Kemaskini terakhir : 16/11/2020 6:49     

i-SINAR MEMBOLEHKAN 2 JUTA AHLI TERKESAN MENGAKSES AKAUN 1

Pendahuluan maksimum pertama antara RM4,000 hingga RM10,000

KUALA LUMPUR, 16 November 2020: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan perincian dan kelayakan akses ke Akaun 1 bagi kemudahan i-Sinar.

Setelah meneliti dan menilai keadaan semasa, KWSP telah mengambil langkah untuk memperluaskan skop i-Sinar yang merangkumi ahli yang kehilangan pekerjaan, diberi cuti tanpa gaji atau tiada sumber pendapatan. i-Sinar akan memberi manfaat kepada 2 juta ahli yang layak dan dianggarkan sejumlah RM14 bilion akan tersedia untuk ahli yang layak.

Ahli yang layak boleh membuat permohonan bermula Disember 2020. Amaun akan dikreditkan dalam akaun bank ahli pada hujung bulan selepas permohonan dibuat. Pengkreditan pertama akan bermula pada Januari 2021. Amaun pendahuluan ini akan dikreditkan secara berkala sehingga enam (6) bulan bermula pada tarikh pertama pengkreditan.

Secara umum, ahli yang layak boleh mengakses 10% daripada amaun simpanan mereka dalam Akaun 1, tertakluk kepada baki minimum RM100.

Ahli yang mempunyai baki RM90,000 dan ke bawah (Akaun 1), akan mempunyai akses kepada amaun sehingga RM9,000. Amaun pendahuluan ini akan dikreditkan secara berkala sehingga enam (6) bulan dengan pendahuluan pertama sehingga RM4,000.

Ahli yang mempunyai baki lebih daripada RM90,000 (Akaun 1), akan mempunyai akses 10%. Walau bagaimanapun, amaun maksimum yang boleh didahulukan adalah RM60,000. Amaun pendahuluan ini akan dikreditkan secara berkala sehingga enam (6) bulan dengan pendahuluan pertama sehingga RM10,000.

 

Sebagai contoh:

Simpanan Akaun 1 RM90,000 dan ke bawah

Simpanan Akaun 1 lebih RM90,000

Maksimum sehingga RM9,000 (tertakluk kepada baki simpanan minimum RM100)

10% daripada simpanan (tertakluk kepada amaun maksimum RM60,000)

Pendahuluan bulan pertama maksimum hingga RM4,000

Pendahuluan bulan pertama maksimum hingga RM10,000

Contoh:

Baki Akaun 1:

Amaun pendahuluan dibenarkan:

RM4,500

RM4,400

RM10,000

RM9,000

RM70,000

RM9,000

Contoh:

Baki Akaun 1:

Amaun pendahuluan dibenarkan:

RM100,000

RM10,000

RM500,000

RM50,000

RM800,000

RM60,000

 

Ahli yang memilih untuk memohon kemudahan i-Sinar perlu menggantikan amaun yang telah didahulukan. Caruman baharu akan dikreditkan 100% ke dalam Akaun 1 sehingga amaun pendahuluan yang diterima telah digantikan semula. Selepas itu, caruman akan kembali ke kadar pecahan asal iaitu 70% bagi Akaun 1 dan 30% bagi Akaun 2.

Untuk menentukan amaun yang diperlukan untuk permohonan di bawah i-Sinar dan memastikan kelangsungan hidup semasa krisis, ahli digalakkan untuk mendapatkan nasihat kewangan melalui Pegawai Khidmat Nasihat Persaraan (RAS) KWSP dan/atau Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).

Maklumat lebih lanjut serta butiran terperinci mengenai kelayakan i-Sinar serta terma dan syarat akan dimaklumkan dalam masa terdekat.

Dikeluarkan oleh EPF Media Desk
Jabatan Hal Ehwal Korporat
16 November 2020

 

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan antara dana persaraan tertua di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1951, KWSP terus mendokong misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Terbaharu, selaras dengan visi untuk membantu ahli mencapai masa depan yang lebih baik, KWSP telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh. Kini, KWSP terus komited kepada ahli melalui usaha-usaha tekal untuk mengemaskini dan menambahbaik, agar dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.