, lebih 700,000 permohonan telah diluluskan dan pengkreditan ke akaun pemohon  akan bermula pada 4 Mei 2020.

 

“Untuk menangani peningkatan jumlah akses trafik dalam talian yang luar biasa ketika ini, kami telah meningkatkan kapasiti pelayan dan sistem kami beberapa kali ganda. Kemudahan Pengeluaran i-Lestari Online ini mengambil masa satu minggu untuk dibangunkan dan ia adalah hasil usaha sepenuhnya oleh sumber dan anggota KWSP sendiri, berikutan Perintah Kawalan Pergerakan yang menyukarkan KWSP untuk mendapatkan kepakaran dan perunding luar. Kami cukup terkesan dengan pengalaman sukar yang dialami oleh ahli untuk tempoh  dua minggu yang lalu dan ianya telah mendorong kami  untuk membangunkan kemudahan i-Lestari Online dalam masa yang singkat. Kami berharap dengan kemudahan dalam talian ini, urusan ahli akan dapat diteruskan dengan lebih lancar," kata Alizakri. "Kami ingin memohon  maaf dan mengucapkan ribuan terima kasih atas kesabaran  ahli dan akan terus berusaha dengan lebih gigih untuk memberikan perkhidmatan serta pengalaman yang lebih baik kepada ahli yang berurusan dengan KWSP.

 

“Ini merupakan waktu mencabar bagi kita semua, namun kami yakin i-Lestari mampu  memberi sedikit kelegaan kepada ahli dari aspek kewangan. Pada masa yang sama, kami maklum bahawa tempoh yang mencabar ini akan berlalu dan kami berharap agar ahli memberi pertimbangan yang wajar dalam menilai keperluan kewangan masing-masing. Pastikan amaun yang dipohon hanya untuk perbelanjaan keperluan semasa bagi memastikan masih tersedia jumlah simpanan yang mencukupi dan selesa apabila bersara kelak.” kata Alizakri. 
 

Dikeluarkan oleh EPF Media Desk

Jabatan Hal Ehwal Korporat

14 April 2020

 

 

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan antara dana persaraan tertua di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1951, KWSP terus mendokong misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Terbaharu, selaras dengan visi untuk membantu ahli mencapai masa depan yang lebih baik, KWSP telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh. Kini, KWSP terus komited kepada ahli melalui usaha-usaha tekal untuk mengemaskini dan menambahbaik, agar dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.